KOTA KINABALU: Sembilan peneraju industri dan kepimpinan cemerlang ASEAN melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan pada Anugerah The International Business Review ASEAN (IBRAA) 2025 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Sabtu lalu.
Majlis dwitahunan berprofil tinggi yang bertemakan “Reimagining ASEAN” itu dihadiri 350 tetamu terdiri daripada diplomat, pemimpin sektor awam dan swasta, tokoh industri serta masyarakat terkemuka ASEAN dan Asia Pasifik.
Lebih membanggakan, IBRAA 2025 terus menjadi platform utama menghubungkan pemimpin serantau bagi meneruskan tradisi meraikan kecemerlangan dalam pelbagai industri.
Majlis kali ini menyerlahkan keunggulan para pemenang dengan anugerah yang disesuaikan mengikut pencapaian masing-masing, selain menerima pakej publisiti komprehensif sebelum dan selepas acara serta sambutan gala penuh gemilang.
Majlis itu dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Penganjur dan Pengarah Urusan Kumpulan The IBR Asia Group, Datuk Beatrice Nirmala, diikuti ucapan dasar oleh Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.
Antara yang menerima pengiktirafan berprestij itu termasuk Institut Jantung Negara (IJN) yang dianugerahkan Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Penjagaan Kesihatan atas Kepimpinan dalam Inovasi ESG.
Ditubuhkan pada 1992, IJN kekal sebagai pusat kecemerlangan global dalam rawatan kardiovaskular dan torasik, selain menjadi hospital pertama di Malaysia memperoleh pensijilan EMGS 3 Bintang.
Clean Kinetics Pte Ltd dari Singapura pula memenangi anugerah Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Tenaga Boleh Diperbaharui hasil penyelesaian pengurusan tenaga mampan yang merangkumi projek solar berskala besar di Qatar dan Dubai, UAE.
Dalam sektor perlombongan, Millenium Minerals Ltd menerima pengiktirafan Kecemerlangan Korporat dalam Perlombongan Beretika kerana mengamalkan ketelusan dan menggunakan teknologi blockchain bagi perdagangan berlian yang sah di Afrika Barat.
Selain itu, Sabah Ports Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai penerima Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Logistik selepas berjaya memacu daya saing pelabuhan di peringkat serantau melalui kerjasama strategik dengan DP World di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
Bagi kategori teknologi, AiRTS Pte Ltd yang memperkenalkan teknologi GenAI Twin bertindak sebagai salinan maya pekerja sebenar yang melaksanakan tugasan rutin mengikut protokol syarikat agar pekerja manusia dapat memberi tumpuan kepada tugasan lebih bernilai.
Teknologi ini berfungsi sebagai pelengkap, bukan pengganti kepada manusia. menerima anugerah Teknologi Inovatif dalam Sektor Kecerdasan Buatan (AI).
Seterusnya, Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. menerima Anugerah Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Pengurusan Acara untuk Projek Mega Kerajaan.
Syarikat ini mengkhusus dalam penganjuran acara berkaitan pertahanan dan keselamatan siber. Antara kejayaan mereka termasuk penganjuran LIMA 2023, siri CYDES, dan AISSE 2025.
Sementara itu, Education Malaysia Global Services (EMGS) pula diberi anugerah Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Pendidikan kerana mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan global dengan lebih 81,992 permohonan baharu pelajar antarabangsa pada 2024.
Dalam kategori negeri, Negeri Sembilan diiktiraf sebagai Negeri Paling Progresif Malaysia 2024 atas kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang memacu pembangunan melalui Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 dan Malaysia Vision Valley 2.0.
Turut diraikan ialah Negeri Sabah yang dinobatkan sebagai Negeri Paling Cemerlang Malaysia 2024 di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerusi pelan transformasi Sabah Maju Jaya (SMJ) yang melonjakkan ekonomi, hak rakyat dan infrastruktur negeri.-UTUSAN