Agrobank peruntuk RM50 juta bantu lebih 4,000 usahawan mikro

Agrobank peruntuk RM50 juta bantu lebih 4,000 usahawan mikro

ADNAN Zaylani Mohamad Zahid (tengah) sambil dsaksikan oleh Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin merasmikan program Program Agro Pintar Niaga (AgroPintar) di Tawau, Sabah, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Agrobank menyediakan dana sebanyak RM50 juta bagi membantu lebih 4,000 usahawan mikro mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka secara mampan melalui Program Agro Pintar Niaga (AgroPintar).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, program yang dirangka secara menyeluruh itu merangkumi pembiayaan, padanan geran i-Tekad serta modul asas keusahawanan dan etika perniagaan.

Katanya, ia turut menekankan aspek literasi kewangan yang meliputi pengurusan kewangan, pengurusan risiko kredit serta kawalan hutang.

“Matlamat utama program ini adalah untuk memperkukuh daya saing serta kecekapan usahawan mikro dalam membuat keputusan perniagaan yang lebih bijak dan berkesan.

“Agrobank memperuntukkan sebanyak RM50 juta khusus bagi menyediakan akses pembiayaan mikro beserta geran padanan i-TEKAD bernilai RM5 juta kepada para usahawan, meliputi Pembiayaan Perniagaan Usahawan Mikro dan Pembiayaan Ladang Kontrak.

“Peruntukan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 4,000 usahawan mikro yang berkelayakan terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah,” katanya pada majlis pelancaran AgroPintar di Eastern Plaza di sini, kelmarin.

Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Agrobank percaya inisiatif itu bukan sahaja akan memberi impak positif dari segi ekonomi, malah mampu merangsang pertumbuhan sosial dalam kalangan usahawan mikro.

Para peserta program akan diberikan bimbingan berstruktur dan dilengkapkan dengan kemahiran membuat keputusan kewangan.

Selain itu, mereka dibimbing mengenai perniagaan sekali gus meningkatkan kebolehupayaan mereka dalam mengurus aspek-aspek perniagaan secara efisien.

Program ini juga akan dipantau dari segi perkembangan dan keberkesanan enam bulan selepas penyertaan para usahawan.

Dalam majlis sama, Agrobank melancarkan satu inisiatif untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan pelajar sekolah melalui pendekatan yang menarik dan mudah difahami.

Inisiatif tersebut, Video Bersiri Celik Kewangan, dijalankan dengan kerjasama strategik Financial Education Network (FEN) dan mengandungi 12 episod yang menampilkan pempengaruh media sosial, Sir Asai.

Agrobank Centre of Excellence (ACE) dan Jabatan Mikro Agrobank, sebagai pengendali program ini berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Agrobank dalam memperkasa usahawan mikro di seluruh negara.

Inisiatif ini selaras dengan hasrat untuk memupuk golongan usahawan yang berdaya tahan, progresif dan lestari dalam jangka masa panjang. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN