Ruang Daya Cipta Miri percepat transformasi digital luar bandar

Ruang Daya Cipta Miri percepat transformasi digital luar bandar

Dr. Sharmila Mohamed Salleh (duduk, dua kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Pustaka Negeri Sarawak, Wan Mazli Wan Razali. (duduk, dua kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pustaka Negeri Sarawak dan Yayasan Inovasi Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI: Penubuhan Ruang Daya Cipta (RDC) Miri secara rasmi kelmarin, menjadikan sebanyak 23 Pusat RDC yang telah ditubuhkan di seluruh negara setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, pembangunan RDC Miri merupakan RDC pertama dibangunkan di dalam perpustakaan dan kedua yang dirasmikan di Sarawak selepas RDC Sibu.

Katanya, ia merupakan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkukuh pembangunan teknologi di peringkat akar umbi.

“Inisiatif ini diharap dapat mempercepatkan transformasi digital negara serta meningkatkan kapasiti dan kompetensi masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, dalam menghadapi cabaran teknologi masa hadapan,” katanya pada majlis perasmian RDC Miri di Pustaka Negeri Sarawak, Miri, dekat sini, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal.Mohamm

Mohammad Yusof Apdal (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian Ruang Daya Cipta (RDC) Miri di Pustaka Negeri Sarawak Miri, kelmarin sambil disaksikan oleh Dr. Sharmila Mohamed Salleh (kiri) dan tetamu kehormat lain.

Menurut Dr. Sharmila, dari tahun 2021 hingga Mei 2025, RDC telah menerima lebih daripada 13,500 pengunjung dan dalam tempoh tersebut, RDC turut menjalin kerjasama dengan 30 rakan strategik dan 20 rakan akademia.

Selain itu, katanya lebih 11,000 peserta terlibat dalam 501 aktiviti modul Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) yang dilaksanakan di semua RDC yang sedang beroperasi.

Pada masa sama, beliau berkata, YIM juga memperkukuh inovasi melalui pelbagai saluran dan sokongan dana strategik bagi meningkatkan keupayaan inovator antaranya melalui Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS) yang merangkumi MyIS Komuniti, MyIS Akar Umbi, dan MyIS Perintis.

“Program ini bertujuan membantu inovator tempatan mengembangkan idea mereka menjadi solusi yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Dr. Sharmila berkata, YIM telah memperkenalkan inisiatif RDC sejak 2021, bermula dengan pembukaan RDC pertama di Taman Rasa Sayang, Paroi, Negeri Sembilan.

Katanya, inisiatif itu bertujuan membangunkan ekosistem STIE secara menyeluruh dalam kalangan komuniti setempat, khususnya di kawasan luar bandar, demi meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan ekonomi masyarakat.

“Dengan menyediakan kemudahan teknologi terkini seperti pencetak 3D, peralatan robotik, dron dan studio digital, pusat ini membantu kerajaan meningkatkan kemahiran serta daya saing komuniti dalam era ekonomi digital,” katanya.

Beliau menambah RDC juga berfungsi untuk memperkasakan komuniti termasuk pelajar, belia, dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) melalui pelbagai ruang pembelajaran seperti Makmal Komputer, Makmal Reka bentuk, Studio Digital, Sudut STI dan Sudut Idea yang memupuk penguasaan teknologi moden serta kemahiran dalam bidang STIE.

Di samping itu katanya, pelbagai program latihan dan bengkel seperti Bengkel Inovasi Digital, Kursus Keusahawanan Teknologi serta Program Latihan Kemahiran Industri 4.0 turut disediakan untuk memberi kesan positif kepada pembangunan komuniti tempatan.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan setiap lapisan masyarakat dapat mengambil bahagian dalam perkembangan sains dan teknologi, sejajar dengan hasrat negara untuk menghasilkan masyarakat yang berpengetahuan tinggi dan berdaya saing.

“Sejajar dengan Teras 2 Dasar Inovasi Sosial (DIS) iaitu Pembudayaan dan Pemerkasaan Daya Cipta, RDC berfungsi sebagai pusat latihan dan pembangunan inovasi yang menumpukan kepada penguatan komuniti setempat.

“YIM komited dalam mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh para inovator termasuk dalam aspek pengurusan kewangan dan pembangunan model perniagaan baru.
“Inisiatif ini juga menyokong Teras 4 DIS: Infrastruktur Inovasi Sosial Bersepadu, yang menekankan pembangunan infrastruktur berteraskan sains, teknologi dan inovasi untuk meluaskan akses masyarakat kepada kemudahan teknologi serta menggalak.

Sementara itu, Mohammad Yusof berkata, RDC Miri akan berperanan sebagai pemangkin utama bagi memacu transformasi teknologi yang mampan dan inklusif di tengah-tengah kepelbagaian budaya dan tradisi keusahawanan yang unik di Sarawak.

Katanya, pelbagai modul telah dirancang telah dirancang dan pada hari ini, modul latihan yang dijalankan di RDC Miri antaranya 3D Resin Showcase; Glow Sense: LED Magic with Ultrasonic Sensors; Dobot Robotic Arm: Laser Engraving serta Virtual Reality Exploration.

“Pelaksanaan modul-modul ini jelas membuktikan teknologi kini bukan lagi bersifat eksklusif, sebaliknya boleh diakses dan dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU) serta penduduk luar bandar dan ibu tunggal.

“Pendekatan ini selari dengan prinsip “Daripada Masyarakat, Untuk Masyarakat” yang digariskan dalam Dasar Inovasi Sosial (DIS),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN