KOTA BHARU: Persoalan membabitkan nasab seorang anak sekiranya perkahwinan tidak didaftarkan di Malaysia merupakan antara faktor penduduk Islam negara ini perlu berfikir panjang terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan berkahwin di luar negara terutama di Thailand.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, isu itu bukan perkara baharu dan agensi-agensi agama di negara ini juga telah melaksanakan banyak inisiatif untuk mengekang perkara ini daripada terus berlaku.
“Ingatlah, apa sahaja yang kita buat pasti akan ada akibatnya. Jadi berfikir panjanglah untuk diri, keluarga dan masyarakat. Ini bukan perkara main-main dan perlu diambil serius,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Ihya’ Ramadan 1447 Hijrah dan Pelancaran Program Pendidikan Yaatim 2026 di Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (Yaatim) di Pengkalan Chepa, di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan ramai pasangan Islam dari Malaysia berkahwin di Thailand tidak mendaftarkan perkahwinan di tanah air sehingga menimbulkan kerumitan selepas mereka mendapat zuriat.
Selain bimbang diketahui isteri pertama bagi lelaki yang menambah pasangan hidup dengan berpoligami di Thailand, punca lain menyebabkan mereka tidak mendaftar perkahwinan di Malaysia adalah kerana krisis dengan keluarga atau kekangan kewangan.
Sementara itu, Marhamah berkata, kerajaan dan agensi agama sentiasa komited dalam usaha membendung, menangani, membanteras dan mengawal amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang didakwa semakin merebak di negara ini.
Katanya, masyarakat perlu memberi kepercayaan kepada agensi-agensi agama Persekutuan dan negeri yang tidak pernah berhenti memerangi budaya tidak bermoral itu.
“Agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa bekerjasama dalam menguruskan isu-isu berkaitan LGBT di negara ini.
“Jangan risau kerana jabatan dan agensi-agensi keagamaan berkaitan sentiasa komited menangani masalah ini (LGBT),” ujarnya.-UTUSAN.










