PPP25 sokong pembangunan digital perniagaan usahawan B40

Inisiatif PPP25 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sokong pembangunan digital perniagaan usahawan B40

Armizan Mohd. Ali (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat SSM kepada seorang penerima pada majlis Program Pendigitalan Perniagaan 2025 (PPP25) di Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Inisiatif baharu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) iaitu Program Pendigitalan Perniagaan 2025 (PPP25) bakal menyokong agenda pembangunan perniagaan bagi usahawan B40 dan bakal usahawan melalui pendigitalan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali, fokus utama inisiatif itu adalah untuk mendedahkan peserta kepada faedah dan kepentingan pendigitalan dalam mengembangkan pasaran serta meningkatkan produktiviti dan kualiti produk mereka.

Katanya, penggunaan teknologi digital misalnya melalui media dan platform e-dagang, bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan operasi perniagaan tetapi juga membuka akses pasaran yang lebih luas sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Tambahnya, pendigitalan perniagaan juga membantu dalam mengurangkan kos operasi, terutamanya sewaan premis fizikal dan pengiklanan sekali gus meringankan beban para ahli perniagaan dan membantu mereka dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, penganjuran PPP25 peringkat negeri Sabah adalah yang pertama daripada tiga siri yang dirancang untuk tahun ini dengan dua siri lagi akan diadakan di Pulau Pinang dan Terengganu.

“KPDN khususnya komited untuk menggerakkan usaha meningkatkan prestasi sektor perdagangan dan pengedaran,” katanya ketika merasmikan PPP25 di Universiti Malaysia Sabah di sini kelmarin.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SSM. Datuk Nor Azimah Abdul Aziz dan pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof.

Pada majlis itu, SSM menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) bernilai RM107,518 dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM45,000 kepada golongan yang memerlukan di Sabah.

Program tersebut diteruskan dengan sesi ceramah yang merangkumi lima topik, termasuk mengenai pemasaran digital, e-wallet dan payment gateway serta trend digital semasa.

Seorang peserta PPP25, Nursazwani Farhana Rayneldo Fernando berkata, program itu banyak membantu dalam memberi pengetahuan tentang pendigitalan perniagaan.

Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi UMS itu bercadang menceburi bidang keusahawanan selepas habis pembelajaran, secara spesifiknya dalam sektor kosmetik.

“Sebagai seorang pelajar, saya akan mengambil apa yang dikongsikan melalui PPP25 untuk diaplikasikan.

“Sudah tentu saya akan cadangkan program ini, terutama bagi yang ingin menceburi bidang keusahawanan,” ujarnya.

Seorang lagi peserta turut berpendapat PPP25 sangat sesuai untuk belia ataupun peniaga yang ingin memulakan perniagaan, dari tahap yang kecil sehinggalah besar.

Efa Elyiana Jelson, pelajar Giatmara Sepanggar berkata, program itu membantu dalam berkongsi maklumat penting untuk mengembangkan perniagaan bakeri beliau.

“Impak pendigitalan perniagaan boleh dilihat bukan setakat orang di sekeliling kita, tetapi juga negeri dan daerah lain.

“Maka itu, program seperti PPP25 amat mendorong peniaga kecil untuk terus tekad dan bersemangat lagi dalam perniagaan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN