KUALA TERENGGANU : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited membangunkan bakat sains, teknologi dan inovasi (STI) dari Pantai Timur yang mempunyai potensi besar dalam bidang teknologi masa depan.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, pihaknya memberi fokus terhadap tiga negeri itu dari segi pelaburan, pendidikan dan sokongan pembudayaan STI supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Sebagai contoh, pelaburan strategik dalam bidang seperti Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) di Terengganu bukan sahaja membuka ruang ekonomi baharu, malah memerlukan kemahiran khusus daripada tenaga tempatan.
“Ini bukti betapa pentingnya usaha memperkasa bakat dalam kalangan anak muda untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai industri teknologi tinggi negara,” katanya ketika merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2025 Zon Timur di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini, hari ini.
Lebih 5,000 peserta terdiri daripada pelajar, guru, pensyarah, penyelidik dan pemain industri dari seluruh Pantai Timur hadir memeriahkan program tersebut.
Pada karnival berkenaan, lebih 50 aktiviti dan pengisian menarik yang berteraskan STI disediakan untuk menarik minat pengunjung dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). – UTUSAN