PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan MARESMAR Wind Orkestra (MAWO) daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Felda Trolak, Perak diberi lebih peluang mempamerkan bakat pada masa depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia susulan kejayaan membanggakan pasukan orkestra itu yang telah mengharumkan negara Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech baru-baru ini.
Beliau berkata, pasukan itu merangkul Anugerah Emas Golden Diploma Award pada festival itu selain meraih markah tertinggi daripada juri profesional.
“Sebelam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memaklumkan (perkara ini) kepada Jemaah Menteri. Kerajaan amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh orkestra MRSM Ulul Albab itu.
“Insya-Allah, kita akan lihat apa yang kita boleh bantu untuk memastikan kumpulan orkestra itu diberikan peluang yang baik pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, kerajaan mengagumi semangat ditonjolkan generasi muda Felda itu malah, lebih unik kebanyakan mereka tidak mempunyai kemahiran dalam peralatan muzik sebelum ini.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, dalam tempoh singkat dengan bantuan Orkestra RTM mereka bukan hanya berupaya memainkan alat muzik dengan baik sebaliknya mampu membuat persembahan dan menang anugerah berprestij di Prague.
Media sebelum ini melaporkan, pasukan orkestra itu berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara dalam kategori kelas pertengahan (middle class), sekali gus menjadi satu-satunya peserta dari Asia yang menawan pentas antarabangsa itu.
Pertandingan berkenaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ‘lower class’, ‘middle class’ dan ‘higher class’ berdasarkan tahap kesukaran karya muzik serta keupayaan teknikal peserta.
Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun lepas menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara, dengan Malaysia menjadi negara tunggal mewakili benua Asia. – UTUSAN