Batik Perak tonjol corak bunga kalumpang

Batik Perak tonjol corak bunga kalumpang

NOAZAH Ahmad Tahir menunjukkan produk Batik Perak yang dihasilkannya di Pasir Salak. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Identiti kebanggaan negeri yang menarik perhatian peminat batik

PASIR SALAK: Keistimewaan tersendiri corak bunga kalum­pang menjadi ‘aset’ berharga yang menjadi identiti produk Batik Perak yang semakin mendapat sambutan peminat produk berkaitan batik tempatan dan antarabangsa.

Justeru, berbekalkan minat yang mendalam dalam dunia seni kraf tradisi yang popular di negara ini iaitu batik yang menjadi lambang identiti orang Melayu sejak abad ke-17 menyebabkan Noazah Ahmad Tahir, 39, mendalami kemahiran itu sejak 2003.

Berkeyakinan akan potensi bidang tersebut menyebabkan beliau bersama seorang rakannya, Norhafizah Abdul Mutalib menjalankan perniagaan produk akhir berkaitan batik seperti kain ela, kemeja lelaki dan wanita, blaus, jubah, baju kanak-kanak, tudung selain cenderamata menerusi syarikat Excellent Craft.

Dia tidak mempersia-siakan peluang yang diberikan oleh Perbadanan Menteri Besar Pe­rak (MB Inc) untuk bereksperimen selain mengangkat motif bunga kelumpang sebagai identiti rasmi batik negeri ini, selaras dengan Program Flagship Ekonomi Pengalaman Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menjasi sasaran kerajaan negeri.

“Saya anak jati Kampung Selat Pulau, Kampung Gajah. Apabila diberikan kesempatan oleh MB Inc dan Kraftangan Malaysia apabila terpilih menjadi salah satu pengusaha batik untuk menghasilkan produk Batik Perak ialah peluang keemasan.

“Corak bunga kalumpang sememangnya unik yang me­rupakan identiti pakaian go­longan istana di negeri ini selain menjadi hiasan dekorasi istana,” katanya.

Ujarnya, corak bunga kalumpang yang berbeza mengangkat Batik Perak setanding dengan negeri dan negara lain sebagai keistimewaan tersendiri negeri ini.

“Penyelidikan secara insentif oleh MB Inc dan Kraftangan Malaysia seharusnya dipuji un­tuk memperkenalkan Batik Perak selain inovasi terkini ia­itu menggunakan blok berbentuk ‘skrin’ yang memudahkan proses penghasilan produk.

“Sambutan yang diterima setakat ini cukup menggalakkan dengan saya sebelum ini pernah menyertai Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia supaya Batik Perak dikenali diperingkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Katanya, penggunaan penggunaan tanah liat yang terdapat di Trong dekat sini sebagai bahan penghalang warna bukan sahaja menawarkan pendekatan yang lebih lestari dan mesra alam malah berpotensi menghasilkan corak dan tekstur yang tersendiri sekaligus membezakan batik Perak daripada batik-batik lain di pasaran.

“Sebenarnya ia melicinkan lagi kerja-kerja penghasilan Batik Perak. Setakat ini, saya telah mendapatkan beberapa tempahan untuk menghasilkan baju korporat corak sebegini.

“Ini membantu menambah pendapatan kasar perniagaan yang mencecah lima angka sebulan selain dapat menggaji tiga pekerja tempatan termasuk seorang ibu tunggal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN