KUALA LUMPUR: UOB Malaysia menegaskan sokongannya terhadap pertumbuhan ASEAN dengan menekankan bahawa kepimpinan inklusif dan pemerkasaan wanita dalam bidang keusahawanan, kepimpinan dan kelestarian merupakan kunci untuk membuka potensi sepenuhnya rantau ini.
Komitmen ini sejajar dengan sambutan 90 tahun penubuhan UOB Group.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Wei Wei berkata, tumpuan Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025) selari dengan matlamat UOB untuk Membina Masa Depan ASEAN.

Antara yang menjadi tumpuan pada AWES 2025, ialah kehadiran Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menjadi tetamu undangan dalam sesi dialog yang menyaksikan Wei Wei bertindak sebagai moderator.
Premier Sarawak menekankan peranan strategik negeri itu dalam Rangkaian Kuasa ASEAN, di mana menyasarkan untuk menjana 10 gigawatt (GW) tenaga menjelang 2030 dan 15 GW menjelang 2035.

Selain itu, satu sesi forum bertajuk ‘Waktu Kuasa Global: Wanita Perintis Perubahan Merentasi Benua’ yang dikendalikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz turut diadakan dan dihadiri Menteri Perdagangan Kemboja, Cham Nimul serta Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri dan Ng Wei Wei.
Cham Nimul berkata, kerajaaan Kemboja menyokong usahawan wanita dengan menyediakan latihan vokasional dengan waktu yang fleksibel serta elaun kepada peserta, merangkumi pelbagai sektor termasuk industri pakaian, pertanian dan komuniti etnik.
Dyah Roro Esti Widya Putri pula berkata wanita di Indonesia memainkan peranan besar dalam sektor ekonomi, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang sekitar 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan 65 peratus daripadanya dikendalikan oleh wanita.
Ng yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif wanita pertama UOB Malaysia, berkata, ketangkasan bukan sahaja merujuk kepada keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan, yang sememangnya satu kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh mana-mana pemimpin, tetapi sama pentingnya ialah keupayaan untuk bangkit semula daripada kegagalan.
“Semakin tinggi pencapaian kita, semakin penting untuk kita bersedia menimba ilmu baharu, walaupun kita lebih selesa dengan ilmu yang sedia ada.
“Ketabahan pula ialah keupayaan untuk terus kekal pada laluan misi yang telah anda mulakan. Misi itu tidak berubah, tetapi pendekatannya mungkin perlu diubah mengikut halangan yang anda hadapi.
“Oleh itu, anda memerlukan keberanian dan keteguhan untuk terus melaksanakannya,” katanya.
Ng juga berkata bahawa usahawan wanita menghadapi cabaran sama seperti usahawan lelaki, termasuk kekangan dalam medapatkan pembiayaan, ilmu, alatan digital dan rangkaian untuk mengembangkan perniagaan dalam ekonomi digital yang pantas berubah,
Bagi membantu PKS terus berkembang, UOB Malaysia melancarkan UOB FinLab pada 2019. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, bank berkenaan memberi tumpuan khusus kepada usahawan wanita di Malaysia dan Singapura.
Seramai 1,200 usahawan wanita telah mendapat manfaat daripada latihan, alat digital dan rangkaian yang disediakan oleh UOB.
UOB Malaysia merupakan penaja utama AWES 2025, manakala Kuok Brothers Sdn Bhd bertindak sebagai rakan kongsi pemerkasaan acara tersebut.
AWES 2025 menghimpunkan lebih 700 delegasi daripada pelbagai sektor termasuk kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di bawah Pengerusi Malaysia 2025. – UTUSAN