Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengukuhkan semula komitmennya untuk meningkatkan nilai jangka panjang syarikat melalui pengurusan modal yang berdisiplin, operasi mantap dan pelaburan berfokus komuniti yang memberi manfaat kepada para pemegang saham serta rakyat.
Untuk mencerminkan komitmen ini, Lembaga Pengarah TNB telah mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 51 sen sesaham – tertinggi dalam tempoh empat tahun – berjumlah RM2.96 bilion.
Ini sejajar dengan dasar dividen syarikat yang menetapkan kadar pembayaran 60% untuk manfaat jutaan rakyat, memandangkan lebih 60% saham TNB dimiliki secara kolektif oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) utama seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji (TH).
Ia juga mencerminkan rekod konsisten TNB dalam mengekalkan pembayaran dividen pada tahap tertinggi dalam julat 30-60% sejak lapan tahun lalu.
“Pembayaran dividen ini mencerminkan komitmen TNB untuk memberikan pulangan yang konsisten dan mampan kepada para pemegang saham kami,” kata Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TNB Ke-35 di Pusat Konvensyen Leo Moggie, Ibu Pejabat TNB di Kuala Lumpur.
“Pulangan ini pada akhirnya sampai kepada jutaan rakyat Malaysia, memperkukuh simpanan negara, keselamatan persaraan dan kesejahteraan kewangan secara menyeluruh,” tambahnya.
Pada 2024, TNB turut menyumbang sebanyak RM874.7 juta dalam bentuk cukai dan zakat, sekali gus memperkukuh kewangan awam dan menyokong kesejahteraan komuniti.
Komitmen TNB terhadap pembangunan negara melangkaui pulangan kewangan semata-mata. Melalui program berfokus dalam pendidikan, pembangunan komuniti dan kesejahteraan, syarikat ini menyalurkan pelaburan jangka panjang ke arah hasil yang bermakna.
Tahun lalu, TNB peruntukkan RM140.9 juta dalam bentuk sumbangan dan tajaan merangkumi bidang pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan alam sekitar.
Inisiatif TNB bertujuan memperkasa komuniti yang kurang mendapat perhatian, merapatkan jurang peluang dan memupuk perpaduan sosial.
Melalui biasiswa, program pendidikan dan jangkauan luar bandar, syarikat ini memperkasakan generasi masa depan dan memberi impak jangka panjang. Usaha ini mencerminkan komitmen TNB terhadap kemakmuran bersama dan pembangunan negara melangkaui peranannya sebagai syarikat utiliti.
Sebagai sebahagian inisiatif luar bandar, TNB melaksanakan Fasa ke-11 Program Lampu Jalan Kampung pada tahun 2024, dengan memasang lebih 14,000 lampu LED yang menjimatkan tenaga di kawasan yang kurang mendapat perhatian bagi meningkatkan keselamatan, keterhubungan dan keterangkuman ekonomi.

Meningkatkan Kecemerlangan
Walaupun pelaburan sosial TNB memanfaatkan masyarakat, kekuatan teras syarikat terletak pada pelaksanaan strategi dengan mengutamakan sistem operasi yang cekap.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan mengesahkan fokus syarikat untuk mengekalkan pulangan kukuh sambil melabur dalam sistem dan komuniti yang menyokong pembangunan negara.
“Strategi kami jelas, untuk mengekalkan prestasi kukuh sambil menjana nilai jangka panjang untuk rakyat melalui pulangan yang bertanggungjawab dan impak bermakna.
“Dengan memperkukuh kebolehpercayaan perkhidmatan, pengurusan kos yang cekap dan dengan berteraskan kepada pembangunan negara, kami terus menyampaikan nilai yang stabil walaupun berdepan ketidaktentuan global,” katanya.
Pendekatan berdisiplin terhadap ketahanan dan kepimpinan yang bertanggungjawab turut dilihat dalam keupayaan TNB untuk terus memberi nilai kepada para pemegang saham serta ekonomi secara menyeluruh.
Walaupun berdepan cabaran global dan perubahan dinamik industri, asas TNB kekal kukuh. TNB terus melabur dalam keandalan grid, keupayaan digital dan kecemerlangan operasi bagi memastikan ia kekal berdaya saing dan responsif terhadap cabaran masa depan.
Usaha ini membawa kepada gangguan bekalan elektrik yang minimum, pemulihan perkhidmatan yang lebih pantas dan pengurusan tenaga yang lebih cekap. Ini memberikan jaminan bekalan elektrik yang stabil, selamat dan mampu milik.
Prestasi kukuh TNB turut disokong oleh gabungan faktor makroekonomi yang positif termasuk pengukuhan Ringgit dan pertumbuhan KDNK negara sebanyak 5.1%, digandingkan dengan pengurusan kos berhemah dan kecekapan operasi.
Persekitaran makro yang bertambah baik ini telah mendorong aktiviti perniagaan dan keyakinan pengguna, sekali gus menyokong pertumbuhan permintaan elektrik di sektor industri, komersial dan domestik. Semua ini mengukuhkan daya tahan TNB dalam persekitaran operasi yang dinamik.
Seperti yang dilaporkan oleh MITI, Malaysia mencatatkan kadar tertinggi dalam sejarah untuk pelaburan yang diluluskan, iaitu RM378.5 bilion pada 2024. Ini turut menyumbang kepada peningkatan permintaan elektrik industri dan komersial.
Dalam hal ini, TNB percaya bahawa ia memainkan peranan penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang menerusi infrastruktur tenaga yang stabil dan boleh dipercayai.
Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan operasi TNB, malah sejajar dengan aspirasi negara untuk menyediakan infrastruktur boleh dipercayai, memacu pertumbuhan inklusif dan mempercepatkan peralihan tenaga yang seiring aspirasi Ekonomi MADANI yang menekankan kemakmuran bersama, kelestarian dan kesejahteraan sosial.
Mencapai Kemajuan Dalam Bidang Utama
Pada 2024, TNB melabur sebanyak RM11.2 bilion dalam perbelanjaan modal (CAPEX) bagi mempercepatkan pemodenan grid dan menyokong peralihan tenaga negara, merangkumi penaiktarafan yang menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan daya tahan rangkaian di seluruh Semenanjung.
TNB juga mengekalkan Skor Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) yang tinggi iaitu 87%, mencerminkan usaha berterusan peningkatan mutu perkhidmatan dan pengalaman pelanggan.
Pada tahun lepas, penarafan ESG TNB oleh MSCI dinaik taraf kepada ‘A’, mengukuhkan kepimpinannya dalam kelestarian yang mencerminkan kemajuan signifikan dalam mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kecekapan penggunaan air dan memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Peningkatan ini bukan sahaja mengesahkan komitmen TNB terhadap amalan perniagaan yang bertanggungjawab, malah selari dengan aspirasi kelestarian negara.
Ia turut mengukuhkan keyakinan pelabur, menyokong matlamat negara ke arah pelepasan sifar bersih dan menonjolkan kepimpinan TNB dalam isu alam sekitar. – UTUSAN