Pelan Pembangunan SMJ pemangkin usaha Hajiji basmi kemiskinan di Sabah

Pelan Pembangunan SMJ pemangkin usaha Hajiji basmi kemiskinan di Sabah

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kritikan Shafie terhadap pentadbiran Hajiji dilihat tidak berasas memandangkan beliau gagal menyediakan infrastruktur luar bandar, pelan pembangunan yang tidak berkesan dan tiada impak jangka panjang”

PETALING JAYA: Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang digerakkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan negeri untuk mengeluarkan pendudukan Sabah dari dibelenggu kemiskinan.

Pelan SMJ bertujuan memacu pembangunan negeri Sabah dengan menekankan tiga teras utama, iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Shahidah Abdul Razak berkata, di bawah pelan itu, kerajaan Sabah berjaya membawa masuk pelaburan dari dalam dan luar negara sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

Jelasnya, usaha pentadbiran Hajiji untuk membasmi kemiskinan di Sabah jelas terbukti apabila berjaya menghapuskan golongan miskin tegar di bawah pelan SMJ pada Julai tahun lalu.

“Pada tahun lalu, Sabah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion daripada pelbagai sektor bagi memacu ekonomi negeri itu. Malah dengan jangkaan pelaburan berjumlah RM58.3 bilion tahun ini membuktikan usaha berterusan Hajiji membasmi kemiskinan.

“Ia memperlihat bahawa masalah kemiskinan yang telah lama berakar umbi di negeri ini dan memerlukan pendekatan yang drastik dan holistik oleh kerajaan Sabah diselesaikan di bawah pentadbiran Hajiji menerusi pelan SMJ yang membuka peluang pekerjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, pentadbiran Hajiji dikritik oleh Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, membabitkan Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mohd. Shafie mendakwa belanjawan tersebut gagal menangani isu asas rakyat terutama kemiskinan, pengangguran dan kos sara hidup.

Mengulas hal itu, Shahidah berkata, kegagalan membangunkan Sabah di bawah pentadbiran Mohd. Shafie menjadi penghalang utama kepada peningkatan kualiti hidup rakyat Sabah sehingga menjejaskan kemasukan pelaburan atau menyediakan peluang pekerjaan.

Jelasnya, Hajiji menampilkan kepimpinan yang berbeza dengan memberikan perhatian ekonomi Bumiputera melalui pelbagai program keusahawanan, latihan kemahiran, serta peningkatan akses pembiayaan kepada usahawan luar bandar.

“Melalui inisiatif ini, lebih 4,000 usahawan Bumiputera telah menerima manfaat dalam bentuk geran, latihan, dan insentif pembangunan kapasiti.

“Kritikan Shafie terhadap pentadbiran Hajiji dilihat tidak berasas memandangkan beliau gagal menyediakan infrastruktur luar bandar, pelan pembangunan yang tidak berkesan dan tiada impak jangka panjang.

“Oleh itu, dengan pendekatan lebih pragmatik, telus dan bersandarkan data, kepimpinan Hajiji nyata lebih berkesan dalam memacu Sabah ke arah pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.

“Hala tuju SMJ bukan sahaja membawa pelaburan bernilai berbilion ringgit, malah meletakkan asas yang kukuh untuk Sabah bangkit sebagai negeri maju menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN