MOSTI laksana rehabilitasi tingkatkan gamat emas di Langkawi

MOSTI laksana rehabilitasi tingkatkan gamat emas di Langkawi

HASNOL Zam Zam Ahmad menunjukkan juvenil atau benih gamat emas yang akan dilepaskan ke laut untuk pembiakan di bawah Projek Rehabilitasi dan Konservasi Gamat Emas Langkawi di Pulau Singa Besar, Langkawi. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Terkenal sebagai permata pelancongan Malaysia, Pulau Langkawi bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semula jadi, malah turut menyimpan khazanah biodiversiti laut yang unik.

Salah satu spesies yang cukup sinonim dengan Langkawi adalah gamat emas atau nama saintifiknya stichopus horrens, sejenis hidupan laut yang terkenal dalam perubatan tradisional Melayu.

SEBAHAGIAN daripada 200 juvenil atau benih gamat emas yang dibiakkan di makmal oleh USM sebelum dilepaskan ke laut bagi Projek Rehabilitasi dan Konservasi Gamat Emas Langkawi di Pulau Singa Besar, Langkawi.

Namun kebelakangan ini, populasi gamat di sekitar perairan Langkawi menunjukkan penurunan yang membimbangkan, malah berada di ambang kepupusan.

Kepupusan gamat bukan sahaja menjejaskan biodiversiti marin tetapi memberi kesan kepada ekonomi penduduk tempatan yang bergantung kepada industri berasaskan gamat kerana produk itu merupakan sumber pendapatan penting bagi sesetengah komuniti di Langkawi, selain menjadi tarikan pelancong.

Berikutan kepupusan gamat di Langkawi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dalam merangka penyelesaian berkesan di bawah Program Rehabilitasi dan Konservasi Gamat Emas di Langkawi.

PENYELAM membawa juvenil atau benih gamat emas turun ke dasar laut untuk ditempatkan di kawasan pembiakan gamat emas bagi Projek Rehabilitasi dan Konservasi Gamat Emas Langkawi di Pulau Singa Besar, Langkawi.

Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, sebuah pusat pembiakan gamat emas dibangunkan di Pulau Singa Besar, di sini yang mana kajian lokasi itu dipertanggungjawab kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk melihat kesesuaiannya.

“Universiti Sains Malaysia (USM) pula memfokuskan kepada aspek-aspek berkaitan pembiakan semula melalui kajian-kajian di dalam makmal untuk mempertingkatkan keupayaan gamat emas ini boleh dipertingkatkan dalam tempoh lebih cepat.

“Setakat ini terdapat beberapa pencapaian di mana anak-anak gamat atau benih-benih gamat yang dihasilkan mempunyai keupayaan untuk hidup dalam persekitaran dengan lebih cepat dan dengan itu akan meningkatkan kemungkinan untuk anak-anak gamat ini boleh sampai ke peringkat dewasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hasnol Zam Zam berkata, gamat emas mempunyai potensi yang besar lebih-lebih lagi apabila hanya dua lokasi di dunia yang memiliki spesies tersebut iaitu di Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor, Perak.

Katanya, objektif program itu bukan sahaja untuk mengembalikan semula populasi gamat emas di Pulau Langkawi tetapi paling penting supaya industri hiliran yang berkaitan dengan gamat emas dapat dihidupkan semula.

“Pada masa sama, satu kajian sedang dilakukan untuk melihat potensi-potensi lain gamat emas ini kerana seperti yang kita tahu, gamat ini terkenal untuk menyembuhkan luka kulit yang berkaitan terbakar dan sebagainya.

“Kandungan gamat emas juga memiliki kolagen yang perlu dibuat kajian lanjut apakah lagi produk-produk hiliran yang boleh dihasilkan, supaya di masa akan datang gamat emas ini mampu menawarkan pelbagai produk berkaitan dengan kesihatan kepada masyarakat dan pasaran,” katanya.

Dr. Sharmila Mohamed Salleh

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, projek rehabilitasi dan konservasi itu dilaksanakan selama tiga tahun bagi melihat pembiakan gamat emas yang berkualiti tinggi berbanding spesis timun laut yang lain.

“Kita juga mahu hasilkan produk hiliran yang bermutu tinggi melalui proses-proses teknologi yang ada di MOSTI dengan universiti terlibat. Jadi ekstrak-ekstrak itu yang akan jadi bernilai tinggi dan dapat digunakan.

“Perkara ketiga adalah kita membina pusat pembiakan di Pulau Singa Besar yang bertindak sebagai satu tempat pembiakan yang mana komuniti di Langkawi boleh menghasilkan sendiri model itu agar kelestariannya lebih jelas,” katanya.

Tambah Dr. Sharmila, sebanyak 15,000 juvenil gamat dijangka dapat dilepaskan dalam tempoh tiga tahun ditetapkan dengan 200 daripadanya serta 20 induk gamat emas dilepaskan di pusat pembiakan itu, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Hazami Habib pula berkata, tidak banyak bentuk penyelidikan seperti itu yang dilakukan sebelum ini yang menggabungkan kepakaran pelbagai pihak bagi memberi peluang kepada masyarakat menerima secara langsung hasil kajian.

“Selalunya universiti buat secara bersendirian kajian mereka tetapi kali ni ASM dan YIM gabungkan semua untuk bekerjasama supaya kita boleh tunjuk kesannya kepada masyarakat kerana biasanya orang tanya apa impak R&D, hanya di makmal sahaja.

“Jadi menerusi kajian berkaitan gamat emas ini, baru masyarakat boleh menyertainya kerana dengan langkah ini juga kita harapkan dapat meningkatkan ekonomi dan menjaga kelestarian spesies terancam seperti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, MOSTI yang turut disertai Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal mengadakan lawatan ke Projek Sistem Pintar Penternakan Ketam (SeppeK) dan Vertical Boxes Crab Breeders System (V-Crabs) di Crab Farm, Kubang Badak.

SeppeK merupakan alat penternakan pintar ketam yang menggunakan teknologi Industri 4.0 dalam sektor akuakultur dan berfungsi menggunakan laman sesawang dan aplikasi android untuk kawalan, pemantauan dan penyimpanan data tuaian.

V-CRABS pula membantu penternak ketam menghasilkan ketam lembut secara susunan menegak bagi menjimatkan ruang dan meningkatkan hasil tuaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN