Ahli Parlimen pembangkang sokong Petronas, akui keperluan Sarawak

Ahli Parlimen pembangkang sokong Petronas, akui keperluan Sarawak

Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainudin, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Saifuddin Abdullah menyeru Petronas dilindungi demi menjamin masa depan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dalam satu kesepakatan dua parti yang jarang berlaku, Ahli Parlimen dan ahli politik pembangkang termasuk dari Sarawak, tampil menyokong kerajaan dengan mempertahankan kepentingan Petronas kepada negara sambil mengakui keperluan Sarawak.

Mereka berkata, aspirasi Sarawak boleh dipenuhi tetapi bukan dengan mengorbankan Petronas sebagai ‘angsa bertelur emas’ negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri  Muhyiddin Yassin yang telah memeterai penyelesaian komersial dengan Sarawak pada 2020, memberi amaran supaya tidak memusnahkan ikon kebangsaan yang telah membangunkan sektor tenaga negara lebih dari lima dekad.

“Jangan sampai membunuh angsa bertelur emas kerana jika Petronas rugi, Sarawak juga akan rugi,” kata bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut turut berkongsi pandangan sama.

“Perjanjian adil adalah dengan mencari formula sebenar. Angsa menghasilkan telur emas perlu dipelihara demi masa depan rakyat negara ini,” ujarnya.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi amaran supaya tidak melemahkan salah satu institusi bertaraf dunia milik negara.

“Mengapa hendak membunuh pemain terbaik dalam pasukan,” soalnya sambil menambah Malaysia bakal bergelut mengisi kekosongan itu.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri  Radzi Jidin pula berkata, pertikaian antara Petronas dan syarikat minyak milik kerajaan Sarawak, Petros, perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan era kegemilangan Petronas hanya tinggal sejarah.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari memberi amaran melepaskan hak Petronas boleh melemahkan syarikat itu dan mengurangkan sumbangannya kepada perbendaharaan negara sebanyak 30%-40%.

Beliau turut menyeru kerajaan mendedahkan kepada umum berhubung kesan kewangan sekiranya hak Petronas hilang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut bersuara dan menyatakan ada cara lain menyelesaikan isu Sarawak tanpa menjejaskan syarikat minyak nasional itu.

“Mungkin ada penyelesaian lain yang juga menguntungkan Sarawak.

“Tetapi memusnahkan Petronas adalah tindakan buruk kerana ini satu-satunya syarikat membanggakan rakyat Malaysia. Ia syarikat yang hebat,” katanya.

Beliau menekankan Petronas memainkan peranan penting dalam pengumpulan dan pengagihan semula kekayaan negara.

Tengku Razaleigh Hamzah, pengasas Petronas pada 1974 pula berkata, walaupun keluhan Sarawak harus ditangani, ia tidak boleh mengorbankan kepentingan negara.

“Kalau Sarawak rasa mereka telah dipinggirkan, bawa isu itu kepada Perdana Menteri. Saya pasti mereka boleh menyelesaikannya. Tetapi tolonglah, jangan bunuh angsa yang bertelur emas,” ujar beliau.

Walaupun ramai pada awalnya bersimpati dengan usaha Sarawak mendapat lebih banyak autonomi, reaksi awam berubah secara ketara selepas negeri itu mengeluarkan notis undang-undang kepada Petronas Carigali, menuduhnya beroperasi secara haram.

Langkah itu mencetuskan kebimbangan meluas di media arus perdana dan media sosial, dengan kebimbangan mengenai kesannya terhadap ekonomi Malaysia.

Intipati pertikaian berkait tindakan Sarawak mengambil alih kawalan agihan gas dengan melantik Petros sebagai pengumpul tunggal negeri – secara efektif membolehkannya menetapkan harga.

Sebelum ini, peranan itu dipegang Petronas yang membolehkannya menyelaraskan keseluruhan rantaian bekalan — dari pengeluaran luar pesisir hingga jualan hiliran — dan menjana pendapatan tahunan RM10 bilion hingga RM20 bilion.

Sarawak kini berpotensi memperoleh pendapatan itu dengan mengorbankan Petronas – satu tamparan besar, memandangkan Petronas menyumbang RM30 bilion hingga RM50 bilion setahun kepada perbendaharaan, hampir 20% daripada hasil negara.

Kehilangan kuasa penetapan harga juga bermaksud integrasi operasi huluan dan hiliran yang lancar sebelum ini kini menjadi terpisah.

Ini bermaksud ‘angsa bertelur emas’ negara kini terancam dari segi kewangan dan operasi.

Profesor Madya Universiti Nottingham Malaysia, Tricia Yeoh pula berkata, pertikaian ini datang pada waktu yang sangat tidak sesuai.

“Petronas sentiasa menyumbang secara besar kepada pembangunan Malaysia. Tindakan mengancam prestasinya akan menjejaskan kepentingan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Penganalisis juga pernah memberi amaran tentang kesan domino.

Jika isu ini tidak diselesaikan dengan baik, negeri pengeluar minyak lain seperti Kelantan, Terengganu dan Sabah mungkin mengikut jejak yang sama – sekali gus melemahkan keupayaan Petronas melabur semula, membiayai perbelanjaan modal atau mengekalkan pembayaran dividen.

Dengan lebih 400,000 pekerjaan bergantung kepada industri ini, kesannya boleh menjadi sangat besar.

Namun begitu, Sarawak menyatakan hasrat untuk bekerjasama.

Premier Abang Johari Openg menegaskan, negeri itu tidak berniat untuk menggantikan Petronas.

“Dalam industri gas, kita bekerjasama dengan Petronas. Lagipun, kita juga perlukan Petronas,” katanya.

Kenyataan beliau turut disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, anak jati Sarawak, yang berkata kedua-dua kerajaan sedang berusaha ke arah perjanjian komersial.

“Mengakui bahawa Petronas telah ditubuhkan dan mengurus seluruh sektor minyak dan gas di Sarawak, kita telah bersetuju (untuk membincangkan) satu perjanjian komersial,” katanya.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri, Julaihi Narawi, juga menekankan keperluan untuk rakan kongsi yang kukuh bagi melaksanakan Pelan Induk Gas negeri.

“Petronas paling sesuai untuk peranan itu,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi jaminan kepada Parlimen bahawa sebarang perjanjian akan kekal dalam kerangka Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).

“Kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri Sarawak telah mengesahkan Akta Pembangunan Petroleum 1974, satu undang-undang persekutuan,” katanya.

Namun, ketidaktentuan undang-undang masih wujud.

Sarawak menuntut bahagian yang lebih besar daripada hasil yang dijana oleh Petronas, dengan hujah bahawa minyak dan gas ditemui dalam lingkungan 200 batu nautika dari pantainya berada dalam sempadan wilayahnya.

Negeri itu berkata, sempadannya telah diperluas oleh satu perintah era penjajahan yang dikeluarkan oleh Ratu Elizabeth II pada 1954.

Ia juga merujuk kepada enakmen negeri seperti Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016, serta telah menubuhkan Petros untuk mengawal sumber O&G dalam sempadannya.

Namun begitu, pakar undang-undang mempertikaikan kesahan tuntutan ini.

Mereka berhujah bahawa PDA memberikan Petronas hak milik eksklusif ke atas semua sumber petroleum darat dan laut, mengatasi undang-undang negeri, dan berdasarkan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan, mana-mana undang-undang negeri yang tidak selaras dengan undang-undang persekutuan adalah tidak sah setakat ketidakselarasannya.

Akibatnya kini wujud kekeliruan.

“Kini wujud kekaburan dari segi dasar dan peraturan,” kata Yeoh. “Syarikat minyak antarabangsa tidak tahu siapa yang berkuasa.”

Kekeliruan itu telah mendorong Shell mendapatkan injunksi mahkamah bagi mengelakkan arahan bercanggah dan mungkin menjelaskan mengapa ConocoPhillips menarik diri daripada projek laut dalam bernilai RM13.7 bilion.

Yeoh mengakui aspirasi Sarawak tetapi memberi amaran ia tidak sepatutnya melemahkan Petronas.

“Tidak berada dalam kepentingan Petros untuk melemahkan Petronas sehingga menyebabkan kejatuhannya,” katanya.

“Mereka perlukan kepakaran teknikal Petronas. (Petros) hanyalah syarikat yang baru berusia tujuh tahun.”

Bekas pemimpin PKR Sarawak, Iswardy Morni berkata: “Saya bimbang tindakan tertentu boleh membunuh angsa bertelur emas kita sendiri,” katanya, sambil merujuk kepada kegagalan lalu apabila institusi tempatan kekurangan skala, pengalaman atau rangkaian.

“Pangkalan pelanggan mereka kecil, rangkaian terhad dan mereka kurang pengalaman mendalam,” jelasnya.

Pengerusi PN Sarawak Jaziri Alkaf menambah: “Kita tidak mahu hanya menjadi juara di laman sendiri. Kita perlu realistik dalam berniaga — kita mesti pastikan angsa itu bertelur lebih banyak supaya semua mendapat manfaat dan sokongan.”

Bekas menteri luar negeri Saifuddin Abdullah yang menyuarakan kebimbangan mengenai ancaman terhadap kedaulatan tenaga Malaysia, memberi amaran Petros mungkin terpaksa bergantung kepada firma asing jika menyingkirkan Petronas.

“Bagaimana jika mereka (Petros) terpaksa bawa masuk pihak luar? Itu yang rumit,” katanya.

Yeoh menyeru agar struktur yang jelas diwujudkan segera.

“Jangan buat secara tergesa-gesa. Bentuk jawatankuasa kerja untuk enam hingga 12 bulan,” katanya sambil mencadangkan penubuhan pasukan petugas Persekutuan-negeri untuk merangka butiran lanjut. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN