PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti sebanyak 71 buah sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor yang akan diberi kebenaran untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada 26 Mei hingga 28 Mei ini.
Langkah itu diambil sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung sepanjang tempah tersebut.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memberitahu, cadangan kebenaran pelaksanaan PdPR bagi sekolah-sekolah terlibat mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan.
“Ia bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid di sekolah-sekolah yang terlibat tidak terjejas,” katanya.
Menurut kenyataan itu, ibu bapa, penjaga, murid, guru dan warga sekolah terlibat dinasihatkan untuk merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan PdPR.
“KPM yakin pengalaman melaksanakan PdPR sewaktu pandemik Covid-19 dan semasa dalam situasi bencana dapat memastikan kelangsungan proses pembelajaran.
“Pada waktu sama aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah juga terpelihara,” ujar kenyataan itu.
Minggu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyarankan orang ramai di Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam sepanjang penganjuran sidang kemuncak itu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Katanya, sempena sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China, sejumlah ketua kerajaan dan ketua negara akan tiba di Malaysia sama ada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang atau Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mulai Khamis ini.

Sidang tersebut menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan pelbagai isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi.
Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari lalu daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UTUSAN