Jaul buktikan sekolah pedalaman boleh cemerlang

Jaul buktikan sekolah pedalaman boleh cemerlang

Abang Johari (tengah), Azhar (empat kanan) dan Wan Munadi (empat kiri) bergambar dengan para penerima Anugerah Pendidikan Sarawak 2024, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Melihat keadaan sekolah yang daif dan terletak jauh di kawasan pedalaman, menjadi motivasi kepada Jaul Bunyau untuk membuktikan sekolah di kawasan pedalaman boleh mencapai kecemerlangan.

Biarpun mengakui ia bukanlah usaha yang mudah, namun bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai di Limbang itu telah berjaya mengubah sekolah yang terletak di tengah hutan dengan kemudahan yang terhad itu sehingga ke peringkat dunia, sehingga digelar sebagai ‘Permata Belantara’.

“Bagi saya, perkara yang memberi motivasi kepada saya adalah apabila melihat keadaan sekolah itu yang sangat daif dan memang jauh di pedalaman sehingga guru pun tidak mahu mengajar di situ.

“Dengan kekurangan kemudahan, saya tetap berusaha kerana itu bukan alasan untuk kita tidak dapat memajukan sekolah…kita tidak boleh tunggu semua kemudahan ada baru bergerak. Kami bermula dari kosong, memang sukar tapi tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Sebab itu, saya berusaha menukar ‘mindset’ guru termasuk pelajar dan ibu bapa sehingga akhirnya sekolah itu berjaya, bahkan orang luar boleh nampak yang sekolah pedalaman pun boleh berjaya,” katanya.

Menurut Jaul, 61, pencapaian paling membanggakan dirinya adalah apabila membawa SK Ulu Lubai merangkul kira-kira 46 anugerah di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang, termasuk memenangi Anugerah Amalan Pendidikan Terbaik Komanwel 2009 dan Anugerah Amalan Pendidikan Terbaik Antarabangsa UNESCO 2010.

“Kita lihat di situ, kalau sekolah terpencil boleh menang sehingga ke peringkat antarabangsa, tidak mustahil sekolah-sekolah lain juga boleh melakukan perkara yang sama,” katanya sambil menyuarakan harapan agar tahap pendidikan di Sarawak terus maju.

Atas sumbangan besarnya itu, Jaul telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Sarawak 2024 sempena Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024 dengan menerima loket emas serta wang sebanyak RM15,000 daripada Kerajaan Sarawak yang disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah utama pada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024 adalah Dr. Norisah Suhaili yang dianugerahkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan.

Pengarah Pendidikan Sarawak Datuk Dr Azhar Ahmad berkata tahun ini, pihaknya mendapat pelbagai sumbangan daripada rakan strategik dalam menjayakan Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024, termasuk tajaan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebanyak RM9,000 untuk sembilan Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa.

“Kita akan teruskan anugerah seperti ini pada masa akan datang untuk memberi motivasi, penghargaan dan pengiktirafan kepada semua guru yang mencapai pelbagai bentuk kejayaan,” katanya.

Menurut Azhar, sejak bekerjasama dengan YGMB pada 2012, banyak bantuan serta sumbangan telah diberikan kepada guru-guru di Sarawak sama ada yang meninggal dunia, kemalangan, bersara dan sebagainya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sokongannya kepada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024 adalah bagi menghargai kejayaan serta kecemerlangan guru dalam pelbagai aspek.

“Sebagai sebuah institusi yang berperanan untuk memelihara kebajikan guru dan membantu memartabatkan profesion perguruan negara, kita mencari jalan dan melakukan pelbagai usaha untuk terus mengangkat martabat profesion perguruan.

“Salah satu usaha adalah dengan menyediakan anugerah seperti ini di semua peringkat,” katanya yang turut hadir pada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×