Program dual ijazah UMP, BJTU sumbang pembangunan industri rel - Utusan Malaysia

Program dual ijazah UMP, BJTU sumbang pembangunan industri rel

WAN Azhar Wan Yusoff (duduk, kiri) dan Mohd. Rosli Hainin hadir menandatangani MoA mewakili UMP di Hotel Zenith Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Program Dual Ijazah Universiti Malaysia Pahang (UMP)- Universiti Beijing Jiatong (BJTU) di China, membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, kepakaran dan pengalaman UMP dan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam bidang teknikal begitu relevan dalam menyumbang terhadap kelancaran serta kebolehcapaian matlamat bagi merealisasikan program tersebut.

“Program dual ijazah ini membuka lembaran sejarah antara UMP dan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik.

“Dalam pada itu, ia juga membuka peluang yang lebih meluas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik bagi kedua-dua universiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Azhar dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof. Dr Mohd. Rosli Hainin hadir menandatangani memorandum perjanjian (MoA) mewakili UMP dan pihak BJTU diwakili Presidennya, Prof. Dr. Wang Jiaqiong dan Timbalan Presiden (Antarabangsa), Prof. Dr. Guan Zhongliang secara dalam talian di Hotel Zenith Putrajaya, semalam.

Turut menyaksikannya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd Rahman; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

Sementara itu, Wan Azhar menyatakan pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di negara kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar serta berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.

“UMP dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadi peneraju Program Latihan kemahiran Industri ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) sejak 2017.

“Ia membabitkan program latihan seperti pengambilan dan pendaftaran peserta, pembangunan silibus, latihan profesional dan latihan industri.

“Selain itu penyediaan tenaga pengajar, kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan juga menyokong kepada agenda kebolehpasaran khususnya graduan institusi pendidikan tinggi (IPT),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya