Isu kursus tak relevan kisah 'kambing hitam' - Utusan Malaysia

Isu kursus tak relevan kisah ‘kambing hitam’

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAPA mahu menjadikan kursus tertentu di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai ‘kambing hitam’? Begitulah reaksi penganalisis pendidikan, Dr. Anuar Ahmad ketika diminta pandangan mengenai lambakan graduan kursus tertentu yang menganggur ketika ini.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Khuzairi Ismail, pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menjelaskan lebih lanjut mengapa kursus pengajian di IPT tidak wajar dipersalahkan dan bagaimana kadar pengangguran graduan dikaitkan dengan keadaan ekonomi semasa negara.

UTUSAN: Apakah Dr. bersetuju kursus di IPT ketika ini tidak relevan?
ANUAR AHMAD: Pada saya semua kursus semasa yang sedang berjalan di universiti adalah relevan. Sebabnya semua kursus itu diaudit bukan sahaja Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan bahagian akademik universiti tetapi juga oleh panel-panel penilai industri. Biasanya antara tiga hingga lima tahun sekali semua kursus di universiti akan menjalani audit yang ketat. Ini termasuk menilai soal relevan dan kesesuaian dengan pasaran kerja. Jadi tidak timbul kursus semasa yang dilaksanakan di universiti tidak relevan selepas melalui pelbagai audit dan libat urus dengan pelbagai pihak khususnya pihak industri.

UTUSAN: Sejauh mana keberkesanan penilaian kursus yang diaudit itu?
ANUAR AHMAD: Oleh kerana semua kursus yang ditawarkan perlu mendapat penilaian pihak agensi, majikan atau industri, maka kursus yang ditawarkan oleh universiti adalah bersifat terkini dan mempunyai permintaan masyarakat. Biasanya kursus yang tidak relevan atau kurang mendapat sambutan akan dimansuhkan selepas melalui proses penilaian oleh pakar bidang dan perlu melalui jawatankuasa akademik di peringkat jabatan, fakulti dan senat. Ini dilakukan secara proaktif dan berkala, bukan hanya apabila timbul sesuatu isu.

UTUSAN: Jadi mengapa boleh berlaku situasi graduan kursus tertentu paling tinggi menganggur?
ANUAR AHMAD: Memang ada sebahagian kursus di universiti yang lama ditawarkan perlu dikaji semula. Bukan untuk dimansuhkan tetapi perlukan penambahbaikan. Data Bank Negara pada 2018 menunjukkan program Pengajian Sains Sosial (termasuk Pengajian Islam) dan Sains Tulen adalah program yang mempunyai kadar graduan menganggur yang tinggi berbanding program pendidikan, kejuruteraan, perubatan dan ekonomi. Oleh itu ketiga-tiga program ini iaitu Sains Sosial, Pengajian Islam dan Sains Tulen perlu dikaji dan ditambah baik supaya graduannya lebih kompetitif dalam kerjaya. Perlu ada elemen keusahawanan dan inovasi dalam ketiga-tiga program pengajian ini. Bukan dimansuhkan sebab ketiga-tiganya ini adalah bidang ilmu pengetahuan yang sangat penting kepada masyarakat.

UTUSAN: Apa peranan universiti dalam menangani isu ini?
ANUAR AHMAD: Memang ada beberapa usaha khususnya pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan MQA dalam mendepani isu ini. Begitu juga dengan pihak Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT). Tetapi soal induk kepada isu ini ialah prestasi ekonomi, bukan isu kursus pengajian di universiti. Jika kita lihat sejarah, apabila prestasi ekonomi negara baik, peluang pekerjaan semakin banyak. Sebab itu isu pengajian di universiti tidak pernah timbul ketika ekonomi negara berkembang baik. Ramai graduan ditawarkan pekerjaan termasuk pekerjaan bukan dalam bidang pengajian. Puncanya ekonomi sedang berkembang, pelaburan meningkat. Maka peluang pekerjaan banyak dalam industri. Apabila ekonomi merudum, pelaburan luar negara merosot dan kerajaan tiada inisiatif baharu menggalakkan pasaran ekonomi, maka peluang pekerjaan mulai menguncup. Lebih parah, pembuangan pekerja pula yang meningkat.

UTUSAN: Adakah isu pengangguran graduan tertentu yang tinggi ini boleh diatasi?
ANUAR AHMAD: Isu relevan atau tidak kursus universiti tidak timbul kerana bukan penyebab kepada pengangguran. Isu kursus universiti tidak relevan ini hanya kisah ‘kambing hitam’. Penyebab utama kepada pengangguran siswazah ialah ketidakupayaan prestasi ekonomi dan kegagalan kerajaan semasa dalam meningkatkan pasaran ekonomi dan peluang pekerjaan negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN