Kenapa panas sangat van ini bang? - Utusan Malaysia

Kenapa panas sangat van ini bang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VAN jenazah yang saya pandu akhirnya sampai juga di parkir masjid. Selepas membuka bonet, saya dan Hisham bersama-sama mengangkat keranda ke kolah berhampiran untuk dibersihkan.
“Sham, kamu cuci ye, aku nak rehat sekejap. Penat betul hari ini. Rasa tak cukup nafas pula,” kata saya sambil mengelap peluh di dahi.
Hisham mengangguk. Saya faham apa yang bermain di fikirannya ketika itu. Pasti dia juga memikirkan kejadian yang berlaku pada hari ini. Sambil bersandar di kerusi luar masjid mata saya memandang ke arah van jenazah itu. Sekaligus fikiran saya merewang memikirkan apa yang berlaku tadi…
Setelah jenazah diletakkan dalam kenderaan, saya lantas menghidupkan enjin.
“Okey, boleh jalan dah bang,” kata Hisham ke arah saya.
Dengan lafaz Bismillah saya memandu keluar dari pekarangan hospital untuk menuju ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 30 kilometer. Perjalanan cukup lancar ketika itu cuaca juga amat cerah. Rasanya mungkin saya boleh sampai awal dari dijangkakan.
“Ahli keluarga arwah semua tunggu di tanah perkuburan ke bang?” Tanya Hisham sambil jarinya menekan butang di radio untuk memasang bacaan ayat suci al-Quran.
Saya mengangguk. Sekejap-sekejap mata saya liar menoleh cermin sisi di kiri kanan kenderaan dengan niat untuk mencari laluan yang sesuai ketika itu.
Namun apabila saya ingin memotong kenderaan lain saya dapat rasakan sesuatu yang pelik dengan kenderaan tersebut. Ia tidak boleh memecut laju, enjinnya seakan semput walaupun saya sudah menukar gear rendah ketika itu.
VROMMM… VROMMM… VROMMMM…
Berkali-kali saya menekan pedal minyak namun kenderaan itu seakan berat untuk bergerak, seolah-olah sedang membawa beban yang bertan-tan beratnya.
“Eh, kenapa pula dengan van ini bang? Macam nak rosak. Tersengguk-sengguk,” tanya Hisham memandang ke arah saya.
“Entahah. Tadi elok, ini tiba-tiba buat hal pula. Baru hantar servis minggu lepas,” jawab saya sambil tangan ligat menukar gear.
“Eh, kenapa pula aircond van ini? Tiba-tiba panas pula,” kata Hisham kepada saya sambil mengelap peluh di dahinya. Saya toleh ke arah punat penghawa dingin di kenderaan.
“Dah habis kuat dah ni,” kata saya sambil jari jemari ligat memusing suhu penghawa dingin di hadapan.
“Panas sangat ni. Dah lenjun baju saya ni. Kalau macam ni gayanya mahu mandi peluh kita bang,” kata Hisham lagi.
Suasana di dalam kenderaan ketika itu cukup panas dan berbahang walaupun tingkap sudah diturunkan. Berjujuran peluh di dahi saya ketika itu.
“Hadoiii ingatkan van ni saja yang semput, rupanya aircond pun bermasalah. Pengsan kita kalau mcam ini bang. Sudahlah matahari tegak di kepala ni,” ngomelnya perlahan.
Tapak kaki saya juga sudah lenguh sebenarnya. Sedari tadi saya memang menekan pedal minyak pada tahap maksimum, namun tidak saya beritahu kepada Hisham, risau kalau-kalau ada perkara lain bermain di benaknya ketika itu.
“Bang, memang tak boleh laju lagi ke?” Tanya Hisham seolah dapat membaca fikiran saya.
“Aku dah tekan habis ini tapi tak tahulah apa problem van ni. Nampaknya esok kena bawa ke bengkel semulalah,” kata saya berterus terang.
Keadaan kami ketika itu memang agak mencabar. Sudahlah penghawa dingin rosak, kenderaan yang dipandu pula semput dan tersengguk-sengguk seperti ingin kehabisan minyak. Saya toleh jarum meter di hadapan yang sedari tadi menunjukkan kelajuan 30 kilometer sejam.
“Kalau macam ini gayanya bang tak mungkin kita boleh sampai ke kubur selepas Zuhur ni. Silap haribulan mahu lajak ke Asar,” kata Hisham sambil menyeka peluh di dahinya.
Saya hanya mampu menyuruhnya bersabar. Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan jenazah yang dibawa ketika itu. Walaupun saya sudah lama memandu van jenazah namun perkara sebegini memang tidak pernah terjadi. Jika difikirkan semula memang mustahil van yang kami pandu ini rosak apatah lagi dua masalah yang datang sekali gus. Seolah-olah jenazah ini tidak ‘bersedia’ untuk menuju ke tanah perkuburan.
Perjalanan yang sepatutnya memakan masa setengah jam akhirnya berlarutan lebih dua jam. Alhamdulillah, akhirnya kami sampai juga di tanah perkuburan. Beberapa waris arwah bertanya kami tentang kelewatan itu. Terpaksalah saya dah Hisham mereka cerita kononnya ada kesesakan di jalan raya. Tidak manis pula jika kami menceritakan keadaan sebenar takut kalau ada yang berfikir sebaliknya pula.
Sebaik sahaja jenazah ingin diturunkan ke liang lahad sekali lagi kami tergamam, aroma yang datang dari jenazah membuatkan saya dan Hisham berpandangan.
“Ya Allah, busuknya bang. Datang dari mana pula bau ini?” Bisik Hisham di telinga saya.
Saya beri isyarat supaya jangan bertanya lagi. Cukuplah dengan apa yang kami lalui sepanjang perjalanan tadi walaupun bau yang kurang menyenangkan itu terus menusuk ke rongga hidung.
Ketika jenazah selamat dibawa ke liang lahad saya dan Hisham masih dapat mencium bau itu walaupun sudah tidak sekuat tadi. Saya rasa tetamu yang hadir juga dapat menghidu bau tersebut.
Setelah selesai semuanya saya dan Halim meminta diri untuk pulang. Dan sekali lagi kami berasa pelik kerana sebaik masuk ke kenderaan dan buka penghawa dingin, suasana terus bertukar menjadi sejuk. Kami berpandangan.
Sepanjang perjalanan untuk menghantar kenderaan di masjid, saya dan Hisham dapat melihat perubahan ketara. Van tersebut bergerak lancar seperti sebelumnya dan penghawa dingin pula berfungsi dengan baik.
“Mungkin Allah nak tunjukkan pada kita yang tinggal ini agaknya,” kata saya perlahan ke arah Hisham.
Ketika memandu fikiran saya terus teringatkan perbualan dengan seorang waris arwah sebelum menaiki kenderaan untuk pulang tadi. Dia seakan tahu tentang apa yang berlaku.
“Harap-harap apa yang berlaku sepanjang perjalanan tadi rahsiakanlah iya bang,” katanya kepada saya. Saya tergamam sambil tersenyum. Lelaki tersebut seakan dapat membaca setiap apa yang ada di fikiran saya ketika itu.
“Arwah ini ketika hayatnya memang lain macam sikit bang. Walaupun syarikatnya besar tapi dia memang tak suka bercampur gaul dengan masyarakat kecuali yang setaraf dengannya. Cuba abang tengok, seorang pekerja dia pun tak datang waktu kebumi tadi,” kata lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai sepupu arwah.
Kata lelaki itu, arwah merupakan seorang kontraktor berjaya tetapi suka menindas pekerja bawahannya. Hidupnya pula lebih kepada gaya Barat sehinggakan nak cium sejadah pun jauh sekali.
Terdiam saya mendengar ceritanya, namun kami tidak ada masa yang cukup panjang untuk berbual lanjut. Sebelum berlalu, dia sempat memberikan nombor telefonnya kepada saya. Dan saya berjanji untuk menghubunginya selepas ini. Saya ingin tahu cerita sebenar yang berlaku kepada arwah ketika hayatnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya