Bahana hijab mata dibuka - Utusan Malaysia

Bahana hijab mata dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN semua makhluk ciptaan Allah SWT diberikan kelebihan untuk melihat alam di sebalik mata. Hanya insan terpilih sahaja yang dapat keistimewaan ini, malah jika diberi pilihan rasanya pasti ramai yang menolak kerana tidak mampu memikul ‘keistimewaan’ tersebut.
Namun ada segelintir individu yang merasakan jika hijab mata dibuka pasti memberikan pengalaman yang menakjubkan serta menyeronokkan, maklumlah dapat lihat apa yang orang lain tidak boleh lihat. Mereka sama sekali tidak memikirkan risikonya sekadar memikirkan keseronokan yang dikecapi ketika itu.
Begitulah yang terjadi dengan seorang pemuda bernama Razif. Menurut rakan rapatnya Jazli, Razif bukan sahaja bersungguh-sungguh ingin melihat alam di sebalik mata, malah sanggup berusaha mencari orang yang mampu membuka hijab matanya.
“Alah, kau kan banyak kenal orang. Macam-macam kau dah jumpa, takkan tak ada bomoh yang yang boleh buka hijab mata aku ni?,” Tanyanya bersungguh-sungguh.
Jazli menggelengkan kepala. Rasanya ini bukanlah kali pertama Razif bertanyakan hal itu. Sudah lali telinganya mendengar soalan sama sehinggakan ada ketikanya dia terus ubah topik perbualan supaya rakannya itu tidak lagi mendesaknya dengan permintaan yang tidak masuk akal itu.
“Kau ini tak habis-habis nak buka hijab mata. Kau ingat seronok? Nanti kau tak mampu terima kesannya,” kata Jazli sedikit menyingga. Razif hanya tersengih kelat.
“Alah, aku nak cuba. Selalu dengar orang cerita macam best, nak juga alami sendiri,” sambungnya.
Jazli hanya menggelengkan kepala sambil beristighfar panjang. Dia sendiri tidak tahu apa yang ada di fikiran sahabatnya itu. Namun dia tetap tidak mahu melayan permintaan bodohnya itu walaupun hakikatnya dia mengenali beberapa bomoh yang boleh membuka hijab di mata manusia.
————————
Hampir sebulan Jazli tidak mendengar sebarang khabar berita daripada Razif. Dia sendiri tertanya-tanya ke mana hilangnya sahabatnya itu kerana kebiasaannya Razif akan menghubunginya untuk bertanya khabar lebih-lebih lagi jika sudah lama tidak berjumpa.
Namun kali ini rakannya itu hilang tanpa khabar berita. Dia pelik dan tertanya dalam hati, takut kalau-kalau Razif jatuh sakit ataupun sedang berhadapan dengan masalah.
Jangkaannya tidak meleset apabila mendapat berita sebenar setelah bertemu Hisham rakan sekampungnya di sebuah kedai runcit baru-baru ini.
“Betul ke apa kau cakap ini Sham? Sebab setahu aku Razif sihat sebelum ni. Tak nampak pula tanda-tanda dia sakit,” tanya Jazli inginkan kepastian.
“Betul beb! Aku dengar sekarang ni dia berkurung je dalam bilik. Langsung tak nak jumpa orang. Keluarga dia pun dah pening. Bila ajak keluar mulalah dia menjerit-jerit tak tentu pasal,” kata Hisham.
Setelah mendengar cerita tersebut, Jazli ambil keputusan untuk pergi melawat Razif. Dia ingin pastikan apa yang didengarnya itu benar. Sebaik memberi salam dan berbual seketika dengan ayah Razif lantas dia minta kebenaran untuk berjumpa Razif. Dan apa yang berlaku ketika itu benar-benar mengejutkannya. Jazli dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabatnya itu.
“Zif, kau kenapa ni? Kau ada masalah apa? Cuba cerita dengan aku,” kata Jazli perlahan.
Razif diam tidak menjawab. Matanya liar memandang ke kiri ke kanan dan sesekali ke arah atas seolah-olah mencari dan meninjau sesuatu yang Jazli sendiri tidak dapat menekanya.
“Itu…itu… dia ada di siling itu. Dia tengah bergayut tu. Mata dia merah, rambut panjang mengurai… Aku takut beb…aku takut!” kata Razif cemas.
Jazli toleh ke atas namun dia tidak nampak apa-apa yang pelik. Dia garu kepala sambil kerutkan dahi.
“Kau cakap apa ni beb? Tak faham aku,” tanya Jazli inginkan kepastian.
Razif diam tidak menjawab. Raut mukanya masih lagi cemas dan sesekali dia menekup mukanya dengan kedua tapak tangan. Tubuhnya berpeluh dan menggigil seolah takutkan sesuatu.
“Aku tak nak keluar Li… aku takut. Aku tak tahu nak pergi mana dah. Dalam bilik ini pun macam-macam yang datang, aku takut Li… aku takut, ” kata Razif dengan suara bergetar.
Setelah lama memerhatikan sikap rakannya itu dan bertanya serba sedikit apa yang terjadi barulah Jazli dapat tahu yang Razif telah melakukan sesuatu di luar jangkaan.
Iya, dia telah membuka hijab matanya. Perkara yang tidak pernah difikirkan oleh Jazli sama sekali. Tak sangka Razif nekad melakukan perkara yang di luar jangkaannya. Dan hari ini Razif terpaksa ‘membayar harga’ tersebut atas perbuatan semberononya.
Setelah berbual dengan ahli keluarganya barulah Jazli tahu rupa-rupanya Razif berjumpa seorang bomoh di daerah utara tanah air untuk membuka hijab matanya.
Semua ahli keluarganya menentang rancangan itu, namun mereka tidak berdaya untuk menghalang apatah lagi Razif pergi sendiri tanpa pengetahuan mereka.
Dan sebaik sahaja hijab matanya dibuka mulalah timbul cerita lain. Dari perasaan teruja timbul pula cemas dan takut.
Kata ayahnya, Razif mula bercerita yang dia sudah mula nampak pelbagai makhluk yang tidak pernah dilihatnya sehinggakan perkara tersebut mengganggu rutin hariannya.
“Bayangkan setiap kali keluar rumah dia sudah terganggu dengan pemandangan sekeliling sehinggakan jatuh sakit. Duduk di rumah pun dia tak tenteram. Katanya, macam-macam makhluk yang dia nampak sampaikan kami yang berada dalam rumah ini pun turut takut sama di buatnya,”
“Sekarang ini pakcik tak tahu nak buat macam mana. Kalau dibiarkan lama-lama nanti boleh gila dia nanti,” sambung ayahnya panjang lebar.
Setelah mencapai kata sepakat akhirnya saya berjaya memujuk Razif untuk memberitahu di mana lokasi bomoh tempat dia membuka hijab matanya.
Pada mulanya Razif enggan untuk mengikut kami kerana takut untuk keluar, namun setelah dipujuk dan ditemani seorang ustaz barulah dia akur untuk pergi.
Alhamdulillah, semua urusan untuk memulihkan Razif berjalan lancar. Menurut bomoh tersebut pada mulanya dia enggan menuruti permintaan Razif tetapi katanya hampir setiap minggu Razif datang ke rumahnya dan memujuknya. Razif kata, dia sekadar ingin mencuba dan bila sudah jemu nanti dia akan datang semula untuk menutup hijabnya.
“Awal-awal lagi saya dah pesan. Saya beritahu banyak keburukan. Tapi dia degil. Alhamdulillah umur saya masih panjang dan mampu menutup hijabnya semula, tetapi kalau ditakdirkan saya dah tak ada, macam mana?” Tanya bomoh tersebut sedikit kesal.
Urusan memulihkan Razif berjalan lancar. Alhamdulillah hampir sebulan menjalani rawatan dia akhirnya pulih. Bila saya tanya apa yang dia saksikan setelah hijab matanya dibuka, dia tersenyum.
“Panjang ceritanya,” kata Razif sambil memulakan cerita.
Apa ceritanya? Nantilah saya akan kongsikan kepada pembaca pada waktu akan datang. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya