ADA satu cerita yang ingin aku sampaikan kepada pembaca sekalian. Kisah ini terjadi pada awal 2015 di mana ketika itu aku sedang memandu pulang seorang diri dari utara tanah air ke Kuala Lumpur. Aku bekerja sebagai seorang pegawai pemasaran di ibu kota, tetapi minggu tersebut aku terpaksa menghadiri seminar dan sesi lampas otak yang diadakan syarikat, jadi hampir seminggu jugalah aku dan rakan-rakan berkampung di sana.
Aku bertolak dari Jitra lebih kurang pukul 10 malam. Sengaja aku pilih untuk memandu pulang lewat malam kerana jalan raya lebih tenang tanpa kesesakan. Rakan-rakan lain pula ada yang sudah bertolak siang tadi, malah ada beberapa lagi yang pergi membeli-belah di sempadan.
Setelah selesai mengemas pakaian dan segala barangan, aku memecut pergi. Suasana ketika itu cukup tenang dan nyaman. Aku genggam stereng dengan kemas sambil melayan lagu-lagu yang berkumandang di radio.
Rasanya kalau tiada aral melintang mungkin dalam masa empat jam akan sampai ke ibu kota. Sengaja aku tidak mahu memandu laju sebab tiada apa yang ingin dikejar pun. Lebih seronok jika memandu dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa, janji sampai dengan selamat.
Aku memandu tenang. Kenderaan di jalan raya juga lengang cuma sesekali sahaja aku berselisih dengan beberapa lori kontena yang membawa pelbagai muatan berat. Namun sebaik sahaja masuk ke lebuh raya aku tarik nafas lega kerana tidak perlu lagi mengekori kenderaan berat yang bergerak seperti kura-kura.
Sesekali aku menguap kecil sambil menggeliat perlahan untuk meregangkan urat-urat yang terasa lenguh. Titisan rintik hujan sudah mula membasahi cermin kereta. Aku perlahankan kelajuan. Risau pula kalau memandu laju di kala jalan raya licin seperti ini. Hujan tiba-tiba bertukar lebat. Jarak penglihatan di hadapan juga semakin terhad.
Sesekali jariku menekan punat di radio kenderaan. Maklumlah bila berada di lebuh raya memang sukar untuk dapat frekuensi yang tepat, jadi setiap waktu terpaksalah tukar siaran untuk mendapatkan pendengaran yang jelas.
Sedang lenguh jari menekan, akhirnya barulah aku berjaya dapatkan siaran yang jelas. Aku sendiri tidak pasti apa siarannya, yang pasti lagu-lagu yang diputarkan memang best dan menyegarkan telingaku. Jika ada lagu-lagu yang aku tahu liriknya, terus aku menyanyi dengan kuat. Ahh, dalam keadaan begini bukan ada sesiapa yang dengar pun, lantaklah jika tidak merdu sekalipun.
Aku menyanyi sambil sesekali jariku mengetuk-ngetuk stereng kenderaan. Lagakku tak ubah seperti seorang artis yang sedang asyik bermain dram. Seronok pula rasanya bila berkelakuan begitu.
Sebaik sahaja lagu habis dimainkan, deejay yang bertugas terus menyambung celotehnya. Aku menanti lagu seterusnya dengan sabar. Dalam hati berharap agar lagu seterusnya juga rancak supaya dapat hilangkan rasa mengantuk dan lesu ketika itu, namun sebaliknya pula yang berlaku.
“Aduhhhh… Lagu pontianak ni pula yang keluar,” kataku sambil mengeluh perlahan.
Aku lantas membatukan diri sambil memasang telinga mendengar alunan lagu itu. Walaupun tidak hafal liriknya, namun aku selalu mendengar lagu yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi wanita popular tanah air itu. Dan tidak silap rasanya lagu tersebut juga pernah menjadi ‘soundtrack’ untuk sebuah filem seram yang cukup terkenal satu ketika dahulu.
Aku mendengar lagu tersebut dengan khusyuk. Sesekali aku gerakkan bibir menyanyi dalam hati mengikut lirik yang ku tahu. Namun entah kenapa tiba-tiba aku perasan yang ada sesuatu yang tidak kena dengan lagu tersebut, cukup lain dan berbeza sama sekali.
Jariku ligat menekan butang di radio untuk memperlahankan lagu tersebut. Aku ingin dengar dengan jelas dan teliti, adakah telingaku yang tersalah dengar atau sebaliknya. Lagu yang berkumandang di radio akhirnya sayup dan perlahan. Namun tiba-tiba aku tersentak, serta merta jantungku berdebar kencang.
Jelas kedengaran dari arah belakang satu suara yang aku tidak pasti milik siapa sedang ikut serta menyanyi lagu yang dialunkan ketika itu. Suara tersebut cukup halus dan mendayu seakan penyanyi latar yang sedang mengiringi sebuah persembahan. Aku kaget dan tergamam. Bulu roma serta merta berdiri tegak. Suara siapakah itu?
Ikutkan hati ingin sahaja aku toleh ke belakang untuk melihat gerangan si empunya suara, namun ketakutan yang melampau ketika itu secara langsung membantutkan hasratku. Usahkan nak menoleh, nak mengintai dari cermin sisi pun aku berasa cuak.
Suara tersebut masih kedengaran jelas mengiringi lagu yang berkumandang di corong radio kenderaan. Ketika itu aku terfikir juga untuk menutup atau menukar siaran lain, namun terfikir juga kalau tindakan aku itu mengundang perkara di luar jangkaan.
Sambil beristighfar panjang dan membaca ayat-ayat suci al-Quran di dalam hati aku beranikan diri mengintai melalui cermin sisi pandang belakang dalam kenderaan. Sebaik sahaja mataku terarah ke kerusi belakang serta merta jantungku seakan disentap dari tubuh. Walaupun dalam kenderaan gelap, namun melalui cahaya lampu dari luar kenderaan aku melihat dengan jelas satu sosok yang menyeramkan sedang duduk di kerusi belakang.
Walaupun raut wajahnya tidak begitu jelas, namun aku dapat melihat sosok tersebut yang menyerupai seorang wanita berpakaian serba putih. Rambutnya yang panjang menutupi hampir keseluruhan wajah, amat menyeramkan. Aku kaget tanpa sepatah kata.
Nasib baiklah sosok tersebut tidak menampakkan rupanya dengan jelas, kalau tidak mahu tak keruan dibuatnya. Tubuhku berpeluh dan menggeletar. Kumat-kamit mulutku membaca ayat suci al-Quran.
Suara mendayu yang mengiringi nyanyian di stereo kenderaanku akhirnya tidak kedengaran lagi sebaik sahaja lagu tersebut tamat. Aku intai melalui cermin pandang belakang, sah! Sosok tersebut tidak kelihatan lagi. Aku hela nafas lega sambil urut dada. Rasa seakan baru terlepas daripada malapetaka.
Aku ambil keputusan untuk berhenti di kawasan rehat berdekatan. Rasanya aku perlu tenangkan diri buat seketika. Perasaan seram masih menghantui. Tak mampu rasanya untuk aku teruskan perjalanan dalam situasi begitu.
Sejak kejadian tersebut aku cukup fobia apabila mendengar lagu tersebut. Setiap kali berkumandang di udara pasti aku akan menukar siaran lebih-lebih lagi ketika sedang memandu. Tak kiralah di waktu siang atau malam, pengalaman lalu sudah menceritakan segalanya.
Pasti pembaca tertanya-tanya apakah judul lagu yang aku maksudkan itu? Biarlah aku rahsiakan, tetapi rasanya pasti ramai yang boleh meneka. Lagu yang mempunyai kesan dan kaitan. Tekalah sendiri… – MINGGUAN MALAYSIA
Lagu itu menghantuiku…
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 5 Februari 2023, 9:08 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Tags: Lagu itu menghantuiku…
BERITA BERKAITAN
‘Terima kasih hadir dalam hidup mama walaupun hanya untuk 20 tahun’
10 Oktober 2024, 8:30 pm
Lelaki maut motosikal ditunggang langgar lori tanpa muatan
10 Oktober 2024, 8:27 pm
Jenazah Ku Aizad selamat dikebumi
10 Oktober 2024, 8:26 pm