“Dah ready ke semua? Kalau okey boleh kita bertolak sekarang,” kata Lokman kepada Jailani. Temannya sekadar tersenyum sambil mengangkat ibu jari menunjukkan isyarat bagus. Tanpa buang masa mereka lantas menaiki kenderaan dan bertolak menuju ke destinasi yang diarahkan.
“Dah lama aku tak hantar jenazah jauh-jauh ini,” kata Lokman lagi. Sekali lagi Jailani tersengih kelat sambil menganggukkan kepala. Mungkin dia juga bersetuju dengan cakap rakannya itu.
“Tak apalah, kita bawa perlahan-lahan, janji sampai. Lagipun jenazah ini nak dikebumikan tengah hari esok,” sambungnya sambil menguap.
Begitulah gelagat mereka berdua. Ke mana sahaja sentiasa bersama. Sudah hampir lima tahun saling menemani antara satu sama lain, maklumlah tugas membawa kenderaan jenazah ini bukanlah mudah. Selain perlukan keberanian, jiwa juga kena kental kerana pelbagai perkara di luar jangkaan boleh berlaku.
Lokman memandu dengan tenang. Suasana di jalan raya ketika itu cukup sunyi. Hanya sesekali sahaja kenderaannya berselisih dengan beberapa pengguna jalan raya lain. Mungkin disebabkan hari sudah larut malam dan esoknya pula adalah hari bekerja, jadi tidak ramai keluar pada waktu itu.
Kenderaan yang dipandunya sudah masuk ke lebuh raya. Jika tiada sebarang masalah mungkin dalam jangka masa tiga ke empat jam lagi sampai lah mereka ke rumah keluarga arwah. Lantas dia menoleh jam di dalam kenderaan. Sudah hampir 12 tengah malam.
“Jauh juga rumah arwah ini, ikutkan aku tak pernah masuk area ini,” kata Lokman memulakan perbualan. Jailani mengerutkan dahi.
“Tak apalah kita cari sampai jumpa. Kalau tak jumpa nanti kita tanyalah orang kampung, janji sampai sudah,” kata Jailani sambil tertawa kecil. Lokman turut sama tertawa. Dalam hati dia mengakui juga kebenaran kata-kata rakannya itu.
“Eh, terlupa pula aku. Arwah ini meninggal dunia sebab apa?” tanya Jailani sebelum mengepit sebatang rokok di bibirnya.
Lokman memaut stereng dengan kemas sebelum menjawab pertanyaan rakannya itu. Katanya, arwah meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu pulang kerja. Hampir tiga hari juga arwah tidak sedarkan diri sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi.
“Tadi aku sampai awal di bilik mayat, jadi sempatlah juga aku bantu urusan mandi dan kafan arwah,” sambung Lokman lagi. Jailani tidak menjawab. Sesekali dia menghembus asap rokok ke arah tingkap yang terbuka.
Perjalanan tiga jam melalui lebuh raya nampaknya lancar. Sebaik sahaja kenderaan yang mereka naiki keluar ke susur masuk pekan Parit Buntar, Lokman terus memperlahankan kelajuan. Matanya mula mengintai papan tanda di sekitar jalan raya.
“Kalau ikutkan dalam setengah jam lagi baru kita sampai ke kampung arwah ini,” katanya perlahan. Jailani menganggukkan kepala. Sesekali dia juga meninjau ke luar tingkap seakan memastikan laluan yang mereka ambil itu betul menuju ke rumah arwah.
Hampir setengah jam memandu Lokman memperlahankan kenderaannya. Sekali lagi dia meninjau sekeliling. Beberapa rumah kampung yang mereka lalui juga sunyi sepi. Dia toleh jam, sudah hampir 4.30 pagi.
“Eh, rasanya kalau tak silap di kawasan inilah rumah arwah, tapi sunyi sepi saja,” katanya.
“Tak apa, kita bawa perlahan-lahan nanti jumpalah. Keluarga arwah pun tahu kita bawa jenazah dari Kuala Lumpur. Mestilah mereka tunggu,” kata Jailani.
Kenderaan yang mereka naiki terus menelusuri laluan kampung yang gelap gelita itu. Namun tiba-tiba Jailani meminta Lokman memberhentikan kenderaan.
“Stop Man… stop! Tu ada orang di depan. Biar aku turun tanya dia kejap. Entah-entah dia baru balik dari rumah keluarga arwah agaknya,” kata Jailani.
Tidak sempat Lokman berkata walau sepatah, Jailani sudah melompat keluar dari kenderaan. Dia hanya memerhatikan sahaja gelagat rakannya itu. Melalui sorotan lampu kenderaan dia dengan jelas dapat melihat rakannya itu sedang bertanya sesuatu dengan seseorang di bahu jalan hadapannya. Nampak lelaki tersebut sedang meluruskan tangan ke arah hadapan seakan sedang memberitahu sesuatu.
Tidak lama kemudian Jailani masuk semula ke kenderaan sambil tersengih kelat.
“Lelaki itu beritahu rumah arwah di depan tu. Dalam 300 meter saja,” katanya sambil membetulkan duduknya di kerusi. Lokman tersenyum sambil menukar gear kenderaan. Dan sebaik sahaja kenderaannya melewati lelaki tersebut, Jailani lantas meminta Lokman menurunkan tingkap.
“Terima kasih ye bang.., Assalamualaikum..,” jerit Jailani dari dalam kenderaan.
Lelaki itu hanya tersenyum memandang mereka sambil menganggukkan kepala. Namun entah kenapa tiba-tiba Lokman rasa jantungnya berdegup kencang. Seakan ada sesuatu tidak kena. Puas dia berfikir namun dia tidak jumpa jawapannya.
Alhamdulillah, akhirnya kenderaan mereka sampai juga di rumah arwah. Beberapa waris arwah memang sudah sedia menanti di halaman rumah. Sebaik sahaja Lokman mematikan enjin kenderaan terus mereka bergegas membawa jenazah masuk ke dalam rumah sebelum diletakkan di ruang tamu.
“Terima kasih kerana bantu bawa jenazah arwah. Lepas ini nak terus balik ke Kuala Lumpur ke?” tanya salah seorang ahli keluarganya sambil menuruti kami ke arah kenderaan.
“Kami pulang terus bang, maklumlah takut kalau-kalau ada tugas lain pula nanti,” kata Lokman sambil menghulurkan tangan. Setelah mengucapkan selamat tinggal mereka berdua terus beredar. Walaupun masing-masing menarik nafas lega kerana berjaya melunaskan tugas pada hari ini, namun perasaan Lokman masih tidak tenteram. Seakan ada sesuatu yang masih terpendam dan terbuku di lubuk hatinya.
Sebaik kenderaannya masuk ke lebuh raya, lantas dia menjeling Jailani. Dilihatnya rakannya itu sudah lena tersandar sambil berdengkur. Dan tanpa diduga tiba-tiba dia tergamam. Iya, dia dapat mengingati sesuatu ketika itu.
Memang tak silap lagi lelaki yang bercakap dengan Jailani di bahu jalan tadi saling tak tumpah dengan raut muka jenazah yang dibawanya. Dia amat yakin kerana waktu itu dia berada di sana ketika mayat dimandi dan dikafankan. Jantungnya berdegup kencang. Tangannya menggeletar. Perlukah dia mengejutkan rakannya memberitahu cerita itu atau menyimpan rahsia tersebut. Dia hilang kata-kata. – Mingguan Malaysia
Akhirnya aku dapat jawapan…
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 4 Disember 2022, 6:27 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Segera keluar daripada ‘perangkap’ pendidikan
22 September 2024, 8:15 am
Pendidikan 3M perlu strategi jangka panjang
15 September 2024, 10:03 am
Kerajaan Perpaduan melepasi 660 hari
15 September 2024, 8:28 am