Ulasan Bittersweet Years of Sing and Shout: Yang ulung dan ikonik - Utusan Malaysia

Ulasan Bittersweet Years of Sing and Shout: Yang ulung dan ikonik

BITTERSWEET meninggalkan seribu satu emosi dalam Konsert Bittersweet Years of Sing and Shout. - GAMBAR SAHAQ IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali menulis tentang Bittersweet, pasti ada cerita tentang lagu Hilang. Lagu itu memberi impak besar kepada saya, maka setiap kali ada ruang, saya catatkan penghargaan.

Tapi pengalaman mendengar Hilang dalam konsert Bittersweet’s Years of Sing and Shout (BYSS) pada 4 November lalu tidak begitu menyengat. Mungkin kerana sistem bunyi. Gesekan alat tali saya dengar tenggelam timbul, mengurangkan impak lagu berhantu itu.

Namun, saya tak kecewa kerana ada pengalaman baharu yang singgah malam itu.

Pengalaman itu datang dalam bentuk sonik dan visual. Mendengar beberapa lagu, menikmati jerit-pekik sing along dan menonton keseronokan penonton melayan persembahan Bittersweet — menyegarkan!

Beberapa lagu seperti A Perfect Match, Secret, Four Years dan Shiver meyakinkan saya bahawa Herri Hamid seorang komposer yang ulung. Lagu-lagu ini punya melodi yang sangat baik, yang saya fikir hanya boleh terbit dengan input melambak dan cita rasa tinggi.

Melihat Racun Dunia dipersembahkan secara langsung pula menambah kesal saya terhadap berita pembubaran Bittersweet dua tahun sudah. Sebab mereka memperkenalkan bunyi baharu dan ia sangat baik. Sayang yang baharu itu terhenti sekerat jalan.

Mendatar lalu memuncak

BYSS dianjur dengan agak tergesa-gesa. Tempoh persediaannya hanya satu bulan setengah. Untuk konsert solo 25 lagu, tempoh itu pendek.

Sebab itu ada beberapa kelemahan jelas, saya kira. Contohnya separuh pertama konsert yang mendatar kerana banyak lagu dipersembahkan tanpa perubahan ketara dari segi susunan.

Rugi tapi mengetahui tempoh persediaan yang pendek, ia boleh difahami. Tambahan pula, Fizan dan Herri sudah tidak kerap buat persembahan langsung. Mungkin lambat panas.

Namun, walaupun saya rasa mendatar, di sekeliling penonton menikmati persembahan itu. Mereka menyanyi, tersenyum, ketawa, bergerak, menari — mungkin rindu yang meledak mengetepikan segala penilaian lain.

Memasuki separuh kedua, segenap ruang JioSpace dipenuhi semangat muzik. Dari depan sampai belakang, orang menyanyi dan bergembira manakala di atas pentas, aura Bittersweet semakin meluap.

HAFIZAN RAZALI (kiri) dan HERRI HAMID. – GAMBAR SAHAQ IBRAHIM

Inggeris/Melayu

Saya diajukan cadangan. Cuba teliti perbezaan lagu Melayu dengan Inggeris Bittersweet. Semangat dan getarannya berbeza.

Selesai beberapa lagu, saya akui memang ada beza. Apabila ber-Inggeris, bunyi dan auranya betul-betul British. Apabila ber-Melayu, keluar segala Ipoh dan Seremban.

Yang Ipoh dan Seremban itu lebih menangkap; mungkin bahasanya dekat dan mesra, ada rasa kepunyaan dan maruah tempatan.

Tak banyak kugiran dwibahasa dapat capai perkara ini. Satu lagi kelebihan Bittersweet yang sukar untuk ditiru kugiran lain. Sebagaimana ajaibnya lagu Next Aidilfitri, rock n roll Barat yang boleh buat lidah kita rasa rendang maman.

Tidak penuh

Saya bertemu mata dengan ramai otai pada malam itu. Ini penghargaan besar pada Bittersweet, saya kira. Kembara muzik mereka dihargai dan dirai banyak nama besar.

Tetapi JioSpace tidak penuh.

Saya tak pasti berapa jumlah akhir yang beli tiket. Jumlah kehadiran mungkin lebih seribu tapi ini Bittersweet.

Berita pembubaran mereka menggegar, legasi muzik mekar. Tetapi JioSpace tidak penuh.

Banyak faktor perlu diambil kira: harga tiket, lokasi atau pemasaran tetapi penilaian akhirnya, JioSpace tidak penuh.

Ini boleh beri gambaran situasi lapangan sekarang. Bayangkan kesukaran kugiran yang lebih kecil.

BITTERWEET puas, peminat pun puas! – GAMBAR SAHAQ IBRAHIM

Liga sendiri

Adakah BYSS persembahan terakhir Bittersweet sebagai sebuah unit? Saya jangka tidak dan saya harap tidak.

Banyak lagi ruang untuk mereka teroka selepas ini. Banyak lagi hasil keringat belasan tahun yang boleh dituai.

Yang pasti, legasi sudah ditinggalkan. Herri akan selalu diingati sebagai komposer dan gitaris yang ulung, Fizan akan dikenang sebagai antara vokalis paling ikonik dan fotogenik.

Bittersweet? Kugiran satu dalam seribu. Mungkin tidak sepopular Hujan. Konsert mereka tidak penuh macam Butterfingers tetapi legasi mereka bersunyi dalam liga sendiri.

Ada banyak ciri unik yang ada pada kugiran ini. Mereka kugiran Ipoh yang tidak begitu Ipoh. Langkah awal mereka sudah sarat dengan lirik matang (ada kawan saya pernah tafsir yang lirik Kucing Hitam itu tentang anarkisme dan Burn It Down yang asalnya bertajuk Burn Berlin Down – ada sesuatu dalam kepala Pijie yang perlu dikorek).

Dalam BYSS, ada yang kurang dan ada yang lebih. Secara keseluruhannya, saya gembira hadir ke konsert itu. Saya gembira Bittersweet kembali bersatu di atas pentas dan saya gembira yang Bittersweet pernah wujud dalam radar muzik Malaysia. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.