PETALING JAYA: Prosedur operasi standard (SOP) untuk semua konsert dan festival terutama genre muzik tarian elektronik (EDM) perlu diteliti dan ditambah baik.
Maestro muzik terkenal negara, Datuk Ramli MS berkata, penempatan anggota polis yang lebih ramai dalam satu-satu konsert terutama bagi genre tersebut dapat mengekang tindakan yang melanggar peraturan dan undang-undang termasuk dadah.
“Ia bukan hanya di konsert atau festival muzik EDM tetapi turut melibatkan konsert lain juga lebih-lebih lagi sekiranya tiada atau kawalan keselamatan yang longgar.
“Lagipun kita tahu apabila sekumpulan individu yang meraikan konsert sebegitu sakan, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena. Sebab itulah penganjuran sesebuah konsert perlu diperketatkan lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Penganjuran konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown di Bandar Sunway mencetuskan kontroversi selepas empat individu disahkan meninggal dunia dipercayai mengambil pil dadah jenis ekstasi.
Susulan daripada itu Polis Selangor menangguhkan sementara permit penganjuran konsert di negeri itu.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi berkata, penganjuran festival muzik Pinkfish Countdown perlu disekat dan diharamkan pada masa akan datang selepas didapati melanggar peraturan.
“Kita perlu sekat sebarang budaya luar yang melampaui batas dan menjejaskan masyarakat di negara ini.
“Pernah dahulu pada 1975 berlaku satu konsert di mana pengunjungnya melakukan perkara sensitif dan di luar batasan. Dan jelas ia sememangnya bertentangan.Selepas itu konsert berkenaan ditutup. Jadi kita perlu lakukan perkara sedemikian,” jelasnya.
Menurut Zed Zaidi lagi, kebanyakan festival EDM sememangnya terdedah dengan dadah dan perkara yang tidak baik.
Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Think Geek Media, Ethal De Costa berkata, sekatan terhadap semua festival dan konsert genre EDM bukan satu jalan penyelesaian.
Sebaliknya kata beliau, penetapan syarat dan polisi ketat penganjuran konsert dilihat lebih baik dan banyak membantu dalam memastikan perjalanan sesebuah konsert lancar tanpa ada sebarang unsur penyalahgunaan atau penjualan dadah. – UTUSAN










