Gelinjang uja dan keluh hampa - Utusan Malaysia

Gelinjang uja dan keluh hampa

ROADIARC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini tahun mewah. Begitu banyak terbitan muzik dihasilkan dan kebanyakannya menggembirakan.

Saya pun dah dalam mood meneliti lagu-lagu untuk senarai terbaik tahun ini. Sebelum sampai detik itu, saya nak kongsi tentang lima kugiran ini dahulu.

Penemuan terbaik

Saya masih ingat malam itu. Saya dari Pulau Pinang, terus ke Rumah Tangsi untuk satu gig yang dianjurkan Awang Samrow.

Selain untuk bersama kugiran yang saya urus, iaitu motherwit, saya juga teruja mahu tonton Roadiarc.

Mereka kugiran yang menarik. Dalam temu bualnya bersama Noisy Headspace, mereka kata mahu main muzik yang orang lain tak pernah dengar. Ia berhasil, sekurang-kurangnya untuk saya.

Perasaan mendengar mereka mirip rasa pertama kali dengar Terrer. Dari segi lirik, mereka mengingatkan saya kepada Pulp. Tetapi ada hal yang unik pada Roadiarc, yang belum dapat saya pecahkan lagi.

Sebab itu Roadiarc ialah penemuan terbaik saya sepanjang 2023. Ada hembusan nafas segar pada setiap bunyi yang dihasilkan.

Dengarkan City of Rome dan Beginilah Ceritanya.

Antilazim

Menarik sebenarnya bagaimana Roadiarc boleh jadi penemuan yang paling mengujakan ketika saya sudah sedia jumpa Note/Void lebih awal.

Mungkin tahun lepas saya banyak dengar kugiran yang agak eksperimental, buat impak ‘jazz kotor’ Note/Void kurang impak pada saya.

Tapi itu tidak sedikit pun menurunkan taraf mereka di mata saya. Note/Void adalah apa yang lapangan independen perlu.

Ketika banyak kugiran meneroka jalan bersih, belajar menjadi arus perdana (tanpa meninggalkan comot-comot alternatif) dengan produksi kemas, pengurusan teratur dan ketagihan pop, Note/Void menjadi Robert Frost. Menunjukkan redup jalan yang jarang diambil.

Cuba dengar being normal is boring dan (???).

Tentang selera

Pernahkah anda berusaha keras untuk meminati satu kugiran sebab ramai orang lain suka tapi tetap tak boleh?

Itulah yang saya rasa dengan Smesta. Pertama kali saya dengar Kota Sengsara, sedap tapi taklah diulang berkali-kali.

Kemudian nama mereka mula mencanak, lalu saya fikir, “apa yang aku tak nampak?”.

Akhirnya saya berdamai: ia soal selera. Macam makanan Korea, ramai saja yang suka tapi jangan dipaksa saya telan kimchi. Kita boleh putus kawan.

EP Rotten Fantasy antara terbitan yang patut diraikan tahun ini. Ia membawa suara zaman ini tanpa perlu bergantung pada bunyian melankoli.

Smesta, seperti empty page., adalah kugiran yang tidak cocok dengan selera saya tetapi akan saya promosikan nama mereka sampai ke ceruk Johol. Sebab saya tahu mereka ada kualiti yang baik.

Apalah sangat yang perlu dipeduli dengan selera saya. Undi Carta Indie Kita pun paling banyak saya boleh bagi empat.

Cuba dengar Musnah dan Pesta Depresi.

Muda dan keras

Tibalah kita pada bahagian yang perlu ditulis berhati-hati agar tidak disalah tafsir.

Dalam keterujaan, saya juga pernah merasa hampa. Ini spesifik untuk dua terbitan ini: Elevate oleh d_leted dan dilemma (of a son) oleh NO:RE:SAN.

Hampa itu kerana saya sedar potensi mereka. Sekurang-kurangnya, kedua-dua kugiran ini saya tahu ada rangkaian yang baik dan latih tubi telinga yang banyak. Sebab mereka bukan wajah asing dalam lapangan.

Sayangnya, kedua-dua terbitan itu, bagi saya, kurang masak. Macam teruja beli durian, selepas dikopek, isinya keras dan muda.

Elevate lemah dari segi penerbitan, dari penulisan, susunan sampai pascaproduksi. Ia sebaiknya diperam lebih lama sebelum dilancar sebagai lagu tunggal d_leted.

Kedua-dua vokalis d_leted tidak memberi keadilan kepada lagu; kurang tenaga. Susunan juga banyak lompong yang boleh ditambah baik.

Fokus d_leted perlu ke arah dua perkara: berguru tentang susunan dengan sesiapa (atau upah sahaja penyusun) dan mencari suara sendiri. Ini penting supaya mereka tidak tenggelam dalam laut luas post-hardcore Malaysia.

dilemma (of a son) lebih baik dari segi kualiti tetapi tidak berjaya menyerlahkan personaliti kugiran. Ia sekadar another indie-rock song.

Ini mungkin bias yang buruk untuk mereka, sebab saya kenal NO dan SAN, jadi saya tahu kedalaman muzik mereka. Ia tidak terjelma dalam dilemma (of a son).

Tentang salah tafsir yang disebut awal tadi: ini bukan kritikan kepada d_leted atau NO:RE:SAN. Saya mengkritik produk sulung mereka yang tak cukup kuat untuk meninggalkan impak.

Ia potensi yang terbazir tetapi tidak bermakna kedua-dua kugiran itu tidak bagus. Pramatang kalau kita mahu simpulkan begitu.

Potensi sudah ada: rangkaian dan latih tubi telinga itu signifikan. Harapnya terbitan seterusnya akan lebih baik dan berimpak. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.