JEFF Mangum bernyanyi tentang seorang perempuan yang ditanam bersama ibu dan kakaknya, serta 500 keluarga lain.
Album In The Aeroplane Over The Sea, seperti yang diakui Mangum sendiri, memang ada pengaruh buku popular tentang Perang Dunia Kedua dan Holocaust, The Diary of Anne Frank.
Cara Mangum memasukkan isi fikirannya tentang perang, hal diabolikal dan Anne Frank sendiri agak aneh. Ia seperti berfikir dalam mimpi — kandungannya terapung dan surreal, kadang-kadang mengarut dan magikal.
Membaca temu bual Mangum dengan zine Puncture buat saya sedar satu lagi hal. Dia kagum dan seperti ketagih pada ketakutan.
Dia dengar kugiran hardcore Amerika Syarikat, Minutemen pada umur 14 tahun dan kagum pada jeritan dalam lagu Paranoid Chant (yang tak jerit sangat pun), malah takut. Dia juga rasa lagu-lagu dalam In The Aeroplane Over The Sea menakutkan.
Tapi pada ketakutan itu dia menyinar. Ketakutannya dibentuk menjadi seni yang malar dan segar sepanjang zaman.
“Banyak lagu dalam Aeroplane betul-betul buat aku takut dan aku perlu orang lain untuk buat aku selesa; dan untuk sedar yang ia okay untuk menyanyi tentang benda-benda ini, tak kurung (ketakutan) dalam diri.
“Ambil masa sikit untuk aku sedar yang lagu-lagu itu sebenarnya positif, bukan sekadar mimpi ngeri jahanam yang aku muntahkan,” kata Mangum pada Mike McGonigal.
MENGURUNG TAKUT
Di sini saya perlu letakkan pengakuan yang saya susah nak berkongsi apa-apa kemas kini atau berita tentang pembantaian Israel terhadap Palestin dalam media sosial.
Seperti Mangum ketika pertama kali mendengar Minutemen, atau pandangan awalnya tentang lagu-lagu dalam In The Aeroplane Over The Sea, saya takut dan saya kurung ketakutan dalam diri.
Gambar-gambar kemusnahan di Gaza atau Rafah akan ditatal laju. Saya takut kepala pecah kerana empati dan simpati.
Tapi saya ada kawan-kawan yang konsisten berkongsi dan bersuara tentang kekejaman Israel. Dan bila Johan Radzi mengakui hal sama seperti yang saya rasa di X, ia menyamankan.
Sebab itu saya fikir, biarlah Rondivu jadi platform untuk suara saya terhadap kebangsatan Zionis.
Sejak awal remaja saya membaca tentang sejarah dunia yang tak putus menjadi saksi kekejaman manusia. Gambar-gambar sengsara mangsa perang saya tatap.
Saya baca petikan testimoni saksi perang di Bosnia-Herzegovina. Bayi dikelar leher kerana menangis. Budak lelaki dipaksa rogol adik perempuan sendiri.
Saya tonton filem The Great Debaters yang merekod kebinatangan kaum kulit putih kepada bangsa kulit hitam pada era Jim Crow. Tentang asal perkataan “lynch”, tentang diabolikal.
Diabolikal perkataan terbaik untuk menggambarkan kejahatan manusia yang mencari kepuasan dalam perang. Sebab mereka sedang mengganti watak syaitan.
TAK BOLEH BUAT APA
Segala pengetahuan dan pengalaman awal remaja saya hancur jadi debu apabila dihadapkan penghapusan etnik yang diusahakan Israel.
Syaitan bernama Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant terlalu jahat untuk dilawan dengan pengetahuan sejarah. Mereka membantai rakyat Palestin secara real-life, real-time.
Saya jadi lemah dan cengeng. Jadi murung sebab tahu, batang tubuh saya di Malaysia tak boleh nak berbuat apa. Mahu bersuara pun, kotak suara menikus ketakutan.
Kalaulah ini semua mimpi, okay lagi. Macam Mangum yang ketakutan setiap kali bangun tidur, sebab sedar rohnya ada dalam badan. Dia masih boleh bangun, minum kopi dan ketakutannya hilang. Sebab realiti masih indah, nyaman dan boleh dibuat kawan.
Dunia hari ini, realiti tak boleh diajak berkawan. Realiti hari ini, ada manusia tak bersalah berhadapan maut dan kehilangan — setiap hari, setiap jam, setiap minit, setiap saat, setiap detik.
Apa jenis kekuatan yang Tuhan kurniakan pada rakyat Gaza dan Rafah?
PERISYAITAN
Yang buat saya kuat dan damai ialah anak-anak seni serata dunia yang mahu bersuara. Macklemore yang keras dengan Hind’s Hall, YaRobin Yashar dengan Hip Hop Against Genocide, motherwit dengan kemacahya.
“Tersedak hiba bila aku / memandang dengan tak terdaya / sang ibunya memangku tubuh kaku”.
Pemandangan sebegini tak mudah ditatap sebab kita tahu, ia kejadian sebenar yang berlaku ribuan kilometer dari sini.
Evolusi ribuan tahun manusia belum mampu menghapuskan kekejaman, perisyaitan dan bangsat jiwa kaum jijik seperti Zionis. Ia memalukan, menjengkelkan dan memurungkan.
Ratusan perkataan dalam semuka surat ini juga tak mampu nak menjelaskan betapa kotornya pembunuhan wewenang yang berlaku di Gaza dan Rafah.
Dan untuk menerima hakikat yang kita hanya dapat memandang, membenci dan bersuara bukan mudah. Bukan murah. – UTUSAN










