Daging rusuk salai jadi taruhan pikat penggemar Slowfire Pizza - Utusan Malaysia

Daging rusuk salai jadi taruhan pikat penggemar Slowfire Pizza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keunikan pizza Neapolitan yang digabungkan dengan daging salai beraroma kayu tempatan menjadi tarikan utama di Slowfire Pizza, sebuah restoran yang kian mencuri perhatian penggemar makanan asal dari Itali itu, di Seksyen 13, Shah Alam.

Premis pizza milik anak muda tempatan ini menampilkan konsep berbeza apabila menggunakan daging rusuk lembu dan Wagyu Australia yang disalai selama enam hingga 12 jam sebelum dihidangkan sebagai topping pizza.

Kaedah salai menggunakan kayu pokok rambutan dan bakau memberikan aroma tersendiri, sekali gus meningkatkan keenakan pizza yang dihasilkan secara segar di dalam ketuhar bersuhu tinggi.
Antara menu pizza yang menjadi pilihan utama pelanggan adalah Smoked Beef Short Ribs berharga RM49, Smoked Wagyu (RM59), Pepperoni Daging (RM23) dan Chicken Mushroom (RM27).

Menurut pemilik Slowfire Pizza, Abdul Rahim Abdul Rahman, 27, idea menggabungkan teknik salai dengan pizza Neapolitan tercetus daripada minat mendalamnya terhadap masakan berasaskan api dan daging.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan daripada pelanggan membuktikan masyarakat kini semakin terbuka menerima kelainan dalam menu pizza, khususnya yang diolah mengikut cita rasa tempatan.

“Selain minat terhadap pizza Neapolitan, faktor sokongan terhadap jenama tempatan serta kesedaran memboikot produk antarabangsa turut mendorong pelanggan memilih Slowfire Pizza,” katanya.

Abdul Rahim berkata, harga pizza yang ditawarkan juga ditetapkan pada kadar berpatutan agar mampu dinikmati semua lapisan masyarakat, khususnya golongan muda dan keluarga.
Anak jati Selangor itu mula menceburi bidang perniagaan makanan dan minuman pada pertengahan 2024 dengan membuka gerai kecil di tepi jalan di Seksyen 6, Shah Alam.

Ketika itu, beliau hanya menggunakan kanopi ringkas dan sebuah dapur mudah alih untuk menyediakan pizza kepada pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk sekitar.

Nama Slowfire Pizza dipilih bersempena teknik memasak daging secara low and slow, iaitu menggunakan api kecil dalam tempoh lama, yang kini menjadi identiti utama perniagaannya.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan walaupun bermula secara kecil-kecilan. Ia menjadi pembakar semangat untuk saya melangkah lebih jauh,” katanya.

Selepas lebih setahun setengah berniaga di jalanan, Abdul Rahim akhirnya membuka sebuah kedai pizza tetap pada November lalu di Seksyen 13, Shah Alam.

Menurutnya, hasrat untuk memiliki kedai pizza sendiri sudah lama terpendam, namun memerlukan keberanian untuk meninggalkan kerjaya profesional sebagai jurutera.

Lulusan kejuruteraan dari University of Illinois, Amerika Syarikat itu berkata, sebelum mengambil keputusan membuka kedai tetap, beliau sanggup bekerja sebagai barista di sebuah kafe bagi menimba pengalaman dalam industri F&B.

Selain itu, Abdul Rahim turut menjalankan ujikaji menu selama hampir sebulan bagi memastikan setiap resipi pizza memenuhi kehendak dan selera pelanggan.

Memasuki tahun baharu, beliau merancang untuk mempelbagaikan menu agar Slowfire Pizza berkonsepkan restoran keluarga yang lebih lengkap.

Antara perancangan yang sedang diusahakan adalah penambahan menu pencuci mulut seperti ais krim dan gelato, selain kek tiramisu yang kini dijual pada harga RM23.

Beliau juga bercadang untuk menjual daging rusuk salai secara berasingan berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan yang menggemari daging tersebut.
Abdul Rahim berkata, keunikan pizza di Slowfire bukan sekadar terletak pada doh dan teknik pembakaran, tetapi juga pada penggunaan daging salai yang jarang ditawarkan oleh pengusaha pizza tempatan.

“Kami juga menggunakan asas sos krim masam dalam beberapa menu seperti Chicken Mushroom, yang memberikan rasa lebih seimbang dan lembut,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, usia muda bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang perniagaan makanan, malah pengalaman keluarga terutama ayahnya yang pernah mengusahakan kedai makan menjadi inspirasi untuk beliau meneruskan legasi dalam dunia kulinari.

“Minat memasak itu memang mengalir dalam diri malah sejak dari remaja saya sudh memasak pelbagai juadah dan makanan termasuk juga pizza yang menjadi kegemaran saya sejak dulu,” ujarnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN