Nasi Bukhari Wafa: Nasi Arab premium harga marhaen

Nasi Bukhari Wafa: Nasi Arab premium harga marhaen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLETAK di lokasi strategik iaitu di Sungai Pinang, Pulau Pinang, Nasi Bukhari Wafa bukanlah sekadar kedai makan atau restoran biasa. Ia adalah sebuah kisah penuh inspirasi tentang usaha, keberkatan serta kesungguhan seorang usahawan bernama Muhammad Hussein Muhammad Yassin, 43.

Memulakan operasi pada 10 Mei tahun lepas, Nasi Bukhari Wafa yang menghidangkan menu makanan nasi Arab premium pada harga berpatutan itu nyata berjaya menarik perhatian ramai.

Menceritakan semula bagaimana kisah Nasi Bukhari Wafa itu bermula, Muhammad Hussein yang lebih dikenali sebagai Abu Wafa mengakui, perjalanan perniagaan ini adalah hasil perancangan daripada Allah SWT.

Memuatkan artikel berkaitan…

MUHAMMAD HUSSEIN MUHAMMAD YASSIN“Saya memang minat berniaga. Sebelum berniaga makanan, saya pernah menjual pelbagai barangan lain seperti minyak wangi.

“Setiap kali Ramadan pula, menjadi adat (tradisi) untuk saya menunaikan solat tarawih di pelbagai masjid di sekitar Pulau Pinang sehinggalah saya bertemu dengan seorang tukang masak, Chef Amir di sebuah masjid semasa solat tarawih pada Ramadan lalu.

“Pertemuan itu menjadi titik tolak kepada pembukaan Nasi Bukhari Wafa ini. Memang jalannya Allah permudahkan untuk saya membuka perniagaan ini dengan bantuan Chef Amir yang ada pengalaman memasak nasi Arab,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Abu Wafa, ramai juga dalam kalangan pelanggannya turut tertanya-tanya mengenai nama kedai Nasi Bukhari Wafa itu yang unik.

“Nama Bukhari itu saya ambil sempena nama guru saya iaitu ulama terkenal di Pulau Pinang, Allahyarham Datuk Syeikh Abdullah Bukhari manakala nama Wafa adalah nama anak perempuan saya yang diberikan oleh guru saya itu.

“Gabungan nama kedua-duanya saya ambil dan gunakan sehingga kini di kedai saya,” katanya.

Mengenai keistimewaan nasi Arab di kedainya itu pula, Abu Wafa berkata, makanan Arab di situ adalah gabungan cita rasa Arab dan Melayu.

“Dengan bantuan Chef Amir yang berpengalaman dalam masakan Arab, kami mencipta hidangan istimewa yang sesuai untuk selera masyarakat Malaysia.

“Apa yang menarik, setiap hidangan di sini diolah agar tidak terlalu ‘tawar’ seperti kebanyakan masakan Arab tradisional, tetapi masih mengekalkan keasliannya,” katanya.

Menurutnya, harga makanan di kedainya juga berpatutan bermula serendah RM9 yang membolehkan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan B40, boleh menikmati makanan Arab berkualiti.

“Antara menu popular adalah Mandy Lamb (RM18), Mandy Chicken L (RM13), dan Mandy Chicken S (RM9). Selain itu saya turut menawarkan menu nasi Arab Lamb Shank pada harga RM27 sepinggan untuk seorang makan, dan pelbagai menu makanan Arab lain egg pot, mix lamb dan juga hidangan kari Wafa Signature Chicken Curry,” kata beliau.

Tambahnya, hidangan makanan Arab di kedainya itu juga agak besar dan dia gembira apabila melihat orang ramai dapat menikmati nasi Arab yang mengggunakan bahan-bahan premium pada kadar yang berpatutan.

“Saya niatkan perniagaan ini sebagai platform membantu orang lain. Saya sangat puas hati apabila melihat keluarga datang makan bersama, hanya pesan dua menu tapi cukup untuk empat orang. Itu rezeki dan sedekah saya,” tambahnya.

Bagi yang mahu berminat menikmati nasi Arab di kedai Nasi Bukhari Wafa, anda boleh berkunjung ke kedai Abu Wafa di Sungai Pinang dan mendapat maklumat mengenainya di laman Facebook Nasi Bukhari Wafa. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini