Sajian masakan pelbagai kaum di Miker Signature

Sajian masakan pelbagai kaum di Miker Signature

MUHAMMAD Rasydan Zakaria bersama kepelbagaian menu masyarakat, kaum dan negeri di Restoran Miker Signature.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA yang boleh dibicarakan mengenai Restoran Miker Signature yang terletak di Bazar Ipoh, Jalan Sultan Nazrin Shah, Medan Gopeng, Ipoh, Perak?

Berkonsepkan sajian berdasarkan gabungan masyarakat Melayu, negeri dan bangsa di negara ini, ternyata restoran ini lokasinya cukup sesuai bagi semua masyarakat dengan konsep yang minimalis tetapi selesa.

Pelayan restoran mulanya menyajikan Sangkar Simugh yang berkonsepkan hi-tea yang jarang sekali kita boleh didapati di mana-mana hotel atau restoran di negara ini.

Adunan bubur som som yang merupakan antara pemanis mulut bagi masyarakat Jawa ternyata membangkitkan deria rasa penulis. Gabungan tepung beras, jagung, santan, gula pasir, merah dan daun pandan memberikan rasa manis dan lembut sebaik sahaja dimasukkan ke dalam mulut.

Belum berakhir lagi! Sagu bunga telang turut terdapat dalam menu Sangkar Simugh yang dikatakan bunganya mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan.

Kemudian, mantoo sambal bilis yang biasanya terkenal bagi kaum Cina seakan-akan kuih pau. Lengkap dengan sambal ikan bilis, timun dan sayur salad segar memberikan kesan rasa yang mengkagumkan dan pasti diingati sepanjang hayat.

——————————————————————————————-

MIKER SIGNATURE
LOKASI: Lot F6, Bazaar Ipoh, Jln Sultan Nazrin Shah, Medan Gopeng, 31350 Ipoh, Perak
WAKTU OPERASI: Isnin-Jumaat 12 tengah hari hingga 3 petang,
5 petang hingga 10 malam,
Sabtu-Ahad- 12 tengah hari hingga 10 malam
MAKANAN:
Masakan Malaysia

Menu pisang cak lempong ternyata mempunyai keunikan tersendiri kerana pisangnya yang rangup dan kemanisannya meninggalkan seribu kenangan dengan cicah kuah dodol yang pastinya menggugat adrenalin anda.

Cucur jemput dengan pilihan soto ayam atau laksa Johor merupakan pelengkap bagi menu Sangkar Simurgh ini dengan pilihan minuman teh yang disajikan di dalam teko tradisional.

Sesuai untuk dua hingga empat orang dengan harga bermula RM40.70 hingga RM75.70, sementara itu bagi teh pula bermula RM6.70 hingga RM14.70.

 

Perjalanan hi-tea di Miker Signature masih panjang dengan pelayan menyajikan kuih popular masyarakat Banjar iaitu kalakatar yang bermaksud kala iaitu ketika dan katar pula bererti panas.

Enak dinikmati panas-panas dengan tambahan ais krim perisa vanila yang menyegarkan. Harganya satu set RM15.70.

Selesai sudah kisah menu hi-tea kini tiba masanya untuk siri makanan berat yang sesuai dinikmati pada waktu tengah hari dan malam seisi keluarga.

Ada yang istimewa dengan pepes ketam yang merupakan sajian yang sinonim bagi rakyat Indonesia iaitu bahan-bahannya adalah isi ketam dan udang yang memberikan gabungan rasa manis dan pedas secukup rasa. RM13.70 bagi satu set yang boleh dinikmati seorang atau dua orang.

Sesuai dengan sajian bagi semua masyarakat, kaum dan negara, Miker Signature mempunyai menu yang sinomim bagi kaum Cina iaitu nasi goreng udang kam heong iaitu elemen nasi yang digoreng tambahan udang bersaiz sederhana bersama adunan rempah rahsia cef Miker Signature yang pasti membangkitkan keterujaan anda! Harganya satu set RM24.70.

Siakap laksa semangkuk ada auranya tersendiri kerana menu ini merupakan pemenang pertandingan masakan semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022.

Menariknya anda boleh menikmati seekor ikan siakap goreng yang dimasak sempurna selain laksa kuah lemak yang kuahnya pekat dan likat dengan gabungan nasi buah kulim.

Hakikatnya apa lagi ingin dikata dengan menu bermula RM29.70 satu set bagi seorang atau dua orang makan ini dengan sepinggan nasi RM3.70. Pasti tidak akan mengecewakan anda.

Bagi peminat ulam-ulaman terdapat set ulam ulaman dengan sambal tiga beradik iaitu gabungan ulaman tempatan dan gabungan sambal belacan, kerisik dan air asam yang padu yang pastinya membuatkan anda menambah nasi. Harganya RM14.70.

Perjalanan gastranomi diteruskan dengan sajian sinonim bagi kaum Melayu iaitu sotong bakar belacan dengan kerabu selom iaitu haiwan laut itu yang dibakar secukup rasa dan anda turut menikmati kerabu daun selom yang enak.

Harga satu set bagi gabungan dua set makanan ini adalah RM45.70 dan hasilnya pasti tidak akan mengecewakan anda.

Bagi penggemar masakan berasaskan udang, kata Pengarah Operasi Miker Group Sdn. Bhd., Muhammad Rasydan Zakaria, 35, masakan udang sambal petal cukup sesuai untuk mereka.

“Udang bersaiz besar yang dimasak dengan adunan sambal petai asli dari Melaka sempurna khas untuk pelanggan bagi menikmati makanan serba selesa.

“Sebaiknya pelanggan membuat tempahan terlebih dahulu melalui panggilan telefon untuk memudahkan urusan,” katanya.

Apa ditunggu lagi, jom kita ke Miker Signature. Dekat ajer di Ipoh kome. Pasti tidak akan menyesal! –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×