KEBIASAANNYA kita tahu ada banyak restoran atau kafe yang menyediakan hidangan ala Barat dan tempatan di bawah satu bumbung. Namun, kita jarang dapat menikmati makanan autentik yang rasanya benar-benar sedap serta dapat memuaskan hati seperti yang diperkenalkan oleh Serambi Cafe & Restaurant
Mungkin disebabkan hidangan yang disediakan sekadar ada dan cukup rasa tanpa dimasak dengan teliti serta sempurna.

Bagaimanapun tidak di Serambi Cafe & Restaurant. Di sini terdapat lebih 20 menu yang sememangnya lain daripada lain- dengan terselit pengaruh Siam dan Cina dalam masakan. Antaranya nasi goreng kerabu daging goreng berempah. Saya dapat katakan bahawa daging yang diperap seperti rempah sate dan dimasak cara dendeng ini memang sedap.
Serambi Cafe
& Restaurant
Lokasi: 127, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Waktu Operasi: Setiap hari, dari pukul 12 tengah hari hingga 10 malam.
Manakan tidak. Daging tersebut direbus dan diperap lama iaitu kira-kira enam jam sebelum dimasak sempurna sehingga empuk. Paling penting menu ini didatangkan bersama sambal ‘jate’ yang merupakan resipi keluarga pemilik restoran.
Adunan gula, cuka, cili dan garam pada sambal ini memberikan hasil yang tidak terlalu pedas dan menjadikan hidangan ini lengkap untuk dinikmati pada harga RM23.90.
Turut dihidangkan bersama menu ini termasuk keropok ubi dan telur goreng.

Selain itu, pengunjung yang datang ke sini juga wajib menikmati hidangan ayam percik Kelantan dan boleh memillih sama ada ayam dimasak merah atau kuah putih.
Menu ini dihidangkan bersama nasi kuning atau nasi putih dan turut diberikan sambal ‘jate’ sebagai pelengkap di samping telur goreng. Malah ia datangkan bersama acar rampai dan pengunjung boleh menikmatinya pada harga RM21.90.
Bagi mereka yang sekadar mahu melepak santai dengan menikmati kudapan boleh memesan cucur udang yang di cicah bersama sos khas dengan resipi hasil ciptaan pemilik restoran. Pengunjung
juga boleh mencuba spaghetti marinara seafood atau burger percik di samping siakap fish & chip untuk mereka yang mahukan menu ala Barat.
Dalam pada itu, pemilik restoran Muhammad Fathi Ab. Shukor berkata, beliau memulakan perniagaan berasaskan makanan sejak lebih setahun lalu.
“Saya mengambil nama Serambi ini sempena gelaran negeri kelahiran saya iaitu Kelantan yang digelar Serambi Mekah,” jelasnya.
Tambah Muhammad Fathi, Serambi Cafe & Restaurant boleh memuatkan seramai 65 pengunjung dalam satu-satu masa dan sedia menerima tempahan apa jua majlis. – UTUSAN










