Nikmati sarapan ala Barat di warung

Nikmati sarapan ala Barat di warung

SYED Jamidin Syed Husin dan Suhini Saidin menampilkan kelainan dengan menjual sarapan ala Inggeris atau English Breakfast di warung mereka yang terletak di taman perumahan Sungai Karang Damai, Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Warga Kuantan tidak perlu lagi ke hotel untuk menikmati juadah sarapan ala Barat, sebaliknya anda boleh menikmatinya setiap hari hanya di tepi jalan sahaja.

Terletak berhampiran taman perumahan Sungai Karang Damai, terdapat sebuah warung kecil yang menyajikan juadah sarapan pagi Inggeris atau English Breakfast pada harga marhaen.

Diusahakan pasangan suami isteri, Syed Jamidin Syed Husin, 52 dan Suhini Saidin, 50, warung yang dikenali sebagai Warung English Breakfast & Western itu mula dibuka sejak sekitar tiga bulan lalu.

Bercerita lanjut Syed Jamidin berkata, warung berkenaan dibuka sebagai mengisi masa lapang selain mencari pendapatan tambahan setelah dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah hotel tahun lalu.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk membuka warung berkonsepkan sarapan ala Inggeris itu setelah melihat belum ada lagi kedai yang menyediakan juadah seumpama itu di sekitar daerah ini.

“Biasanya sarapan English Breakfast ini hanya terdapat di hotel-hotel sahaja. Bukan semua orang mampu pergi hotel dan bukannya kita pergi ke hotel setiap hari.

“Tetapi di warung kami ini, pelanggan boleh menikmati juadah English Breakfast setiap hari pada harga bermula dari RM5 sehingga RM15,” katanya.
Kata bapa kepada tiga anak itu lagi, dia membuka warungnya setiap hari pada pukul 7 pagi sehingga pukul 11 pagi.

Tambahnya, terdapat enam jenis menu yang disediakan iaitu Smoked Beaf Streaky (RM15), Eggs & Sausage (RM5), Chicken Toast Slice (RM10), Breakfast Sausages (RM10), French Toast Sausages (RM5), dan Honey Pancake (RM5).

Warung English Breakfast & Western

Lokasi: Taman Perumahan Sungai Karang Damai, Kuantan
Waktu operasi: di buka setiap hari (7 pagi hingga 11 pagi)
Makanan paling popular: Smoked Beaf Streaky (RM15)

Selain itu, warung berkenaan turut menyediakan dua jenis minuman iaitu Charcoal Fire Coffee yang berharga RM2.50 dan Charcoal Fire Tea yang berharga RM1.50.

“Menu yang sering menjadi pilihan ramai adalah Smoked Beaf Streaky di mana selain mengandungi hirisan kepingan daging, kami juga sertakan roti, lempeng kentang racik, kacang panggang, tomato panggang dan telur hancur yang berharga RM15.

“Selain itu, Honey Pancake yang berharga RM5 juga sering mendapat permintaan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak,” katanya yang merangka untuk menambah menu brunch (sarapan dan makan tengah hari) di masa akan datang.

Menurutnya lagi, kebanyakan pelanggan yang datang ke warungnya selain penduduk sekitar juga terdapat pelanggan yang datang dari luar kawasan Sungai Karang.

“Penduduk sekitar kebanyakannya sudah menjadi pelanggan tetap kami dan kami sudah tahu menu kebiasaan mereka. Kalau pelanggan dari luar kebiasaannya ramai ketika hujung minggu dan cuti umum,” katanya yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai tukang masak hotel.

Syed Jamidin juga berkata, pada bulan Ramadan nanti dia turut merancang untuk membuka warungnya untuk juadah berbuka.

“Bulan Ramadan nanti memandangkan tiada sarapan, kami akan buka untuk juadah berbuka di mana kami merancang untuk menjual makanan ala Barat selain makanan ala hotel lain seperti nasi kambing dan nasi beriani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×