TIADA yang lebih menggembirakan buat Imam Masjid Qaryah Kayangan, Brinchang, Cameron Highlands, Hasan Lebai Din, apabila melihat ramai jemaah di setiap waktu solat.
Lebih menggembirakan sebahagian besar jemaah terdiri daripada pelancong ke tanah tinggi itu yang tetap menunaikan solat walaupun dalam keseronokkan mereka melancong.
Bagi Hasan, 58, ini menunjukkan keseronokan bercuti di kawasan bersuhu sejuk itu tidak melalaikan pelancong Islam daripada menunaikan kewajipan solat apabila Masjid Qaryah Kayangan terus dipenuhi jemaah, khususnya pada musim cuti persekolahan.
Menurutnya, peningkatan ketara jumlah jemaah dapat dilihat pada setiap waktu solat, termasuk solat Subuh, walaupun suhu sejuk pada awal pagi mencecah antara 15 hingga 16 darjah Celsius.
Menurutnya, pada hari biasa, jumlah jemaah sekitar enam saf, dengan satu saf memuatkan kira-kira 30 orang, manakala jemaah tempatan kebiasaannya hanya memenuhi dua saf lebih.
“Apabila tiba musim cuti, jumlah jemaah meningkat dengan ketara. Solat Subuh pun boleh mencapai lima atau enam saf kerana ramai pelancong yang singgah untuk menunaikan solat,” katanya.
Hasan berkata, keadaan itu membuktikan kesejukan cuaca di Cameron Highlands bukanlah penghalang kepada umat Islam menunaikan kewajipan harian mereka.
Malah, katanya, suasana masjid menjadi lebih hidup dan meriah apabila jemaah daripada pelbagai negeri dan negara berhimpun dalam satu saf, sekali gus melambangkan kesatuan dan persaudaraan umat Islam.
“Ada pelancong yang sanggup berjalan kaki dari hotel atau kawasan tumpuan pelancongan berhampiran untuk menunaikan solat berjemaah di masjid,” katanya.
Menurut Hasan, kehadiran anak-anak muda ke masjid juga semakin memberangsangkan dan menjadi satu perkembangan yang sangat menggembirakan pihak pengurusan masjid.
“Memang menjadi harapan kami agar lebih ramai generasi muda mendekati masjid. Masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat penyatuan umat Islam dan pembentukan sahsiah,” ujarnya.
Tambah beliau, kehadiran jemaah yang ramai memberi gambaran jelas bahawa kewajipan solat tetap diutamakan walaupun dalam suasana percutian dan keseronokan melancong.
Masjid Qaryah Kayangan turut menerima kehadiran pelancong asing beragama Islam antaranya dari Arab Saudi, Indonesia, Thailand dan Maghribi, menjadikan masjid itu sebagai medan pertemuan umat Islam dari pelbagai negara dan budaya.
Menurut Hasan, menjaga solat bukan sahaja tuntutan agama, malah mendidik umat Islam supaya lebih menghargai masa serta melatih diri menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
Katanya, solat yang ditunaikan pada waktunya membentuk peribadi Muslim yang teratur, sama ada dalam urusan pelajaran, pekerjaan mahupun kehidupan berkeluarga.
“Solat juga menjadi tempat seseorang mengadu dan bergantung harap kepada Allah SWT. Dalam kesibukan hidup dan tekanan seharian, solat memberi ketenangan jiwa serta kekuatan rohani,” katanya.
Beliau berkata, hati yang dekat dengan Allah akan lebih tenang, sabar dan tabah dalam menghadapi pelbagai ujian kehidupan.
Hasan yang merupakan pesara kerajaan dan berasal dari Sungai Lampam, Pasir Salak, Perak, telah berkhidmat sebagai imam di masjid itu selama kira-kira 20 tahun.
Sepanjang tempoh itu, beliau menyaksikan perubahan positif dalam penglibatan masyarakat, khususnya golongan muda, dalam aktiviti keagamaan dan program masjid.
Masjid Qaryah Kayangan yang berkapasiti lebih 500 jemaah itu dibina pada era 1970-an, bermula sebagai sebuah surau sebelum dinaik taraf kepada masjid bagi memenuhi keperluan penduduk setempat untuk beribadah.
Selain solat berjemaah, pihak masjid turut menganjurkan kuliah dan ceramah agama setiap malam dengan menjemput ilmuwan dan penceramah dari dalam serta luar daerah Cameron Highlands.
Masjid itu juga aktif menganjurkan program kem ilmu khusus untuk pelajar tingkatan lima dan enam sebagai usaha mendekatkan generasi muda dengan masjid dan kefahaman agama.
Menurut Hasan, program tersebut berjaya menarik minat anak muda untuk mendalami ilmu agama dan memahami kepentingan solat dalam kehidupan seharian.
“Daripada situlah minat bermula. Lama-kelamaan, mereka sedar bahawa solat adalah satu kewajipan dan asas utama dalam kehidupan seorang Muslim,” katanya.
Dalam keadaan suhu siang hari yang kekal rendah sekitar 20 hingga 27 darjah Celsius, Masjid Qaryah Kayangan terus menjadi saksi bahawa kesejukan Cameron Highlands bukan alasan untuk meninggalkan solat.
Sebaliknya, suasana itu menjadi medan memperkukuh iman, menyemai kesedaran beragama dan mempererat ukhuwah sesama umat Islam, sama ada penduduk tempatan mahupun pelancong yang singgah dari segenap pelosok dunia. – MINGGUAN MALAYSIA










