ISU pesta liar yang berlangsung di sekitar Batu Feringgi, Pulau Pinang baru-baru ini kembali mencuri perhatian ramai. Ini kerana acara hiburan terbuka yang dikaitkan dengan sambutan Songkran itu disifatkan sebagai melampaui batas dan bertentangan dengan nilai Islam.
Masyarakat, khususnya golongan muda, secara umumnya tidak boleh dipisahkan daripada hiburan. Namun, bagaimana garis panduan sebenar yang ditetapkan Islam terhadap hiburan ini. Adakah semuanya haram, atau sebenarnya ada ruang yang dibenarkan?
Menurut pendakwah bebas, Ahmad Azizi Roslan, agama Islam tidak menolak keperluan manusia untuk berhibur, malah, mengiktiraf peranan hiburan dalam kehidupan selagi ia tidak melalaikan dan membawa kepada dosa.
Katanya, hiburan sering dianggap sebagai sesuatu yang bertentangan dengan nilai keagamaan, namun sebenarnya persepsi ini harus diperhalusi.
“Islam tidak menolak hiburan. Bahkan, Islam mengiktiraf keperluan manusia terhadap hiburan selagi tidak bercanggah dengan syariat,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Ahmad Azizi yang juga lulusan Diploma Syariah dan Undang-Undang dari Kolej Teknologi Antarabangsa (Kitab), Pulau Pinang itu berpandangan, hukum asal hiburan adalah harus, seperti yang dibahaskan oleh tokoh agama, Dr. Yusuf al-Qaradawi.
Nama: Ahmad Azizi Roslan
Usia: 35 tahun
Kerjaya: Pegawai Agama PDRM, Pendakwah Bebas, Penceramah Motivasi, Pengurus Fateh Legacy 90 Enr, Mutawif Hijrah Al-Haramain
Pendidikan: Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang, OUM (Open University Malaysia)
Pemegang Tauliah : Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan
(ceramah)
“Namun, harus (berhibur) itu datang dengan syarat iaitu tidak membawa kepada maksiat dan tidak menyesatkan daripada jalan Allah,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Agama dan Kaunseling (Jakim) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.
Ahmad Azizi yang merupakan seorang penceramah aktif yang sering diundang menyampaikan ceramah agama di pelbagai program komuniti berkata, Islam adalah agama yang tidak ekstrem dalam melarang atau membenarkan sesuatu.
Katanya, antara contoh hiburan yang dibenarkan adalah nyanyian, menonton wayang, atau berkaraoke asalkan ia tidak melibatkan percampuran bebas antara jantina.
Justeru itu, Ahmad Azizi menyarankan agar sebarang bentuk hiburan dikawal dengan syarat-syarat khusus bagi memastikan ia tidak menjadi punca keruntuhan moral.
Katanya, penganjur perlu meletakkan ‘terma dan syarat’ seperti menapis lirik lagu, mengasingkan ruang lelaki dan perempuan, serta memastikan pakaian peserta tidak menjolok mata.
Tambahnya, hiburan yang membawa kepada kelalaian boleh membawa kepada dosa bahkan kesyirikan jika ia mempermainkan agama atau mencabar nilai-nilai Ilahi.
“Bila hiburan itu menjadikan solat, ibadah, atau agama Islam sebagai bahan jenaka atau dipermainkan, maka, ia jelas bertentangan dengan syariat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, hiburan yang bersifat universal contohnya dari lagu-lagu yang mempunyai lirik yang tidak bertentangan dengan akidah boleh diterima.
“Lagu yang menyampaikan mesej cinta, keamanan dan kemanusiaan tidak semestinya haram. Ia bergantung kepada niat dan kandungan,’ ujarnya yang menyeru agar masyarakat, terutamanya anak muda, diberikan ruang hiburan yang sihat, tersusun dan mempunyai elemen pembangunan rohani.
Ahmad Azizi turut menyarankan agar agensi dan penganjur program yang berkenaan menubuhkan satu unit konsultan hiburan Islamik yang berperanan menapis dan memantau kandungan hiburan.
Menurutnya, keperluan terhadap penganjuran hiburan alternatif seperti konsert nasyid, teater Islamik dan festival ilmu semakin penting dalam suasana dunia hari ini.
“Kita boleh ‘suntik’ unsur hiburan dalam program dakwah. Dakwah pun perlu pendekatan segar dan mesra generasi Z,” katanya yang melihat bahawa cabaran anak muda hari ini lebih besar kerana terdedah kepada media sosial dan hiburan tanpa sempadan.
“Zaman kita dulu, hanya ada lagu ‘Sepohon Kayu’. Sekarang mereka ada TikTok, YouTube, Netflix dan sebagainya. Jadi, pesanan saya, pegang agama, jaga solat dan tapis apa yang kita dengar serta tonton. Jangan biar hiburan rosakkan ‘roh’ kita,” nasihat beliau.- UTUSAN










