Didik anak mengikut Sunnah Rasulullah

Didik anak mengikut Sunnah Rasulullah

MOHAMED Khairudi Mohamed Alwi (tengah) bersama pelajar Ihya Ulumuddin Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENDIDIK anak adalah satu amanah besar yang dipertang­gungjawabkan kepada setiap ibu bapa. Zuriat yang dilahirkan perlu dicorakkan mengikut acuan Islam.

Rasulullah SAW telah memberikan garis panduan yang jelas dalam mendidik anak agar menjadi insan soleh, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

Berkongsi bicara berkaitan dengan cara terbaik mendidik anak-anak bersandarkan perspektif Islam. Mudir Mahaad Ihya Ulumuddin, Kampung Berangan, Ustaz Mohamed Khairudi Mohamed Alwi berkata, empat fasa sunnah adalah model terbaik untuk diikuti.

USTAZ MOHAMED KHAIRUDI 
MOHAMED ALWI
» Umur: 44 tahun
» Asal: Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan
» Sejarah Pendidikan:
Diploma Pertanian – Politeknik Kota Bharu. Lepasan Madrasah Islamiah Sri Permai Pasir Puteh, Kelantan (11 tahun)
» Tugas hakiki:
Pengasas dan Mudir Maahad Ihya Ulumuddin Kampung Berangan, Pasir Puteh, Kelantan.

Menurutnya, tatacaranya juga bersandarkan kepada peringkat umur dan keperluan perkembangan emosi anak-anak.

“Bermula sejak awal kelahiran hingga enam tahun, curahan kasih sayang perlu diberi keutamaan.

“Rasulullah SAW menyarankan agar anak-anak pada usia ini dimanja dan ditatang dengan penuh kasih sayang. Pelukan, ciuman, dan belaian yang konsisten akan menanamkan rasa selamat dan percaya dalam diri anak,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Mohamed Khairudi berkata, dalam usia ini, merotan atau menghukum secara fizikal ditegah dan tidak boleh bersikap kasar dan pilih kasih antara anak-anak.

Katanya, impak pendekatan ini merapatkan hubungan anak dengan ibu bapa, mereka akan tenang emosi dan berkeyakinan tinggi.

“Pada usia tujuh hingga 14 tahun, usaha pasak disiplin dan tanggungjawab dalam kalangan anak-anak perlu diberi fokus utama,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur 10 tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Riwayat Abu Daud:490)

Mengulas lanjut, Mohamed Khairudi berkata, pada tahap usia ini fokus pendidikan lebih melibatkan usaha membangunkan disiplin solat dan tanggungjawab peribadi.

“Ini termasuk memisahkan tempat tidur di antara anak lelaki dan perempuan. Pendidikan adab, akhlak dan nilai kehidupan Islam wajib dipupuk.

“Hasilnya, anak mula mengenal erti amanah dan tanggungjawab, disiplin tinggi mula terbina dalam jiwa mereka untuk tampil sebagai insan yang mudah dibentuk dalam acuan Islam,”katanya.

Mohamed Khairudi berkata, fasa ketiga pada usia 15 hingga 21 tahun kaedah berkawan dan berdialog dipraktikkan dalam meniti keremajaan anak-anak mencari identiti dan bersikap ingin mencuba.

Katanya, luangkan waktu untuk berbual mesra tentang kehidupan dan cabaran mereka, dengar keluhan dengan empati dan hindari rasa marah secara terbuka di hadapan adik-beradik lain.

“Anak kita tidak akan mencari ‘tempat luar’ untuk meluah perasaan. Rasa dihargai dan diterima sebagai individu dewasa. Hubungan kekeluargaan yang harmoni dan terbuka terbina.

“Fasa keempat pada usia 21 tahun ke atas membabitkan kepercayaan dan kebebasan terpimpin untuk anak muda membina jati diri dan kehidupan sendiri. Ibu bapa perlu menjadi penasihat dan pendoa setia dari belakang tabir,” katanya.

Katanya, berilah ruang kepada anak membuat keputusan sendiri, nasihat penuh hikmah dan dan sentiasa mendoakan kejayaan dan keselamatan mereka.

Mohamed Khairudi berkata, mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah SAW bukanlah tugas mudah, namun ia adalah jalan menuju keberkatan dunia dan akhirat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×