UMAT Islam wajib mendalami ilmu dan amalan mulia bagi mencapai kehidupan berintegriti yang mencerminkan tuntutan agama. Justeru, empat aspek perlu ditelusuri dalam melengkapkan kualiti sebagai orang Islam.
Ia melibatkan usaha mengetahui ‘al-haq’ (kebenaran), iaitu mengamalkan al-haq, dakwah yang mengajak orang lain untuk mengamalkan kebenaran, sabar iaitu tabah meraih dan menjalankan hal-hal berkaitan kebenaran Islam yang hakiki, kebesaran Allah dan pematuhan terhadap perintah-Nya.
Berkongsi pandangan, Pengerusi Pusat Tahfiz Darul Anuar, Sri Tanjong Semerak, Ustaz Mohd. Sheree Amri Anuar berkata, empat perkara itu perlu menjadi tunjang dan amalan dalam kehidupan individu Muslim.

“Kualiti kehidupan orang Islam lebih tinggi nilai kerohaniannya bermula dalam institusi keluarga dan komuniti apabila empat perkara ini dijadikan pegangan dan amalan.
“Dalam al-Quran, terdapat dalil kewajiban empat perkara itu yang menampakkan kualiti orang Islam lebih berintegriti daripada aspek iman dan amalnya,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.
USTAZ Mohd. Sheree Amri Anuar
Usia:41 tahun
Asal: Kampung Sri Tanjong, Pasir Puteh Kelantan
Sejarah Pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Sungai Sok, Kuala Krai, Kelantan
Sekolah Menengah Kebangsaan Pahi, Kuala Krai, Kelantan
Kolej Perindustrian KISMEC, Sungai Petani Kedah
Madrasah al-Dinniah al-Bakariah, Pasir Tumbuh, Kelantan
Madrasah Addiniah al- Muhammadiah Padang Serai, Setiu Terengganu
Tugasan hakiki: Pengerusi Pusat Tahfiz Darul Anuar Kampung Seri Tanjung, Pasir Puteh, Kelantan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman, dan mengerjakan amal saleh, dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran, dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-‘Ashr ayat 1-3)
Mohd. Sheree Amri berkata, Imam As-Syafi’i pernah berkata: “Seandainya semua manusia memikirkan apa yang ada di dalam surah ini, sesungguhnya surah ini mencukupi untuk melengkapkan kesempurnaan hidup mereka.
Tambahnya, penjelasannya adalah bahawa martabat itu ada empat, apabila sempurna keempatnya, seseorang mendapatkan puncak kesempurnaannya dalam kehidupan sebagaimana tuntutan agama Islam.
“Pendekatan pertama mengenal al-haq, kedua mengamalkannya, ketiga mengajarkannya kepada orang yang belum mendapatkannya dan keempat kesabarannya di dalam mempelajari, mengamalkannya dan mengajarkannya (dakwah, tarbiah dan saling menasihati),” katanya.
Mohd. Sheree Amri berkata, kewajiban mengajar (mendidik) dan menuntut ilmu perlu diutamakan dalam usaha mencapai martabat seorang Muslim yang berkualiti dalam konteks kesempurnaan iman dan amal, ketaatan yang jitu dengan tidak mencampuradukkan amal makruf dan kemungkaran.
Katanya, al-Hafizh Ibnu Hajar rohimahulloh memberi penjelasan bahawa orang yang tidak mencari pemahaman dalam agama, iaitu tidak mempelajari kaedah-kaedah Islam dan cabang berkaitan dengannya, dia telah dihalangi daripada kebaikan.
“Keutamaan tafaqquh fid diin (mendalami agama Islam) adalah penting. Mengenal Allah SWT sehingga menghasilkan kecintaan kepada-Nya, rasa takut terhadap siksa-Nya, mengharapkan rahmat-Nya dan mengesakan-Nya dengan ibadah dan kehidupan.
“Disusuli dengan mengenal rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW sehingga menghasilkan kecintaan kepada baginda, mengikuti petunjuk yang diajar nabi mencakupi amalan sunnahnya,”katanya.
Kesimpulannya, kata beliau, ilmu yang dimiliki wajib diamalkan terutama perihal kesempurnaan solat, melunaskan zakat dan bersedekah, amanah dan pelbagai tuntutan lagi.
Paling utama, tegas beliau, pendidikan mengenali al-haq, mengamalkannya, berdakwah dan membentuk kesabaran dalam melaksanakannya perlu bermula dalam institusi kekeluargaan. –UTUSAN