Semakin berharta, bukan jadi semakin sombong

Semakin berharta, bukan jadi semakin sombong

USTAZ MOHD. ZAINUDDIN YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASPEK halal, haram dan ‘subahah’ perlu diteliti dalam meneruskan kehidupan duniawi agar mendapat keredaan Allah SWT selain menikmati keberkatan rezeki.

Berkongsi bicara bersama Mingguan Malaysia, Imam Masjid Al-Kausar, Gong Manak, Pasir Puteh, Kelantan, Ustaz Mohd. Zainuddin Yunus berkata, aspek halal bukan sahaja pada rezeki malah mencakupi pemilikan harta, sumber makanan, perbuatan dan lain-lain.

Menurutnya, ciri harta yang berkat adalah harta yang dimiliki seseorang Muslim dengan perolehan yang benar yang semakin mendekatkan diri pemiliknya dengan Allah.

“Semakin bertambahnya harta, orang itu bukan semakin sombong. Malah, semakin rajin melaksanakan ibadah dan tinggi rasa syukurnya atas nikmat Allah SWT yang diterimanya.

“Halal bermaksud dibenarkan menurut hukum syarak. Ia termasuk tidak mengandungi bahan-bahan yang diharamkan seperti babi, alkohol, darah, dan bangkai bagi makanan,” katanya ketika ditemui di Masjid al-Kausar, Kampung Gong Manak baru-baru ini.

USTAZ MOHD. ZAINUDDIN YUNUS
Umur: 49 tahun
Asal: Kampung Gong Manak, Pasir Puteh, Kelantan
Pendidikan:
 Sekolah Kebangsaan (SK)Gong Manak
Maahad Saniah, Pasir Puteh, Kelantan
Universiti al-Azhar, Mesir
(Bidang Syariah Islamiah)
Tugas hakiki:
Imam masjid al-Kausar Gong Manak
Guru Bahasa Arab dan Pendidikan Islam SK Kampung Sepulau, Pasir Puteh, Kelantan.

Menurutnya, makanan yang melibatkan haiwan darat wajib disembelih mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syariat Islam.

Katanya, makanan juga tidak tercemar dengan bahan-bahan yang haram semasa penyediaan, pemprosesan, penyimpanan, dan pengangkutan.

“Harta yang menjauhkan pemiliknya dengan Allah SWT merupakan satu musibah yang mungkin rezeki yang diperoleh itu dengan cara yang salah.

“Jauhkan perbuatan rasuah, mengambil harta milik orang lain, urus niaga berasaskan riba dan sebagainya yang bukan sahaja menggelapkan hati dan resah hidup pemiliknya malah akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak,” tegasnya.

Mohd. Zainuddin berkata, hanya keimanan dan ketaatan kepada perintah Allah SWT mampu membimbing seseorang berada pada paksi yang benar yang sentiasa meteliti soal halal dan haram.

“Solat itu penting sebagai tiang agama. Berdasarkan maksud hadis, orang yang solat akan diperluaskan rezeki yang barokah dengan kehidupan yang sejahtera dan tenang,” katanya.

Akan dijauhkan darinya (neraka) orang yang paling bertakwa, yang menginfakkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkan (diri dari sifat kikir dan tamak). Tidak ada suatu nikmat pun yang diberikan seseorang kepadanya yang harus dibalas, kecuali (dia memberikannya semata-mata) kerana mencari keredaan Tuhannya Yang Maha Agung. Sesungguhnya, kelak dia akan mendapatkan kepuasan (menerima balasan amalnya).” (QS Al Lail: 17-21)

Menurut Mohd. Zainuddin, bidang pekerjaan juga perlu diteliti untuk menuntut kesucian sumber rezeki dengan memilih pekerjaan yang mulia yang diredai-Nya.

“Bekerja bersungguh-sungguh tanpa ‘curi tulang’ dengan penuh keikhlasan dan niat kerana Allah SWT. Semoga setiap sen yang diterima adalah sumber yang berkat untuk diri dan keluarga.

“Rezeki tiada keberkatan sekiranya bekerja siang dan malam namun solat yang difardukan ditinggalkan. Pastikan rezeki dan harta yang dikumpulkan dihulurkan kepada ibu bapa dan waris terdekat yang memerlukan,” katanya.

Mohd. Zainuddin berkata, amalan bersedekah dan mengeluarkan zakat bagi kapasiti pendapatan yang tinggi yakni cukup haul dan nisab juga dapat meluaskan kembali rezeki halal kepada seseorang Muslim.

Katanya, sebahagian rezeki adalah hak orang lain yang perlu dizakatkan tanpa kikir berasaskan perintah Allah SWT.

“Ajaran Islam adalah lengkap dalam pelbagai aspek kehidupan. Segalanya terkandung di dalam al-Quran dan hadis. Aspek halal wajib diutamakan, tinggalkan perihal haram dan perkara yang subahah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN