TIDAK sempat dibesarkan oleh bapanya yang meninggal dunia semasa dia masih kecil, Omar Abdul Aziz dan adik beradiknya menjalani hidup sebagai anak yatim.
Omar yang kini berusia 86 tahun adalah anak kepada tokoh ulama terkenal tanah air pada tahun 1900-an, iaitu Tuan Guru Abdul Aziz Mohd. A’qib.
Tanpa bapanya, Omar tidak hilang arah sebaliknya berazam meneruskan jejak langkah Allahyarham bapanya dalam mengembangkan ilmu agama.
Keadaan itu mendorongnya belajar di sekolah agama di Bagan Datuk sebelum membina kerjaya dalam bidang ketenteraan pada era negara sebelum dan selepas mencapai kemerdekaan.
“Saya dan adik beradik jadi anak yatim ketika kami masih kecil apabila bapa kami meninggal dunia. Saya tidak tahu hendak ke mana ketika itu. Namun saya fikir jalan selamat adalah agama. Maknanya belajar agama.
“Saya pergi kepada seorang guru agama di Bagan Datuk dikenali sebagai Tuan Guru Ghazali, saya serahkan diri untuk belajar agama. Saya beritahu kepada tuan guru, saya adalah anak kepada Tuan Aziz dari Sungai Belukang. Tuan Guru Ghazali kenal arwah bapa saya yang merupakan sahabat beliau.
“Bersama Tuan Guru Ghazali saya menimba ilmu agama. Kami diajarkan pelbagai ilmu agama dan pesannya yang utama adalah jangan tinggalkan solat.
“Pada masa itu, belajar agama tidak ada silibus macam sekarang. Hari ini belajar sembahyang, esok belajar yang lain pula.
“Mendahulukan agama dalam hidup menjadi pegangan saya supaya kita dapat melaksanakan apa yang diperintahkan Allah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Sungai Belukang, Selekoh di Bagan Datuk, baru-baru ini.
Agama tidak pernah lekang daripada hidup Omar walaupun episod hidupnya berubah pada tahun 1957 apabila beliau memasuki bidang ketenteraan.
Katanya, ia bermula selepas dia tamat pengajian agama apabila mahu berdikari dan bercadang untuk menetap di kampung namun tiada peluang pekerja di kampung kelahirannya.
Akhirnya beliau memilih memasuki angkatan tentera apabila diadakan pemilihan memasuki tentera di bandar Teluk Intan pada 1957.
“Saya menyertai pemilihan dan berjaya. Selepas tamat latihan, saya diserap masuk Batalion Lima Askar Melayu. Pada masa itu belum ada nama ‘Diraja’.
“Selama 11 tahun saya bersama Batalion Lima Askar Melayu dan kemudiannya ditukarkan ke 5 Renjer di Melaka. Saya masih ingat bagaimana 5 Renjer ditubuhkan. Ketika itu saya sedang menjalani kursus Jurulatih Semboyan di Kementerian Pertahanan. Secara tiba-tiba saya dan seorang lagi rakan saya diarahkan untuk ke Melaka.
“Kami tidak tahu apa tujuannya. Apabila sampai di sana, kami diberitahu keadaan keselamatan negara tidak stabil, anggota tentera tidak cukup, maka ditubuhkan satu pasukan dinamakan 5 Renjer, ketika itu Renjer hanya empat batalion.
“Saya jurulatih Semboyan dan menubuhkan Pasukan Semboyan dalam batalion itu sehingga bersara pada tahun 1980-an,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang berkhidmat dalam tentera, kecenderungan beliau adalah mendampingi golongan agamawan dalam tentera terutama pegawai agama.
“Bapa saya ulama, saya tidak boleh jauh dari agama, walaupun pergi operasi tentera, seperti operasi di Gubir, perintah agama tidak boleh ditinggalkan.
“Ada pondok tempat solat, kami mesti solat. Ketika itu biasanya saya akan diketengahkan, kadang kala jadi imam, kadang kala jadi bilal,” katanya.
Selepas bersara, beliau balik kampung dan dilantik menjadi imam di Masjid Al-Khairiah, Selekoh di Bagan Datuk.
Menurutnya, imam adalah orang hadapan dalam carta agama sesebuah kampung.
“Jika ada perkara berkaitan agama, orang kampung akan datang kepada imam dahulu, barulah imam akan membuat rujukan kepada pihak berkenaan seperti jabatan agama.
“Biasanya dalam hal agama, penduduk condong atau merujuk kepada saya, contohnya saya dilantik sebagai pengerusi sekolah agama rakyat di sini.
“Saya juga dilantik oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Biro Agama Parlimen Bagan Datuk,” terangnya. – UTUSAN










