RAMAI yang menganggap perkahwinan itu sekadar mengelakkan diri daripada melakukan maksiat dan untuk tidak terjerumus dalam pergaulan tanpa batas.
Benar, tujuan itu murni dan dituntut oleh agama Islam namun sifat-sifat melebihi batas kemampuan dalam mengadakan persiapan dan majlis perkahwinan serta wang hantaran yang tinggi boleh mengundang sengsara bagi pasangan suami isteri pada masa depan.
Semua ini didorong oleh sikap ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain, mengikut trend semasa, pengaruh media sosial dan kehendak ibu bapa atau pasangan sendiri.
Bertugas sebagai seorang jurunikah kepada lebih 100 pasangan di Batu Tiga, Chenderiang dan Kijang di Tapah, Perak selama lebih tujuh tahun, Mohammad Shuhaimi Omar, 67, sentiasa mengharapkan setiap pasangan tersebut hidup berbahagia sehingga hujung nyawa.
Selain bertugas sebagai jurunikah, pesara kerajaan ini turut menggalas tanggungjawab sebagai imam selama lebih 15 tahun di Masjid Al Hidayah, Batu Tiga, Temoh, Tapah. Beliau turut mendalami ilmu agama dalam bidang tauhid, fekah dan sirah di Pusat Pengajian Pondok Al Amin, Tapah sejak berusia awal 20-an.
Menurutnya, mengadakan kenduri kahwin atau walimatulurus tidak menjadi kesalahan malah diwajibkan namun perlu menilai kemampuan kewangan.
“Sebaiknya, janganlah sampai berhut ang dengan membuat pinjaman bank semata-mata kerana mahu mengadakan majlis besar-besaran sehingga melibatkan perbelanjaan mencecah lima angka.
“Lebih malang, semua ini didorong oleh sikap ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
“Bukan apa, dikhuatiri nanti apabila sudah dapat dua hingga tiga anak, pinjaman peribadi yang dibuat masih tidak selesai sedangkan komitmen pada waktu itu semakin tinggi seperti membayar sewa atau ansuran rumah, kenderaan dan perbelanjaan semasa,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Masjid Al Hidayah baru-baru ini.
Katanya, kecenderungan untuk menunjuk-nunjuk di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok menyebabkan ramai pasangan terpengaruh untuk menjadikan majlis mereka nampak ‘mahal’ dan meriah.
“Mengadakan majlis kenduri sampai berhabis puluhan ribu ringgit kerana ingin menunjuk-nunjuk seperti konsep garden wedding, tujuh hingga lapan persalinan, photo booth dan lain-lain yang tidak perlu, amat membazir jika tidak berkemampuan.
“Tambahan pula mengupah mak andam selama berhari-hari, sewaan set pelamin mewah, majlis diadakan di hotel dengan berhutang, ini semua bakal mengundang kesusahan kelak.
“Walimatulurus ini adalah hebahan untuk memaklumkan kepada orang lain yang kita telah berkahwin agar tidak berlakunya fitnah kelak,” katanya.
Lebih malang, katanya, perkongsian mengenai majlis kenduri kahwin di media sosial yang dianggap sudah cukup berskala besar itu mengundang komen negatif dan tidak begitu disenangi.
“Akhirnya duit pun habis dan kita pun tidak berapa seronok,” katanya.
MOHAMMAD SHUHAIMI OMAR
Tempat lahir: Kampung Pasir Salak, Pasir Salak, Perak
Pendidikan:
• Pusat Pengajian Pondok Al Amin, Tapah
Jawatan:
• Imam Masjid Al Hidayah
• Jurunikah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)
Tambahnya, lebih baik pinjaman atau hutang ini disalurkan bagi membina kehidupan selepas bergelar suami isteri.
Nasihat supaya tidak membazir itu juga ditujukan kepada pasangan yang mahu mengadakan majlis merisik atau pertunangan.
“Sekiranya mampu dan berduit tidak mengapa, namun elakkan membazir supaya tidak menyulitkan kehidupan kelak. Bahagia dari segi dalaman itu lebih indah daripada orang lain pandang kerana setiap pandangan itu bersifat subjektif,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Shuhaimi turut bimbang dengan ramainya pasangan suami isteri yang suka meluahkan perasaan dalam media sosial.
“Dahulu, tular dengan grup WhatsApp bekas pelajar sekolah dan universiti yang mengumpulkan rakan-rakan lama sehingga berjumpa dengan ‘crush lama’, kekasih lama dan sebagainya sehingga menyebabkan pasangan suami isteri bercerai.
“Kini, ada pula laman Facebook dengan pelbagai nama ‘Suami Isteri Sunyi,’ ‘Sewa Suami Isteri’ dan sebagainya yang diwujudkan bagi meluahkan perasaan dan berkongsi perkara sulit rumah tangga sedangkan ini tidak elok dan cenderung kepada perkara tidak baik.
“Sebaiknya, jika ada masalah pasangan boleh mendapat nasihat dan kaunseling daripada pihak yang mempunyai autoriti,” katanya. – UTUSAN










