Islam tidak larang berhibur, namun ada batasnya - Utusan Malaysia

Islam tidak larang berhibur, namun ada batasnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAM secara asasnya tidak melarang umatnya untuk berhibur namun terdapat batasan yang perlu dipatuhi agar seiring dengan hukum dan moral sebagai seorang Muslim.
Selain itu, hukum hiburan dalam Islam juga adalah harus selagi mana ia tidak bercanggah dengan konsep asas diperintahkan oleh Allah SWT.
Pengerusi Maahad Tahfiz al- Quran Arraudhah, Mohamad Zahid Ibrahim, 40, berkata, terdapat beberapa perkara yang wajib dipatuhi oleh masyarakat Islam dalam menyesuaikan hiburan dengan adat ketimuran di negara ini.
“Antara hiburan yang perlu dielakkan adalah melibatkan perkara lucah, biadab, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul antara lelaki dan perempuan serta membawa kepada fitnah.
“Ini juga bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam Muzakarah Kali Kedua pada Mei 1981 yang menyatakan hukum hiburan itu harus selagi perkara-perkara tersebut dipatuhi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Zahid berkata, terdapat hadis diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha yang bermaksud: Bahawasanya beliau membawa seorang pengantin perempuan untuk dihantar kepada seorang lelaki daripada kaum Ansar, kemudian Rasullullah SAW bersabda: “Wahai ‘Aisyah, apakah kamu semua tidak mempunyai hiburan untuk dimainkan?Sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan. (Riwayat al-Bukhari 5162).”
Menurut Mohamad Zahid, Rasulullah SAW juga berhibur sewaktu hayat Baginda namun ia bukan hanya berkaitan nyanyian sahaja.
“Pada zaman itu, hiburan bukan sahaja berkaitan nyanyian tapi termasuklah berlawan menunggang kuda, berlatih pedang, memanah dan bergusti,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Zahid berkata, bagi memastikan hiburan mengikut garis panduan Islam ditetapkan, pihak berautoriti perlu tegas dalam memastikan penganjur yang terlibat sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.
Katanya, hiburan yang tidak terkawal akan memberi impak negatif kepada generasi Islam masa hadapan tambahan pula amalan hedonisme sudah merebak luas sejak dulu lagi.
“Kita bukan sahaja ingin maju dengan teknologi dan kemajuan pembangunan semata-mata namun ingin mewujudkan masyarakat yang tinggi adab dan akhlaknya.
“Ini adalah supaya kemajuan yang dikecapi itu dapat dimanfaatkan sewajarnya dan tidak merosakkan pembangunan yang kita ada pada hari ini,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya