Berdosa sebar aib pasangan, individu di media sosial - Utusan Malaysia

Berdosa sebar aib pasangan, individu di media sosial

Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, AMRAN AWALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggunaan media sosial secara berlebihan terutama melibatkan isu peribadi pasangan suami isteri selain membuka aib mana-mana individu perlu dicegah.
Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Amran Awaludin berkata, penggunaan media sosial ketika ini sudah menjadi medium utama untuk seseorang meluahkan perasaan termasuk untuk menegakkan pendirian masing-masing.
“Rahsia rumahtangga ini sepatutnya disimpan rapi oleh pasangan suami isteri kecuali ada di antara mereka memerlukan khidmat nasihat dan bimbingan, ia dibolehkan untuk mendedahkan kepada pihak berautoriti contohnya kaunselor, wali atau hakim.
“Sekiranya mereka sesuka hati meluahkan atau menceritakan hal peribadi dalam media sosial dan membuka aib pasangan masing-masing hukumnya adalah berdosa,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Amran lagi, sebaiknya segala aib perlu disimpan walaupun masing-masing sudah tidak tinggal sebumbung.
“Jangan jadikan platform media sosial untuk menegakkan pendirian masing-masing menyebabkan pihak yang tiada kaitan mengambil kesempatan memalukan diri dan keluarga.
“Perkara ini perlu dicegah. Dalam Islam juga kita diingatkan agar jangan cepat terpengaruh dan orang ramai pula jangan sibuk menjaga hal rumahtangga orang lain.
“Jangan cepat percaya dan menghukum. Kita tidak mengetahui isu sebenar,” katanya.
Jelas Amran lagi, di negara ini, terdapat pelbagai saluran rasmi untuk mendapatkan pandangan bagi sesuatu isu atau permasalahan.
“Seperti di Negeri Sembilan, kita mempunyai Pejabat Islam Daerah ataupun bahagian runding cara keluarga dan melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui perkhidmatan pusat kaunseling,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan umat Islam agar tidak sewenang-sewenangnya mengeluarkan hukum melibatkan isu halal dan haram bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat.
“Pihak yang tidak berautoriti tidak boleh mengeluarkan hukum sewenang-wenangnya dan dari segi penentuan hukum banyak aspek perlu diambil kira.
“Ia termasuk sumber pengambilan hukum berdasarkan al-Quran, hadis seterusnya ijmak ulama, qias dan beberapa lagi sumber pengambilan hukum dalam Islam serta berpandukan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengutamakan pandangan Mazhab Syafie.
“Di Negeri Sembilan Individu atau masyarakat perlu merujuk kepada Jabatan Mufti Negeri Sembilan termasuk menerusi laman web dan media sosial jabatan bagi mengetahui fatwa terkini.
“Pengeluaran hukum dan fakta yang tidak sahih bo­leh menimbulkan polemik ber­terusan dalam ka­langan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, Jabatan Mufti Negeri Sembilan turut mengedarkan poster berkaitan fatwa di masjid dan tempat-tempat awam.
“Ia termasuk juga mela­lui program bersemuka dengan masyarakat seperti seminar dan kuliah di masjid dan surau bagi memperjelaskan isu-isu berkaitan fatwa terkini,” katanya.

Amran Awaludin
» Umur: 53
» Pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Pengkhususan Dakwah dan kepimpinan UKM (1994)
Diploma Pentadbiran Kehakiman dan Guaman Islam UKM (2005)
» Jawatan sebelum ini:
 Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah dan Pengurusan Masjid Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) (2016-2018)
 Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) (2014-2016)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya