Ketelusan menguruskan ibadah korban

Ketelusan menguruskan ibadah korban

USTAZ MUHD INZAAR HAQIEQIE ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS Syawal, masyarakat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha sebagai tanda bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah SWT.

Dalam kesempatan itu, terdapat juga banyak iklan daripada pelbagai pihak yang turut menawarkan perkhidmatan bagi pengurusan ibadah korban buat masyarakat Islam bersempena perayaan itu.

Namun begitu, antara perkara yang tidak dinyatakan secara jelas dalam beberapa perkhidmatan pengurusan ibadah korban ini adalah berkaitan harga sebenar bahagian korban dan kadar upah yang dikenakan kepada orang ramai.

Ada di antara iklan yang menawarkan perkhidmatan pengurusan ibadah korban ini secara sengaja tidak menyebut harga dengan jelas sekali gus menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) Perlis, Muhd Inzaar Haqieqie Ismail, 37, berkata, penganjur khususnya pengurusan masjid, surau mahu pun mana-mana agensi perlu telus dalam melaksanakan perkhidmatan korban dengan mengikut syariat Allah.

“Ketelusan ini penting bagi membolehkan peserta korban berpuas hati dan mengajak rakan-rakan lain untuk turut sama melaksanakan ibadah berkenaan.

“Janganlah kita menguruskan korban mengikut kepala kita sendiri kerana ia adalah satu ibadah yang hanya akan diterima oleh Allah SWT apabila disertai dengan ilmu,” jelasnya.

Bercakap mengenai kepentingan ibadah korban, Muhd Inzaar berkata, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda; “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia menjadikan aku ini orang yang paling dicintainya melebihi dia mencintai anaknya, ibu bapanya dan semua manusia.”

Katanya, sabda Nabi Muhammad SAW itu secara asasnya menyatakan bahawa ibadah korban merupakan satu kewajipan yang mana seseorang Muslim itu telah bersetuju untuk mengorbankan seluruh hayatnya bagi mengikut syariat Allah dan agama Islam.

“Terdapat pendapat dalam kalangan ulama yang mengeluarkan hukum bahawa menyembelih haiwan korban adalah wajib bagi setiap keluarga yang mempunyai kemampuan.

“Namun Al-Imam Al-Syafie menghukumnya sebagai sunat muakkad, yakni sunnah yang sangat dituntut untuk kita melaksanakannya dan makruh bagi mereka yang berkemampuan tetapi tidak mahu membuat korban,” katanya.

Dalam pada itu, Muhd Inzzar berkata, penghayatan kebanyakan masyarakat Islam pada masa kini terhadap pelaksanaan ibadah korban juga didapati semakin mendalam.

Katanya, ini dapat dibuktikan dengan pertambahan agensi, badan pengurusan dan pelbagai lagi platform dalam talian bagi membantu memudahkan umat Islam menunaikan ibadah korban.

“Ibadah korban dalam kalangan masyarakat Islam semakin subur namun pihak pengurusan perlu memastikan pelaksanaannya telus dan mengikut hukum hakam syariat Islam,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

MUHD INZAAR HAQIEQIE ISMAIL
» Nama: Muhd Inzaar Haqieqie Ismail 
» Umur: 37
» Jawatan: 
Guru Hafazan Maahad Tahfiz Al-Hikmah, Arau, Perlis
Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (PINTA) Perlis
Imam 2 Masjid Ali Bin Abi Thalib, Perawah, Perlis
» Pendidikan: 
Sekolah Rendah Islam, Padang Siding, Arau, Perlis
Maahad Tahfiz Al-Quran Lorong Alif, Jitra, Kedah
Madrasatul Quran Kubang Bujuk (MQKB), Kuala Terengganu, Terengganu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya