Mahu terus hidupkan pengajian madrasah - Utusan Malaysia

Mahu terus hidupkan pengajian madrasah

IBN Hazm Edinbry Ismail di hadapan Madrasah Ibn Hazm, Kampung Belt, Chenderong Balai dekat Pasir Salak yang diasaskan oleh Allahyarham bapanya. – Mingguan/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM usia semuda 32 tahun, Ibn Hazm Edinbry Ismail kini menggalas tanggungjawab besar iaitu untuk menunaikan hasrat arwah bapanya yang mengasaskan Madrasah Ibn Hazm, Kampung Belt, Chenderong Balai dekat Pasir Salak.
Bapanya, Allahyarham Ismail Abdul Razak, bekas jurutera Petronas yang aktif dalam dakwah bersama jemaah Tabligh, mengasaskan madrasah itu untuk yang berminat belajar ilmu agama.
Bapanya meninggal dunia pada 2019 pada usia 62 tahun ketika menjalankan kerja-kerja dakwah di Sarawak. Sebagai anak yang diberi amanah untuk menghidupkan madrasah itu yang diasaskan hampir 10 tahun lalu, Ibn Hazm Edinbry mengakui bukan tugas mudah untuk melihat madrasah itu diimarahkan dengan aktiviti pembelajaran agama.
Malah dia kini berdepan dengan cabaran apabila madrasah itu tidak lagi mempunyai pelajar selepas wabak Covid-19 melanda.
Katanya, sebelum pandemik tersebut, madrasah berkenaan mempunyai ramai pelajar yang belajar agama dari tahfiz hingga fardu ain, tasawuf, kitab dan tafsir serta hadis.
“Namun saya berazam meneruskan amanat bapa agar madrasah ini terus beroperasi. Itu yang saya dan adik beradik akan buat di madrasah ini.
“Saya mahu membalas usaha bapa yang bersusah payah dan mengeluarkan duit sendiri untuk membina madrasah ini demi agama. Arwah bapa bukan ustaz, bukan ahli madrasah, dia orang biasa cuma dia ada duit jadi bina madrasah. Apa yang dilakukan ini demi amal jariahnya.
“Walaupun madrasah ini sekarang tiada pelajar, saya terus menguruskannya. Kami tiga beradik berada di sini. Saya mahu melihat madrasah ini kembali dipenuhi pelajar dan sesiapa sahaja yang mahu menuntut ilmu,” katanya.
Ibn Hazm Edinbry mengakui tidak kecewa madrasah itu sunyi tanpa pelajar, sebaliknya menyifatkan cabaran utamanya adalah mencari mereka yang benar-benar berkeinginan untuk belajar agama.
“Selepas PKP, kebanyakan pelajar dan mereka yang potensi, keinginan mereka untuk terus belajar agama nampaknya sudah tak ada, mak bapa juga sudah kurang bermotivasi untuk menghantar anak mereka belajar di madrasah.
“Saya tak rasa kecewa, cuma bimbang jika keadaan ini berterusan, generasi akan datang, ilmuwan akan pupus. Bila madrasah kurang orang minat, kejahilan akan datang semula,” katanya.
Menurutnya, dia tidak pasti punca pelajar tidak meminati pengajian agama di madrasah namun berpandangan ia ada kaitan dengan tempoh berkurung di rumah yang lama semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang mana pelajar yang berkurung di rumah dan terdedah dengan pengaruh media sosial.
“Saya berpendapat, pendedahan kepada benda lain iaitu media sosial tak dapat dibendung semasa PKP, ia akhirnya menjadi satu ketagihan sedangkan di madrasah, tak benarkan bawa telefon pintar, apabila masuk semula ke madrasah, rindu, ketagihan, terhadap media sosial kerana rasa seronok,” katanya.
Jelasnya, dia juga tidak rasa putus asa dengan keadaan itu kerana ada cara lain untuk menyebarkan agama.
“Cuma apabila pengajian agama di madrasah tidak lagi diminati, maka satu cabang ilmu sudah terhenti dan ini sudah tentu merugikan.
“Perkara ini perlu menjadi kerisauan orang ramai, terutama yang terlibat dengan masjid, kami risaukan masa depan agama dan umat Islam,” katanya.
Menurutnya, Madrasah Ibn Hazm diasaskan bukan untuk tujuan perniagaan sebaliknya membuka peluang kepada orang kampung dan sesiapa sahaja belajar agama.
Katanya, masyarakat juga perlu mengubah persepsi terhadap pengajian di madrasah iaitu bukan kerana akademi anak tidak bagus.
“Menghantar anak belajar di madrasah untuk dapat kebaikan agama. Itu perlu ada dalam setiap ibu bapa. Belajar agama bukan sekadar untuk pendidikan tapi amalan, macam belajar dunia, pengetahuan yang diperoleh digunakan untuk dunia, tapi belajar agama bukan untuk dunia, tapi amalan dan imbuhannya adalah pahala,” katanya.
Justeru, dia berharap kesedaran untuk menuntut ilmu agama dalam kalangan masyarakat akan terus meningkat. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya