Menegak syiar Islam komuniti India Muslim - Utusan Malaysia

Menegak syiar Islam komuniti India Muslim

ABDUSH Shakkor Zainudeen Makhdum (tengah) mengajarkan al-Quran kepada seorang pelajar bersama Badurdeen Abdul Kadir Al Hafiz (kanan) di Masjid India Muslim Teluk Intan. – mingguan/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DILAHIRKAN dan dibesarkan di Madras, India, Abdush Shakkor Zainudeen Makhdum menjejakkan kakinya ke Malaysia pada 1979 atas jemputan untuk menjadi imam di Masjid India Muslim Teluk Intan, Perak.
Selepas 43 tahun, Abdush Shakkor yang kini berusia 75 tahun masih diberikan tanggungjawab dan amanah sebagai imam besar masjid tersebut dan yang lebih utama memastikan syiar Islam dalam kalangan masyarakat India Muslim di bandar Teluk Intan terus berkembang dan dipelihara.
Beliau bersyukur kerana masih dapat memberikan khidmatnya sebagai imam untuk komuniti India Muslim di Teluk Intan sehingga hari ini.
“Saya menerima jemputan daripada jawatankuasa masjid ini untuk menjadi imam di masjid ini pada 1979, dan saya memulakan khidmat saya di sini sehingga ke hari ini.
“Saya amat bersyukur kerana diberikan kepercayaan untuk menjadi imam di masjid yang cukup bersejarah ini, jika tak salah usia masjid ini sudah mencecah 150 tahun.
“Ini menunjukkan perkembangan Islam dalam kalangan India Muslim sudah lama bertapak di daerah ini dan terus kukuh.
“Saya akan meneruskan tugas saya sebagai imam di masjid ini selagi saya mampu,” katanya.
Menyorot latar belakangnya dalam menimba ilmu agama, Abdush Shakkor belajar agama di sebuah madrasah yang terkenal di Madras iaitu Al Jamiatul Manbaul Anwar yang diketuai tokoh agama terkenal di sana iaitu Allahyarham Allama Amani Hazrat.
Berbekalkan ilmu agama yang dipelajarinya, beliau menerima jemputan untuk menjadi imam di Masjid India Muslim di Teluk Intan ketika itu, beliau tidak berfikir panjang untuk menerima pelawaan daripada jawatankuasa masjid tersebut lebih 40 tahun lalu.
Menurutnya, selain menjadi imam, beliau juga mengadakan kuliah agama selain mengajar al-Quran, fardu ain, tafsir, hadis, fikah dan tasawuf.
Katanya, beliau lebih gemar mengajar dalam bahasa Tamil untuk memudahkan mereka yang datang belajar yang terdiri daripada komuniti India Muslim.
“Mereka yang datang belajar di sini terdiri daripada India Muslim, dengan menggunakan bahasa Tamil, ilmu yang saya ajarkan lebih mudah untuk difahami.
“Saya gembira melihat ramai yang datang untuk belajar agama terutama membaca al-Quran. Saya sedia menerima sesiapa sahaja yang mahu belajar agama di masjid ini, kalau yang datang belajar itu seorang atau berdua sahaja pun tak mengapa, saya sedia mengajar mereka.
“Selain orang biasa, ada juga saudara baru yang belajar agama. Saya tidak keberatan untuk mengajar mereka kerana sebagai saudara baru, sudah tentu mereka perlukan bimbingan,” katanya.
Khidmat Abdush Shakkor sebagai imam di masjid itu turut mendapat pengiktirafan daripada pihak kerajaan dan istana yang memberikan beliau tauliah untuk mengajar agama di masjid tersebut.
“Bagi saya tauliah yang diberikan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan tugas sebagai imam dan mengajar agama untuk komuniti India Muslim di daerah ini.
“Ini adalah antara cara berdakwah dan me­ngembangkan lagi syiar Islam dalam kalangan masyarakat India Muslim,” katanya.
Sementara itu, Imam Kedua masjid tersebut, Ustaz Badurdeen Abdul Kadir Al Hafiz, 52, berkata, Abdush Shakkor merupakan tokoh agama yang dihormati dan dikagumi dalam kalangan masyarakat di Teluk Intan.
Katanya, khidmat bakti Abdush Shakkor amat besar dalam memastikan syiar Islam terus berkembang dalam komuniti India Muslim.
“Beliau seorang yang berilmu tinggi dalam agama, ikhlas dalam tugasnya sebagai imam selain mencurahkan ilmu agama kepada sesiapa sahaja.
“Bagi kami beliau seorang tokoh agama yang amat disan­jung dan dihormati,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya