fbpx

Islam utamakan hak kejiranan

ADAB berjiran dalam Islam tidak hanya terpakai di kawasan perumahan atau dalam komuniti berdekatan sahaja, malah ia mencakupi hubungan sesama manusia di masjid, markas dakwah dan lain-lain.
Antaranya, termasuk jiran Muslim dalam kalangan ahli keluarga dengan tiga hak yang mesti dijaga iaitu saudara seagama, hak kejiranan dan hak ikatan keluarga.
Jiran memiliki dua hak iaitu jiran yang Muslim untuk dipenuhi tuntutan memiliki hak sebagai jiran dan sebagai Muslim manakala jiran yang memiliki satu hak adalah jiran bukan Islam yang memiliki hak kejiranan yang juga sangat dituntut.
Berkongsi pandangan berkaitan adab dan hak kejiranan, seorang pendidik, Tuan Rahimi Tuan Abdullah berkata, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak masuk syurga sesiapa yang jirannya tidak berasa aman kerana kejahatannya.”
Maka katanya, berbaik sesama jiran tidak boleh dipandang remeh kerana ia amat ditekankan dalam Islam.
Menurut beliau lagi, di dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud, Abu Yu’la, al-Baihaqi dan al-Tahawi, daripada Abu Hurairah RA, jiran merangkumi 40 rumah di setiap penjuru yang mengelilingi rumah seseorang itu.
“Kesemuanya mempunyai hak sebagai jiran yang perlu diambil berat, berbaik dan saling hormat menghormati. Lingkungan 40 rumah setiap penjuru rumah kita bukan ruang lingkup yang sempit,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Sekolah Menengah Ugama Arab Nurul Ittifakiah Kampung Telosan, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, semangat kejiranan kini dilihat semakin luntur disebabkan kesibukan kerjaya dan gaya hidup.
Perubahan zaman dan trend dunia baharu, katanya, menyerlahkan sikap jiran yang tidak mengenali kerana wujudnya budaya tutup pintu, kunci mulut dan tidak mengamalkan salam. Jauh sekali kalau hendak menyaksikan kesepakatan komuniti dengan semangat bergotong-royong seperti dahulu.
Tambah Tuan Rahimi, perihal hubungan sesama manusia telah digarapkan di dalam al-Quran menerusi Firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu.
“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar serta hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (surah an-Nisa’ ayat 36)
Maksud firman itu, kata beliau, menjelaskan bahawa sikap sombong, takabur dan membanggakan diri menjadi punca utama yang merosakkan nilai ukhuwah sesama manusia.
Menurutnya, perasaan dan hati jiran perlu dijaga, dengan memastikan tiada perbuatan yang boleh merenggangkan hubungan, mengutamakan jiran terdekat, mengamalkan sikap mengambil berat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan serta membantu mereka jika berada dalam kesusahan.
Tambah Tuan Rahimi, semua ini adalah bertepatan dengan suruhan Allah SWT untuk berbuat baik kepada sesiapa sahaja.
Berbaik dengan jiran tetangga juga dirangkumkan sebagai salah satu amal kebajikan termasuk menziarahi mereka ketika sakit dan menguruskan jenazah ketika mereka meninggal dunia.
Dari Abu Hurairah RA beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim lain ada lima perkara, iaitu menjawab salam, menziarahi mereka yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan, dan mendoakan orang bersin. (Sahih Bukhari dan Muslim).
Beliau menambah, lain-lain tertib yang perlu diberikan perhatian adalah tidak membuka aib jiran, menjaga keselamatan rumah dan anak-anak mereka.
“ Kita juga dilarang mengganggu ketenteraman hidup mereka dengan melakukan tindakan-tindakan yang tidak menyenangi hati mereka,” jelasnya.

USTAZ TUAN RAHIMI TUAN ABDULLAH
» Usia: 45 tahun
» Asal: Kg Saring Pasir Puteh, Kelantan
» Sejarah pendidikan:
 Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Nuruk Ittifak, Nering, Pasir Puteh, Kelantan.
 SMUA SANIAH, Pasir Puteh, Kelantan.
 Universiti al- Azhar jurusan Syariah Islamiah (1997-2002)
 Diploma pendidikan pengajian Islam Institusi Pendidikan Guru, Kota Bharu, Kelantan.
» Jawatan hakiki: Guru

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN