Banyak berguru, bertambah ilmu - Utusan Malaysia

Banyak berguru, bertambah ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK berguru, menghafaz, membaca kitab, mengkaji dan mentafsir isi kandungan al-Quran dan paling utama berzuhud kepada Allah SWT adalah satu keperluan yang dituntut sebelum seseorang itu tampil menyampaikan ilmu kepada orang ramai.
Berkongsi pandangan kepada Mingguan Malaysia, tokoh ulama Kelantan, Tuan Guru Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah berkata, menimba ilmu sama ada dengan kaedah pembacaan kitab atau mendengar serta berguru mengukuhkan kewibawaan alim ulama untuk menjadi rujukan umum.
Menurutnya, ia tidak hanya melibatkan hukum hakam tetapi mencakupi pelbagai aspek kehidupan untuk dihurai dan disimpulkan mengikut tuntutan ajaran agama Islam.
“Perlu arif dalam pelbagai hal ehwal ilmu duniawi dan ukhrawi. Saya masih berpegang kepada nasihat guru saya, al-Allamah Syeikh Abdul Qadir al-Mandili yakni seorang pengarang kitab Penawar Bagi Hati ketika saya masih berusia belasan tahun.
“Syeikh Abdul Qadir berpesan, kalau kamu hendak mengajar pada suatu hari nanti, kamu hendaklah sekurang-kurangnya merujuk kepada tiga buah kitab berasingan dan gunakan pendekatan yang mudah difahami,” katanya ketika ditemui di Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK), Kandis, Bachok, Kelantan baru-baru ini.
Syeikh Wazir adalah di antara ulama yang mempunyai reputasi tinggi dengan ketokohannya dalam semua bidang ilmu agama.
Ketika usianya 11 tahun, beliau berangkat ke Mekah bermastautin di sana selama puluhan tahun. Di tanah suci Syeikh Wazir belajar di Madrasah Saulatiyyah di samping mengikuti halaqah pengajian di sekitar Masjid Haram.
Selepas itu, beliau menyambung pengajian ke Pakistan dengan menuntut di Universiti Karachi. Di antara guru-gurunya ialah Syeikh Muhammad Yasin Isa al-Fadani, Syeikh Hasan Masyath, Sayyid’Alawi al-Maliki, Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, Pak Da Eil Mekah dan lain-lain.
Menyambung cerita, Syeikh Wazir berkata, kebanyakan alim ulama yang seguru dengannya memandang tinggi pendekatan Abdul Qadir al-Mandili yang merupakan ulama yang mengorbankan usianya mengajar di Masjid Haram.
“Berguru dengan Pak Do Eil Al-Fathani sempat saya khatam kitab Bakuratul Amani yang masyhur dikarang sendiri olehnya.
“Dia ulama yang tegas walaupun tubuhnya kecil. Pemahaman ulama itu amat jitu dalam ilmu usuluddin dan mempunyai pemikiran kreatif dan kritis.
“Dalam majlis ilmunya, beliau tidak suka jika tiada soalan yang dilontarkan dengan berkata, Kamu ini sudah alimkah? Sampaikan tiada soalan yang hendak ditanya. Dia sering meminta soalan yang susah untuk membolehnya berfikir bukannya soalan yang mudah,” katanya.
Syeikh Wazir berkata, dalam usia belasan tahun juga dia berminat menuntut dengan Sayyid ‘Alawi Abbas al-Maliki menggunakan kitab Sahih Bukhari sehingga dikenali ulama berkenaan kerana di antara pelajar paling muda.
Katanya, antara kelebihan Sayyid Alawi adalah kehebatan pemikiran dan ketajaman ingatannya mengajar, menyebut perawi dan matan hadis tanpa melihat kepada kitab walaupun kitab berkenaan berada di hadapannya.
Beliau yang juga Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan berkata, pondok merupakan suara dan denyut nadi seluruh masyarakat Islam di negara ini yang bertepatan dengan perkembangan agama Islam dan kedudukan para ulamanya yang ada.
Katanya, para ulama seluruh nusantara secara umumnya sejak kedatangan Islam ke wilayah ini sehingga sekarang adalah berpegang kepada Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengikuti Imam Abu al-Hassan Ash’ari dan Imam Abu Mansur al- Maturidi dalam mazhab Akidah, mengikuti Imam Muhammad Idris al-Shafi’e dalam mazhab Feqah serta mengikuti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al- Ghazali dalam manhaj Tasawuf.
“Ajaran Wahabi adalah ajaran yang berpegang kepada Tajsim dan Taysbih dalam hal akidah, campur aduk mazhab dalam aspek Feqah, menolak aspek kesufian tasawuf dan banyak lagi.
“Kita menolak fahaman ini dan pondok yang wujud di negara ini adalah tempat melahirkan alim ulama bukan pelampau agama,”katanya.

TUAN GURU SYEIKH WAZIR CHE AWANG Al MAKKI
» Usia: 77 tahun
Dilahirkan pada tahun 1948 di Kelantan.
» Pendidikan:
*Bertalaqi dengan ulama-ulama tersohor di Mekah, Arab Saudi.
*Menyambung pengajian di Universiti Karachi, Pakistan.
*Kembali ke tanah air pada tahun 1980.
» Jawatan yang disandang:
*Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan.
*Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan.
*Tenaga Pengajar di Pusat Pengajian Pondok, Yayasan Islam Kelantan (YIK), Telong Bachok, Kelantan.
*Penceramah bertauliah di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.