Kenyataan cerdik atau bodoh? - Utusan Malaysia

Kenyataan cerdik atau bodoh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih baik diam!

Mungkin itu luahan keras daripada warganet seantero dunia terhadap beberapa artis antarabangsa yang kelihatan tidak berapa cerdik ketika melontarkan jawapan atau kenyataan tertentu semasa ditemu bual media.

Baik dalam apa sahaja isu, ada antara mereka berlagak seolah-olah diri bijak, namun butir bicara yang terbit daripada mulut masing-masing seakan mempamerkan tahap pemikiran dangkal sekali gus menjengkelkan pelbagai pihak sahaja.

Perasan diri mampu memberikan impak hebat dengan kenyataan yang diberikan? Maaf, nampaknya apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Buktinya ada pada lima selebriti terkemuka antarabangsa ini. Jom baca!

Katy Perry

Baru-baru ini, penyanyi, Katy Perry telah mengikuti lawatan ke angkasa dalam misi selama 11 minit yang dijalankan oleh syarikat Blue Origin milik pengasas Amazon, Jeff Bezos.

Mengulas mengenainya, Perry berkata,misi itu adalah tentang tenaga kolektif dan membuka ruang untuk wanita pada masa depan.

”Ia tentang dunia yang indah yang kita lihat di luar sana dan menghargainya. Semua ini adalah untuk manfaat Bumi,”katanya.

Perjalanan ini merupakan penerbangan angkasa pertama yang disertai sepenuhnya oleh kaum wanita sejak kali terakhir pada tahun 1963.

Ramai berpendapat, lawatan itu tidak menjadikan ia sebagai satu usaha memperkasakan wanita sebagaimana yang didakwa Katy.

Disebabkan itu, ramai pengkritik, termasuk selebriti Emily Ratajkowski membidas kenyataan Katy dan mendakwa misi itu bukan sahaja satu pembaziran wang tetapi juga memberikan kesan buruk terhadap alam sekitar.

Malah banyak pihak menyifatkannya sebagai satu misi yang tiada manfaat.

Demi Lovato

Ketika serangan ke atas Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021 di Amerika Syarikat (AS), penyanyi dan pelakon, Demi Lovato meluahkan rasa kecewanya menerusi ciapan di platform X menyatakan hatinya hancur melihat pemberontakan yang berlaku.

“Saya berasa amat sedih kerana pernah beranggapan naif bahawa perkara seperti ini tidak mungkin berlaku, namun ternyata ia tetap terjadi.

“Kepada semua yang bertanya ‘di mana D7’ atau meminta saya menyanyi sahaja berbanding bersuara tentang perubahan yang diperlukan di negara ini, inilah sebabnya saya kerap bersuara.

“Inilah sebabnya saya mengambil berat. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku lagi. Saya berasa marah, malu dan kecewa. Kini saya berada di studio mengusahakan sesuatu yang istimewa selepas serangan terhadap demokrasi hari ini. #pecatTrumpmalamini.” ciapnya.

Walaupun kemarahan Lovato turut dirasai oleh ramai rakyat Amerika, bagaimanapun tindakannya mengaitkan situasi tersebut dengan kerjaya muziknya menerima kritikan hebat.

Ini kerana bagi kebanyakan warganet pada waktu itu, pemikiran Demi sangat dangkal kerana menganggap sebuah lagu mampu membawa perubahan dalam keadaan yang genting seperti itu.

Lana Del Ray

Penyanyi dan komposer, Lana Del Rey sering dituduh gemar mengangkat elemen penderaan emosi dalam muziknya.

Bagi menjawab tuduhan tersebut, Lana memuat naik satu kenyataan panjang di Instagram di bawah tajuk Question for the culture.

Jelas Lana, dia hanyalah seorang selebriti yang menyanyikan realiti hubungan yang kini jelas melibatkan banyak unsur penderaan emosi di seluruh dunia.

Lana turut mempersoalkan bagaimana artis lain boleh menghasilkan muzik berunsur seksual secara terbuka tanpa menerima kecaman, sedangkan dirinya ‘dihukum’ kerana liriknya sendiri.

Walaupun Lana mengemukakan beberapa hujah yang bernas, tindakannya yang hampir mengaitkan artis berkulit hitam serta ungkapannya tentang cadangan mewujudkan ruang dalam feminisme untuk wanita yang kelihatan dan berperilaku sepertinya bagaimanapun telah mencetuskan kritikan hebat.

Meryl Streep

Pelakon terkemuka, Meryl Streep pernah menggunakan pentas anugerah untuk berucap sambil membuat kenyataan politik.

Semasa membuat ucapan ketika dia menerima Anugerah Golden Globes pada tahun 2017,Meryl mengkritik Presiden Donald Trump.

“Hollywood dipenuhi dengan orang luar dan pendatang, dan jika kita mengusir mereka semua, tiada apa yang anda akan lihat kecuali menonton bola sepak dan seni mempertahankan diri, yang mana itu bukanlah satu seni,”katanya.

Walaupun komen Streep bertujuan baik, ramai yang mempertikaikan kenyataannya, khususnya berkenaan pandangannya terhadap seni mempertahankan diri.

Khloe Kardashians

Melontar respons terhadap komen mengenai warna kulit anak perempuannya, True, di Instagram, pempengaruh terkenal, Khloé Kardashian menulis di platform X bahawa dia lebih selesa mendidik orang lain dan berharap dapat membuka minda mereka secara amnya.

Malah, Khloe menegaskan bahawa semua warna kulit dan latar belakang etnik adalah cantik.

“Saya cuba memahami sudut pandang mereka, mungkin mereka dibesarkan dalam suasana yang berbeza daripada saya.

“Jadi, daripada menghukum, saya memilih untuk mendidik. Dalam keluarga kami, kami tidak menilai berdasarkan warna kulit. Kami melihat emosi dan tindakan. Kami melihat kasih sayang. Kami menyerap tenaga positif,”katanya.

Walaupun niat Khloé dilihat positif, ramai yang mengkritik kenyataannya mengenai kenyataan warna kulit.

Ramai menganggap ia sebagai satu pandangan yang dangkal berikutan pempengaruh itu merasakan dirinya memiliki hak keistimewaan dan menafikan realiti isu perkauman.

Beberapa tahun kemudian, Khloé dilihat berubah pandangan apabila mula bercakap tentang pentingnya mendidik anak-anak mengenai isu perkauman.

Anggota keluarga Kardashians ini berkata bahawa ibu bapa sebenarnya mampu menjerumuskan anak-anak ke arah kegagalan jika tidak membincangkan cabaran yang mungkin mereka hadapi di dunia sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya