Sering terkena tempias kontroversi dan gosip sensasi, pelakon, Alya Iman hadir pula dengan kisah baharu.
Kalau tidak silap Cik Bunga, sebelum ini, Alya pernah dikhabarkan bercinta dengan seorang jejaka bukan kalangan orang industri seni. Tahu-tahu, rupanya hubungan itu terputus di tengah jalan.
Bila putus cinta itu, Cik Bunga tidak pasti. Tapi yang Cik Bunga dengar sekarang, pelakon berwajah manis ini kononnya sedang menjalin cinta dengan pelakon sensasi juga. Siapa lagi kalau bukan Amir Ahnaf, bintang utama filem hangat, Kahar: Kapla High Council.
Cik Bunga dapat tahu ini pun setelah ada antara rakan-rakan dalam industri seni berbisik pada Cik Bunga.
Katanya, hubungan antara dua pelakon ini semakin intim sejak sama-sama terlibat berlakon dalam sebuah drama.
Kalau tidak silap, drama itu sudah lama pun ditayangkan. Memang sebelum ini, katanya, Alya pernah menafikan hal itu. Tetapi, kata orang belakang tabir, sebenarnya, hubungan mereka bukan sekadar kawan atau teman sekerja lagi.
Memang sedang bercinta. Cik Bunga bukan apa, okey sahaja jika benar kedua-duanya bercinta. Apa salahnya. Masing-masing pun masih solo, ye tak?
Tapi, apa yang Cik Bunga harapkan, kalau betul bercinta, tidak usahlah menafikan. Bukan benda yang tak baik pun. Rasanya peminat pun suka sahaja andai perkara ini nyata. Bolehlah peminat pun sama-sama doakan yang baik-baik buat kedua-dua artis kesayangan mereka ini. Cik Bunga pun tumpang gembira.