Pelakon senior jenis mulut suka maki hamun? - Utusan Malaysia

Pelakon senior jenis mulut suka maki hamun?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama pun dunia hiburan, memang tidak pernah sunyi daripada cerita panas. Kali ini Cik Bunga terdengar kisah mengenai seorang pelakon senior yang cukup dikenali dengan bakat lakonannya, tetapi juga terkenal dengan satu sikap yang kurang manis, iaitu suka maki hamun orang di sekelilingnya.

Pelakon ini dikatakan seorang yang cepat naik angin, namun cepat juga turun suhu. Pagi boleh meletup marahnya, petang sudah boleh gelak ketawa seperti tiada apa berlaku.

Katanya, dia jenis manusia yang cepat marah tetapi cepat sejuk. Namun Cik Bunga tertanya-tanya, cepat sejuk untuk dirinya, tetapi yang menjadi mangsa kemarahannya itu, cepat sembuhkah hati mereka?

Sebagai seorang yang sudah lama berada dalam industri, kelakuan sebegini tidak manis dipandang dan tidak molek untuk ditiru.

Generasi muda yang masih hijau, yang baru hendak belajar, membina keyakinan dan mencari tapak dalam industri, sepatutnya dibimbing dengan kasih sayang dan contoh yang baik.

Jika sedikit kesilapan sudah dimaki, jika lambat sedikit sudah ditengking, lama-kelamaan mereka bukan sahaja takut untuk belajar, malah boleh hilang keyakinan diri.

Cik Bunga tidak menafikan tekanan kerja di set penggambaran memang tinggi. Masa suntuk, kos produksi mahal dan emosi mudah terganggu. Namun marah bukan satu-satunya cara untuk mendapatkan hasil kerja yang baik.

Teguran masih boleh dibuat dengan bahasa yang berhemah dan nada yang sopan. Orang tetap boleh belajar, tetap boleh hormat, malah mungkin lebih ikhlas menerima teguran.

Masalahnya bukan sekadar cepat panas, tetapi panas itu membakar hati orang lain. Luka emosi bukan sesuatu yang boleh hilang dengan mudah.

Ada yang menyimpannya bertahun-tahun, ada yang menjadi takut untuk bersuara dan ada juga yang akhirnya menjauhkan diri daripada industri yang mereka minati.

Pesan Cik Bunga, usia, pengalaman dan populariti bukan lesen untuk melepaskan api emosi sesuka hati. Jika benar sayangkan industri ini, tunjukkanlah contoh bahawa tegas tidak semestinya garang, profesional tidak semestinya menyakitkan dan senior bukan sekadar ditakuti, tetapi disegani.

Kerana generasi muda bukan sahaja meniru lakonan kita, mereka juga meniru cara kita menjadi manusia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN