DALAM menghasilkan sebuah naskhah sekuel, produk itu mesti berlaku adil kepada pengalaman yang pernah dibangunkan oleh filem pertamanya; baik jenama, fenomena yang tercetus hingga nostalgia yang disimpan oleh penonton pada zamannya. Pengkarya tidak boleh secara wenang membangunkan sekuel yang dianggap cuba mensabotaj segala hal baik yang telah sedaya upaya dijelmakan oleh filem pertamanya.
Namun ketika menonton Duyung: Legenda Aurora (Duyung 2), sukar untuk tidak merasakan sekuel yang hadir ke panggung hari ini sebagai sebuah ‘downgrade’, selepas 17 tahun tayangan filem Duyung pertama pada 2008. Bukan sebab kualiti poster yang dikatakan teruk oleh peminat (walau penerbit menegaskan ia ‘sekadar umpan’ pemasaran). Pelik juga, sebab hasil semakan di pawagam, ‘umpan’ itu jugalah poster rasmi yang dipakai untuk tayangan.
Bagaimanapun, Duyung 2 terkeluar daripada liga ‘filem baik’ kerana kegagalannya membangunkan sebuah cerita yang kuat, unsur-unsur subteks yang kabur dan hampir tidak ada jika mahu dibandingkan dengan filem pertamanya. Saya tidak pasti apa yang terjadi dalam proses menukang naskhah sekuel ini, namun perkara yang jelas, kehilangan Azhari Zain sebagai penulis skrip sangat dirasai.
Jika ‘semangat laut’ yang dipercayai keturunan Duyung memang benar-benar berkuasa, mengapa Aurora tidak awal-awal lagi menyeru, meminta bantuan ketika dia di atas kapal layar semasa ditangkap sekumpulan ‘penyamun’ untuk di dijual di pasaran gelap? Mengapa harus menunggu abangnya, Hamlau, yang susah-susah ke darat, mencari pula tasik bersambung lautan hanya untuk mengingatkan Aurora menyeru semangat laut?
Dashmond kehilangan wanita yang dicinta, tapi kenapa pula tidak ada keresahan pun terbit di wajahnya, mengapa mereka santai-santai sahaja berbelanja baju (mungkin babak itu perlu dimasukkan atas permintaan penaja?) di kala adiknya hampir mati? Jika itu adalah teknik demi melingkarkan jenaka, untuk tidak menjadikan filem ini terlalu serius, maaf saya tidak rasakan itu menjadi, sebaliknya lambakan adegan-adegan merepek yang tidak signifikan terhadap pembinaan jalan cerita.

Oleh sebab jalan ceritanya entah ke mana, Duyung 2 secara tidak langsung menenggelamkan potensi lakonan yang patut dipandang para pelakon A-listnya walau saya pasti, mereka semua telah bekerja keras untuk filem ini.
Duyung 2008 berjaya tidak hanya kerana jenaka, konsep yang segar tetapi mesej tentang definisi kekayaan, standard ganda terhadap harta juga jiwa besar dalam hati seorang Jimmy yang mengutip tin-tin kerana cintanya kepada alam.
Manakala Duyung 2, tidak tahu apa yang cuba dibicarakan, isu pukat tunda yang disindir dalam satu adegan? Mengapa tidak mengutarakan isu pemanasan laut yang mustahak kerana melebihi paras sepatutnya dalam Paris Agreement atau bagaimana Kecerdasan Buatan Janaan (AI) menjadi ancaman terhadap alam sekitar? Bukanlah mahukan itu menjadi perjuangan utama, cuma sindir-sindir sahaja pun sudah cukup, supaya filem ini ‘berjiwa’, kita sedar apa yang dicakapkan pakar-pakar tentang alam sekitar hari ini.
Saya pasti, dengan pengalaman sebagai juri festival filem utama di Malaysia dan tokoh akademik, pengarah filem ini pasti lebih tahu, sudah fikir masak-masak ketika mahu menggunakan AI dalam filem ini. Walau AI juga menjadi isu hangat dalam mogok besar-besaran SAG-AFTRA di Hollywood, tapi tetap, menang juga di Oscar.

AI mungkin kaedah yang paling menjimatkan wang untuk menghasilkan pengalaman artistik visual yang memuaskan, tapi itu hanya akan terjadi jika kaedahnya betul. Jika pembikin (bukan hanya pengarah) Duyung 2 merasakan penggunaan AI dalam filem ini adalah sebuah ‘upgrade’, nampaknya pandangan itu perlu disemak semula. Ini kerana kualiti AI dalam filem ini lebih menonjolkan ketiadaan pemahaman artistik, selain tidak melalui proses kurasi; hanya tekan ‘prompt’ popular dan terus guna.
Sebab itu, ada adegan hasilnya baik, ada pula macam kartun, ada tiba-tiba juga wajah pelakon berubah. Duyung 2 terasa canggung, lemas,mengganggu, bukan sahaja tidak berjiwa pada jalan cerita, tapi juga pada visualnya.
Kini, tiada apa-apa yang boleh dipuji dalam filem ini, melainkan (mungkin) keberanian membawakan sekuel walau dalam keadaan sangat tergesa-gesa.
Juga, aneh rasanya apabila di kala pejuang alam sekitar hari ini menceritakan AI yang mempunyai ‘data center’ memberikan jejak karbon yang besar sekali gus mempercepat pemanasan global, Duyung 2 yang sepatutnya membawa suara alam tiba-tiba memihak kepada sebuah hal yang ironi. Semuanya terasa sebuah tragedi sekali.
Apapun, saya percaya, pasti ada yang akan menghargai naskhah Duyung 2 walau dalam kualiti projek penilaian tahun pertama pelajar universiti ini.










