Pelik-peliklah perangai manusia zaman sekarang ini. Cik Bunga jadi terkaku seketika apabila gosip mengenai pelaku ini sampai ke telinga.
Biasa kita dengar, wanita jadi orang ketiga atau istilah ‘penyondol’ untuk diri sendiri. Iyalah, sondol suami orang untuk berkahwin dan jadikan lelaki itu kepunyaaan diri sendiri lah bukan?
Tetapi kali ini Cik Bunga macam pertama kali pula dengar yang ada wanita jadi penyondol sebab mahu ‘kenenkan’ si lelaki itu dengan anak perempuannya.
Macam mana itu? Sebab itu, Cik Bunga jadi pening.
Dengar cerita, si wanita ini sudah berusia pun tapi tak adalah tua sangat. Dia ada anak perempuan yang kini sedang menuntut di sebuah universiti. Jadi, dia agaknya, sudah rancang kehidupan yang macam mana dia mahu untuk anak dia, maka dia yang kebetulan ada ‘akses’ dengan keluarga artis lelaki ini sedaya-upayalah mahu masuk jarum.
Dia pula tengok kehidupan si artis itu mewah, jenis tidak lokek duit kalau dengan keluarga, baik, bersopan santun, maka dia mahulah kehidupan yang begitu untuk anaknya.
Agaknya dia pun sedar, kalau dia sendiri yang hendak kahwin dengan artis itu macam mustahillah sebab faktor usia. Jadi, jalan terbaik kononnya untuk ubah hidup B40, adalah dengan menerusi anaknya. Paling tergamak, dia tahu sahaja artis lelaki itu sudah berkeluarga, punya isteri dan anak, tetapi iyalah kalau hati sudah hitam, peduli pula dia.
Cik Bunga ada juga dengar yang artis lelaki itu pun seperti sudah terkena sihir daripada pelaku ini. Cik Bunga tidak pasti pula sama ada perancangan si pelaku ini boleh dikira berjaya atau tidak, sebab tak ada dengar pula anaknya sekarang sudah berkahwin dengan artis lelaki itu. Mungkin belum lagilah agaknya.
Cik Bunga cuma kasihan pada nasib isteri dan anak-anaknya yang menjadi mangsa. Harapnya, keluarga si artis itu bawa-bawalah artis itu berubat segera. Buat si pelaku, menjawablah nanti di akhirat.










