BUKAN mudah bagi Allahyarham Ya’cob dan isterinya melepaskan anak perempuan mereka iaitu Safura untuk menyanyi di kelab malam sekitar awal 90-an dulu. Tambahan pula ketika itu arwah dipandang tinggi disebabkan peranannya sebagai imam sebuah masjid di Hulu Kelang ketika itu.
Namun, Safura yang pada masa itu baharu berusia 18 tahun, mengikut hati dan keras kepalanya, meneruskan juga keinginan untuk mencari pendapatan dan menimba pengalaman dengan menjadi penyanyi kelab sekitar ibu kota meskipun menerima tentangan orang tua.
Mungkin tindakan Safura pada masa itu tidak ubah seperti membelakangkan perintah serta menconteng arang ke muka ibu bapa. Namun atas keterpaksaan, penyanyi yang namanya meledak menerusi lagu Sedalam Mana Cinta Mu ini menurut kata hati demi kecintaan terhadap dunia seni.
“Memang berat hati, tapi saya ini seorang yang degil dan keras kepala, tetap menurut kemahuan untuk menyanyi di kelab malam meskipun mak dan ayah saya tidak memberi kebenaran.
“Mana tidaknya, dalam kalangan penduduk kawasan kediaman kami, mereka dikenali kerana ayah saya imam masjid manakala emak pula mengajar al-Quran. Tentu sekali masyarakat akan memandang serong apabila saya menyanyi di kelab malam.
“Tapi, ketika itu saya tahu apa yang saya mahukan. Selain ingin membantu keluarga, saya juga mahu menimba ilmu dan pengalaman kerana ketika itu tidak berkemampuan memasuki mana-mana kelas nyanyian.
“Itu niat yang saya tanamkan sejak hari pertama menjadi penyanyi di kelab malam. Mungkin disebabkan niat yang baik, selain doa ibu dan ayah, saya terhindar daripada melakukan perkara-perkara buruk meskipun menyanyi di kelab malam,” katanya.
Safura mengakui meskipun menurut kemahuan, hati tetap terasa berat kerana dia tahu tindakannya itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa sedih dalam hati kedua orang tuanya.
Disebabkan itu katanya, sepanjang mencari pendapatan di kelab malam, dia tetap melakukan apa yang termampu agar tidak menambah luka terhadap perasaan orang tua.
“Saya tahu yang ayah dan mak tak pernah membenarkan meskipun mereka terpaksa akur dengan keputusan saya. Tapi dalam saya melawan perintah, saya tetap mahu menjaga hati mereka.
“Disebabkan itu, setiap kali keluar rumah untuk pergi menyanyi di kelab malam, saya akan sarung baju kurung dan hanya menukar pakaian lain sebaik tiba di tempat kerja.
Semua ini demi menjaga perasaan orang tua yang sudah sedia terguris dengan kedegilan saya,” katanya.
Pekerjaan sebagai penyanyi kelab malam telah membawa Safura berpindah randah ke seluruh semenanjung Malaysia dan Singapura. Namun katanya, selama lima tahun berkecimpung dalam kerjaya tersebut, pengalaman pahit manis yang ditempuh cukup mendewasakan dirinya.
Tambahnya, besar dugaan dan cabarannya sebagai penyanyi kelab malam. Ujarnya, mungkin dirinya terhindar daripada perkara-perkara negatif kerana doa orang tua selain niat murni yang pacakkan sedari awal.
“Ramai yang tidak tahu saya pernah ditawarkan menjadi pelayan pelanggan (GRO) dan selain menjadi perempuan joget di sebuah kelab di Pusat Dagangan Dunia Putra. Individu yang memberi tawaran itu cuba memujuk dengan menjanjikan pendapatan berkali ganda berbanding gaji yang saya terima sebanyak penyanyi kelab malam.
“Namun saya bersyukur, mungkin disebabkan saya masih mahu menjaga maruah diri dan keluarga, selain didikan agama yang diterapkan orang tua sejak saya kecil, menghindarkan saya daripada perkara-perkara buruk seperti itu.
“Pengalaman ditawarkan jadi GRO itu hanya sekelumit perkara negatif yang sering berlaku di kelab malam. Sepanjang lima tahun menjadi penyanyi di tempat sebegitu, banyak perkara tidak enak yang saya saksikan.
“Disebabkan itulah, ketika dilamar menjadi artis rakaman, saya berdoa supaya album pertama saya, Sedalam Mana Cinta Mu pada tahun 1997 beroleh kejayaan agar saya tak perlu lagi bekerja di kelab malam. Alhamdulillah, Allah mendengar dan memakbulkan doa saya,” kongsinya.
Dalam perkongsian yang sama, Safura juga memaklumkan pernah mendirikan rumah tangga dengan salah seorang pemuzik yang mengiringi persembahannya ketika menyanyi di kelab malam pada ketika itu.
“Menerusi perkahwinan pertama itu saya dikurniakan seorang anak perempuan. Namun jodoh dengan suami pertama tidak lama apabila kami memutuskan untuk bercerai sebelum saya bergelar artis rakaman,” ujarnya lagi.

PENANGAN SEDALAM MANA CINTA MU
SAFURA menganggap kejayaan album pertamanya sebagai satu rezeki yang telah ditentukan kerana tidak ramai penyanyi yang berjaya merekodkan jualan memberangsakan menerusi album pertama mereka.
Boleh dikatakan album Sedalam Mana Cinta Mu telah mengubah 360 darjah kehidupan penyanyi dan keluarganya.
“Saya yakin Allah makbulkan doa saya kerana saya benar-benar berhasrat mahu tinggalkan kerjaya nyanyian di kelab malam kalau album ini berjaya.
“Saya sendiri pun tak sangka yang album Sedalam Mana Cinta Mu itu mendapat sambutan dengan rekod jualan melebihi 50 ribu unit. Ia pencapaian yang jarang diraih oleh penyanyi baharu pada ketika itu.
“Disebabkan jualan album memberangsangkan, kejayaan itu diiktiraf menerusi anugerah platinum yang diberikan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
“Saya juga mungkin bernasib baik kerana dinaungi BMG yang secara berterusan mempromosikan album pertama dan kedua saya sehingga menaikkan nama saya dalam industri muzik tanah air,” kongsinya.
Safura selepas kejayaan album pertamanya, dihujani terlalu banyak tawaran nyanyian dan disebabkan hasil pendapatan menyanyi jugalah dia mengubah nasib keluarga dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Kejayaan album pertama membuka mata ramai pihak tentang kemunculan saya dalam dunia muzik tempatan. Disebabkan itu juga saya tidak putus-putus menerima banyak tawaran membuat persembahan.
“Ketika itu, pendapatan terkumpul yang saya terima lazimnya mencecah puluhan ribu dan pernah juga mencecah RM100,000. Sebahagian hasil pendapatan itu saya laburkan untuk membeli dua buah rumah,” ujarnya.

MENGENANG RUMAH PUSAKA
SAFURA menahan sebak ketika menceritakan pengalaman dihalau dari rumah pusaka yang didiami bersama adik beradiknya di Hulu Kelang.
Katanya, pengalaman itu menjadi antara kenangan buruk yang kekal dalam ingatan sampai ke hari ini.
“Sejak kecil sampailah masing-masing berumah tangga, kami adik beradik tinggal di dalam rumah pusaka itu yang dilengkapi tujuh bilik semuanya.
“Disebabkan itu hubungan anak-anak kami rapat kerana mereka membesar bawah satu bumbung. Saya sedih bila mengenang semula momen ketika kami semua dihalau
sebelum rumah itu dirobohkan atas alasan didirikan di atas tanah kerajaan.
“Walhal, sepanjang menetap di rumah itu, arwah ayah saya melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan hak pemilikan tanah namun pelbagai alasan diberikan pihak berkuasa tempatan ketika itu. Akhirnya rumah yang menjadi tempat kami membesar, dirobohkan begitu sahaja untuk pembinaan pusat perniagaan komersial yang dibangunkan pemaju dari Singapura,” ceritanya.










